Apa Yang Terjadi Apabila Sekumpulan Pelajar Muslim Tiba Di Cambridge Pada Tahun 1816 November 30, 2017 – Posted in: Chronicles from Mandala

200 tahun lalu, sekumpulan Muslim pertama  yang akan melanjutkan pelajaran di Eropah tiba di London. Mereka dihantar oleh Putera Iran bagi mengkaji sains baharu yang muncul dari revolusi perindustrian. Sewaktu awal penempatan mereka di Eropah pada bulan-bulan terakhir tahun 1815 itu, mereka amat teruja dengan keadaan masyarakat di sekeliling yang belum pernah mereka lihat sebelum ini.

Para lelaki dan wanita berkumpul setiap malam di teater, yang dipanggil ‘spectacle-houses’ di situ.

London juga riuh dengan kekalahan akhir Napoleon kepada Waterloo pada beberapa bulan sebelumnya, dan sains baharu—atau dipanggil ‘ulum jadid’—yang akan dikaji oleh pelajar-pelajar tersebut kelihatan dipamerkan di merata tempat, termasuklah di dalam bot yang membawa penumpang menyusuri Thames.

Setelah beberapa bulan berlalu, enam pelajar tersebut mula menyedari tahap kesukaran tugasan mereka. Mereka tiada kelayakan yang diiktiraf, tiada kenalan dalam kalangan ahli akademik yang berkaitan, bahkan tidak pandai berbahasa Inggeris.

Pada ketika itu, tiada kamus Parsi ke Bahasa Inggeris untuk membantu mereka.

Bagi mempelajari bahasa Inggeris dan juga bahasa Latin, yang mereka sangkakan masih menjadi bahasa utama sains di Eropah, pelajar-pelajar ini telah berkawan dengan seorang pendeta bernama Reverend John Bisset, seorang graduan Oxford.

Bisset inilah yang telah memperkenalkan mereka tentang dua tempat pengajian kuno di England – Oxford dan Cambridge.

Sementara itu juga dua orang daripada mereka telah diambil oleh Olinthus Gregory, seorang ahli matematik dan ilmuwan – yang telah memalsukan dokumen untuk mereka masuk ke universiti – lantaran Gregory ialah orang lama yang telah bertahun-tahun menjadi penjual buku yang berjaya di Cambridge.

Dalam masa yang sama, satu rancangan dibuat untuk memperkenalkan salah seorang daripada pelajar itu, Mirza Salih, kepada profesor yang mungkin boleh membantu mereka belajar secara tidak rasmi di salah satu kolej di Cambridge.

Situasi ini berlaku pada waktu Katolik belum dibenarkan untuk belajar di universiti dalam Britain, maka ketibaan seorang Muslim Iran di Cambridge (orang pertama yang mencetak akhbar di Iran) menyebabkan kekecohan dan kegelisahan.

Lelaki budiman yang terpilih bagi membantu Salih ini bernama Samuel Lee (Profesor) daripada Queen’s College.

Menjadi kehairanan pula apabila Lee menjadi orang yang akan membantu ‘pemuda Taliban’ (panggilan bagi pelajar-pelajar tersebut oleh warga Parsi) kerana Lee merupakan seorang yang kuat berpegangan Kristian, dan bermatlamat untuk menjadikan umat Islam di dunia bertukar kepada Kristian.

Seperti rakan-rakan lain di Queen, termasuk keluarga Venn yang berpengaruh, dia berhubungan rapat dengan Persatuan Mubaligh Kristian yang telah ditubuhkan pada tahun 1799 dan  persatuan itu telah menjadi pusat gerakan mubaligh di Cambridge.

Walaubagaimanapun, agenda inilah yang membuatkan Lee begitu tertarik dengan pelajar Muslim tersebut.

Perkara utama bukanlah tentang membawa Salih ke dalam agama Kristian. Sebaliknya, sebagai seorang yang berbahasa Parsi dan berpelajaran, Salih mungkin dapat membantu dalam tugasnya bagi menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Parsi, iaitu bahasa yang digunakan di seluruh India dan juga Iran sekarang. Lee ingin mengambil peluang tersebut. Maka, Salih dijemput ke Cambridge.

Sebagaimana yang tercatat dalam diarinya, Salih menjadi amat suka terhadap Profesor Lee ini.

Lee mungkin kini diingati sebagai Orientalis Oxbridge yang disegani dan berjaya merangkul status besar Regius Professor Of Hebrew, tetapi sebenarnya beliau hanya dibesarkan dalam suasana yang sederhana. Lee membesar di kampung kecil Shropshire bersama keluarganya yang bekerja sebagai tukang kayu.

Sewaktu remaja, Lee turut berlatih untuk menjadi tukang kayu. Dalam lawatan penyelidikan dari California, saya sempat melawat rumah lama Lee di Longnor. Ia masih kawasan terpencil sehingga hari ini, yang hanya mempunyai satu jalan tunggal yang terlindung di sebalik pokok-pokok renek.

Di gereja tempat itu, saya teruja apabila menjumpai nama datuk Lee, seorang tukang kayu, yang diukir di bangku yang dibuat olehnya untuk penduduk kampung.

200 tahun lalu, hampir tidak ada yang tahu bahawa seorang budak kampung seperti Sam Lee mampu menjadi profesor di Cambridge, namun dia mempunyai kebijaksanaan dalam bahasa yang membuatkannya berjaya mendepat naungan peduduk tempatan.

Sebagai seorang pelajar yang turut bercita-cita tinggi, Salih mula rapat dengan Lee, dan juga diari di mana dia mencatatkan kisah hidupnya dengan penuh kekaguman.

Dengan bantuan Lee, Salih dapat tinggal di Queen’s College, dan makan bersama lelaki Sepanyol lain seperti Willian Mandell dan Joseph Jee. Pada waktu itu, presiden Queen’s College ialah ahli falsafah hebat, Ishak Milner, seorang yang terkenal pandai berbahasa sebagaimana terkenalnya beliau sebagai ahli kimia.

Salih menikmati makan malam di tempat tersebut, tetapi waktunya di Cambridge bukanlah untuk berseronok.

Dia melawati perpustakaan-perpustakaan yang menarik minatnya, terutama Perpustakaan Wren di Kolej Trinity, yang menempatkan tugu Sir Isaac Newton. Dalam diarinya, Salih menggelarkan beliau sebagai ‘ahli falsafah yang merupakan mata dan cahaya kepada England’.

Sebagai balasan atas bantuan Lee membantunya memasuki universiti, Salih membantu Lee dalam kerjanya menterjemah Bible ke bahasa Parsi. Dia turut menulis surat sokongan apabila Lee dicalonkan untuk jawatan Regius Professor Of Hebrew. Surat tersebut masih disimpan hingga kini di arkib universiti.

Di sebalik diari Salih, surat Lee dan dokumen universiti, kita dapat melihat satu hubungan tidak dijangka antara seorang Muslim dari negara asing dan seorang Kristian yang paling kuat berpegang pada agama di Kolej Cambridge.

Universiti tersebut hanyalah salah satu daripada tempat yang dilawati oleh Salih dan rakan-rakannya selama empat tahun mereka di England bagi mengkaji sumber saintifik tentang Zaman Pencerahan.

Pertembungan antara ‘Islam dan Barat’ seringkali diceritakan dari segi permusuhan dan konflik, tetapi diari Salih menyajikan satu kisah yang amat berbeza – tentang kerjasama, belas kasihan, dan kemanusiaan yang sama – dan, tentang perhubungan Salih dengan seorang Kristian yang kuat, iaitu satu kisah persahabatan yang unik.

Ditulis pada waktu yang sama dengan novel Jane Austen, diari Salih adalah bukti yang telah dilupakan, dan peringatan yang baik tentang pertembungan berprikemanusiaan antara warga Eropah dan Muslim pada awal era Moden.

Terjemahan artikel asal oleh Nur Azyyati Abdullah bertajuk What Happened When a Muslim Student Went To Cambridge In 1816 yang diterbitkan menerusi AEON bertarikh 12 Ogos 2016.

« Membaca Kisah Cerita – Bagaimana Ia Membentuk Rangkaian Universal Dalam Otak
Fikirkan Ini Sebelum Membuka Kedai Buku Anda Sendiri! »