Fikirkan Ini Sebelum Membuka Kedai Buku Anda Sendiri! November 29, 2017 – Posted in: Thoughts – Tags: , , ,

Bagi kebanyakan peminat buku, membuka kedai buku adalah satu impian. Seperti mana-mana perniagaan, realiti membuka kedai buku jauh lebih rumit sebenanya daripada sekadar berimpian untuk menjual buku.

Jika anda sedang mempertimbangkan untuk membeli atau memulakan perniagaan buku, di sini adalah beberapa fakta mengenai penjualan buku

Kedai Buku adalah Perniagaan Runcit

Bagi penjual buku persendirian, kebiasaannya mereka menjual buku bercetak. Seperti semua peniaga yang mempunyai kedai, perniagaan buku yang berjaya memerlukan:

  • Lokasi yang strategik – kebiasaannya di kawasan yang punya banyak kedai lain, dan tempat yang ramai orang lalu-lalang. Secara umumnya, lebih strategik lokasi tersebut, lebih mahal sewanya.
  • Waktu operasi yang sesuai – anda membayar sewa untuk tempat itu dan kebiasaannya bagi kedai, pelanggan mengharapkan kedai untuk dibuka pada waktu yang selesa untuk mereka pergi membeli. Ia bermakna (kadang-kadang) lewat malam, hari minggu, dan pada hari-hari cuti.
  • Pekerja yang berkebolehan – peniaga buku boleh bergantung kepada pekerja mereka untuk berkomunikasi dan bersemuka dengan pelanggan. Ini bermakna anda perlu memperuntukkan masa bagi memilih dan melatih pekerja yang berpersonaliti baik dan mempunyai pengetahuan tentang buku.
  • Pemilihan buku yang baik (untuk dijual) – bagi peminat buku, memborong buku setiap bulan adalah satu keseronokan – tetapi juga ia adalah suatu usaha yang keras. Ini kerana bagi menjualnya, kita perlu menyemak senarai yang dikeluarkan penerbit tentang buku-buku baru, mengkaji tentang buku yang belum pernah kita baca, dan membeli buku-buku dari pelbagai genre bagi menepati pelbagai citarasa pembaca yang berlainan (termasuk buku yang anda tidak berapa gemari).
  • Pengurusan inventori buku yang cekap – kedai buku yang kecil juga menyediakan beribu stok pelbagai buku, yang mana perlu dianalisis bagi melihat kadar jualan dan sebagainya; bagi memaksimumkan tarikan untuk pelbagai pilihan buku di kedai dan untuk memastikan stok sentiasa ada.

Perniagaan Buku Cenderung Menjadi Perniagaan Margin Rendah

Keuntungan jualan buku kebiasaannya lebih rendah daripada perniagaan runcit lain. Sesetengah peniaga buku mendapati bahawa jualan sampingan mereka seperti alat tulis, t-shirt, mug, hadiah—dan, seperti dijangka, kafe mereka—kadar keuntungannya adalah lebih besar dari jualan buku.

Walaupun kebanyakan peniaga buku menceburi bidang perniagaan buku kerana cintanya terhadap buku dan membaca, kecintaan terhadap akaun dan kewangan adalah ciri yang diperlukan untuk seorang peniaga buku.

Jika anda tidak mempunyai kemahiran itu sendiri, peniaga buku perlu mencari seseorang yang mahir dalam bidang tersebut.

Perniagaan Buku Adalah Perniagaan yang Kompetitif

Walaupun anda mungkin tidak ada persaingan dari kedai-kedai berdekatan, persaingan sentiasa wujud dari peniaga online yang menjual buku bercetak dan juga e-buku; seperti Amazon, Kinokuniya, MPH  dan juga dari penerbit yang menjual buku mereka secara terus kepada orang ramai.

Bagi sentiasa mengikuti perkembangan buku-buku yang baik, dan terus berdaya saing, peniaga buku persendirian perlu sentiasa mengambil cakna dengan perubahan teknologi yang pantas berkaitan pesanan secara online, peranti e-book, muat turun e-book, serta peralatan dan keupayaan untuk cetakan atas permintaan.

Selain teknologi penyampaian teks, peniaga buku juga perlu terlibat dengan teknologi pemasaran di media sosial untuk sentiasa berhubung dengan pelanggan.

Halaman khas Facebook untuk kedai buku, penghantaran e-mail yang konsisten kepada pelanggan dan juga mengoptimumkan Twitter dan Instagram bagi mempromosikan jualan buku anda.

Sekiranya semua elemen tentang perniagaan runcit membuatkan anda teruja, dan idea tentang bekerja dengan buku membuatkan anda gembira, maka memiliki sebuah kedai buku mungkin adalah kerjaya yang tepat untuk anda.

Terjemahan artikel asal oleh Nur Azyyati Abdullah bertajuk Learn the Basics of Opening A Bookstore yang diterbitkan menerusi The Balance Careers bertarikh 14 Mei 2018.

« Apa Yang Terjadi Apabila Sekumpulan Pelajar Muslim Tiba Di Cambridge Pada Tahun 1816
Sekolah Ini Merintis Sistem Pendidikan Masa Depan – Pendidikan Tanpa Sempadan »