Membaca Kisah Cerita – Bagaimana Ia Membentuk Rangkaian Universal Dalam Otak December 3, 2017 – Posted in: Thoughts

Kajian baru menunjukkan apabila kita mendengar kisah cerita, muncul pola otak yang melangkaui budaya dan bahasa. Berkemungkinan wujud kod universal yang membantu pengertian naratif.

Bercerita dan mendengar cerita adalah hobi yang terdapat dalam semua budaya. Dari novel jenayah hingga kisah dongeng dan dari lagenda kuno hingga kisah romantis, semua orang sukakan buku yang menarik.

Kita semua tahu tentang penceritaan, tetapi proses-proses yang berlaku dalam otak sewaktu bercerita dan mendengar cerita adalah lebih kompleks dari yang disangka.

Cerita, pemahaman terhadap makna dan tema cerita, serta hubungan antara sebab dan kesan di sepanjang cerita, melibatkan pergerakan kognitif yang mencabar.

Tetapi seperti biasa, otak kita sentiasa menjadikan ia kelihatan mudah.

Neurosains telah mendahului dalam pencarian bahagian otak yang membantu kita untuk memahami bahagian bahasa yang lebih kecil—seperti perkataan dan ayat—tetapi masih banyak yang perlu kita pelajari tentang bagaimana otak memahami naratif.

Sesuatu cerita itu pula akan melibatkan pengumpulan makna yang mantap.

Otak & Cerita

Baru-baru ini, sekumpulan penyelidik dari University of Southern California (USC) di Los Angeles membuat kajian bagi menyiasat rangkaian yang terlibat dalam memahami cerita. Penemuan mereka diterbitkan dalam jurnal Human Brain Mapping.

Khususnya, mereka ingin mengetahui sama ada cerita yang sama tetapi diceritakan dalam bahasa yang berbeza, akan mengaktifkan bahagian otak yang sama pada penutur asli bahasa tersebut.

Mereka juga merancang untuk melihat sama ada mereka dapat mengesan cerita apakah yang dibaca oleh peserta dengan hanya menganalisis otak peserta tersebut, yang mana ia adalah hal yang sukar untuk dilakukan.

Pasukan itu diketuai oleh Morteza Dehghani dari Brain and Creativity Institute di USC. Menggunakan perisian yang dibangunkan oleh Institute for Creative Technologies USC , pasukan itu telah mengkaji 20 juta cerita di blog termasuk cerita peribadi.

Daripada semua cerita tersebut, mereka memilih 40 cerita yang meliputi topik peribadi seperti cerita perceraian atau cerita tentang pembohongan.

Cerita-cerita ini kemudiannya diringkaskan menjadi satu perenggan mengandungi 150 patah perkataan. Selepas itu, cerita yang asalnya dalam bahasa Inggeris ini diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin dan Parsi.

Secara keseluruhan, 90 peserta keturunan Amerika, Cina, dan Iran membaca cerita tersebut sementara otak mereka diimbas menggunakan imbasan MRI.

Pasukan USC menggunakan mesin pembelajaran yang canggih dan teknik analisis teks, termasuk analisis yang melibatkan 44 billion klasifikasi kepada data ‘reverse engineer’ daripada imbasan tersebut.

Dengan cara ini, mereka dapat menentukan kisah mana yang didengar oleh pembaca dalam tiga bahasa berlainan dengan hanya berpandukan dari aktiviti otak mereka.

Dalam kata lain, para penyelidik membaca minda para peserta sewaktu mereka membaca cerita tersebut.

 “Walaupun terdapat perbezaan asas dalam bahasa, seperti dibaca pada arah berlainan atau mengandungi jenis huruf yang berbeza, ada sesuatu yang universal tentang apa yang berlaku dalam otak manusia ketika kita memproses naratif.” – Morteza Dehghani

Di Manakah Pola Ini Ditemui?

Pola yang terbentuk dalam otak pembaca ini diukur dalam kawasan yang dipanggil rangkaian mod lalai—‘the default mode network’.

Kawasan ini menghubungkan beberapa bahagian yang saling berkaitan, termasuk medial prefrontal cortex, inferior parietal lobe, posterior cingulate cortex, hippocampal formation, dan lateral temporal cortex.

Sebelum ini, rangkaian mod lalai diibaratkan seperti fungsi autopilot untuk otak apabila ia berehat dan tidak digunakan untuk berfikir secara fokus.

Walau bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kajian menunjukkan bahawa ianya berkemungkinan tidak benar.

Penemuan sebelum ini menunjukkan bahawa rangkaian mod lalai diaktifkan apabila minda hanya kelihatan seperti sedang berehat—hakikatnya tidak berehat—contohnya ketika ia mencari naratif, atau membaca memori autobiografi, seterusnya mempengaruhi cara kita berfikir berkaitan dengan masa lalu, masa kini dan masa hadapan, dan hubungan kita dengan orang lain.

Penulis kajian yang sepadan, Jonas Kaplan berkata, “Salah satu misteri terbesar neurosains adalah bagaimana kita mencipta makna. Cerita-cerita telah sebati dalam diri kita dan membantu kita menghasilkan makna ini.”

Kajian ini dan lain-lain kajian yang berkaitan membawa kita selangkah lebih dekat untuk memahami bagaimana kita mencapai prestasi yang kompleks ini dengan cepat dan lancar.

Terjemahan dari artikel asal bertajuk Reading Stories Creates Universal Patterns in The Brain oleh Nur Azzyati Abdullah bertarikh 7 October 2017

« Nuruddin al-Raniri, Bustan al-Salatin dan Hal-Hal Yang Seputar Dengannya.
Apa Yang Terjadi Apabila Sekumpulan Pelajar Muslim Tiba Di Cambridge Pada Tahun 1816 »