Dato’ Onn Jaafar Pernah Menggagaskan Idea Mirip Konsep Melayu Raya KMM June 1, 2018 – Posted in: Book Excerpts

Dalam satu persidangan yang dikenali sebagai Persidangan London pada akhir bulan Februari 1956, beberapa perkara pokok telah dicapai di antara Kerajaan British, raja-raja Melayu dan wakil Perikatan iaitu mereka bersetuju untuk membentuk satu Suruhanjaya Perlembagaan yang akan bertugas untuk membuat perlembagaan Tanah Melayu.

Suruhanjaya Perlembagaan itu ialah satu badan bebas. Lord Reid dilantik menjadi pengerusi suruhanjaya itu dan dibantu oleh Sir Ivor Jenning dari United Kingdom, Sir William Mackell dari Australia, Tuan B. Malik dari India dan Hakim Abdul Hamid dari Pakistan. Suruhanjaya ini telah dinamakan sebagai Suruhanjaya Reid.

Menentang Suruhanjaya Reid

Dato’ Onn yang merupakan Presiden Parti Negara pada ketika itu menentang Suruhanjaya Reid. Beliau tidak puas hati dengan sikap pemimpin Parti Perikatan yang menyerahkan tanggungjawab itu kepada kepada orang luar.

Akibat daripada perkembangan ini, Dato’ Onn mengadakan Kongres Parti Negara di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada awal bulan Mac 1956. Tujuan kongres ini untuk membincangkan perlembagaan yang sesuai bagi Tanah Melayu merdeka.

Dato’ Onn seperti biasa menjadi pendraf perlembagaan dan drafnya itu diterima oleh Kongres PN dengan pindaan-pindaan kecil.

Pada Februari 1957, Suruhanjaya Reid telah membuat cadangannya dan diumumkan kepada orang ramai. Antara cadangannya yang utama ialah meneruskan bentuk sistem kerajaan Persekutuan dan negeri dengan kuasa-kuasa tertentu.

Satu sistem kerakyatan berdasarkan satu sistem jus soli (kerakyatan secara lahir) kepada semua yang lahir di Tanah Melayu diadakan.

Bagi mereka yang tidak lahir di Tanah Melayu, tempoh tinggal yang pendek dijadikan syarat kerakyatan.

Di samping itu, kedudukan istimewa orang Melayu diteruskan. Bagi raja-raja Melayu pula, mereka diterima sebagai raja berpelembagaan dan seorang Yang di-Pertuan Agong dilantiik bagi Persekutuan Tanah Melayu.

Bagi pentadbiran pula, sebuah parlimen dengan dua majlis mesyuarat iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat dibentuk dengan kuasa-kuasa tertentu.

Menolak Kerakyatan Jus Soli 

Dato’ Onn bersetuju dengan struktur pentadbiran dan karajaan cadangan Suruhanjaya Reid ini bagaimanapun, dalam soal kerakyatan, Dato’ Onn tidak brsetuju.

Dato’ Onn menolak kerakyatan jus soli terbuka itu kerana bimbang orang Melayu akan hilang kedudukannya sebagai peribumi. Dalam peruntukan jus soli Suruhanjaya Reid, semua orang yang lahir di Tanah Melayu mempunyai kedudukan dan hak yang sama dari segi politik. Oleh itu, taraf ‘anak negeri’ bagi orang Melayu, mengikut Dato’ Onn hanya tinggal sebagai satu catatan sejarah.

Bagi Dato Onn kerakyatan seperti itu akan menenggelamkan orang Melayu dan mengecilkan kuasa mengundi mereka. Jumlah orang Melayu yang kecil iaitu hanya 49.8 peratus pada tahun 1947 jika debandingkan dengan bukan Melayu yang berjumlah 50.2 peratus, menjadi bertambah kecil pada tahun-tahun yang akan datang.

Maka, untuk mengatasi kekurangan penduduk dan undi orang Melayu itu, pada bulan November 1956, dalam ucapannya di Pulau Pinang, Dato’ Onn mencadangkan agar orang Indonesia dibawa masuk ke Tanah Melayu.

“Kiranya sudah nyata orang-orang Melayu itu akan ketinggalan maka apakah kepentingan yang lebih besar daripada meramaikan bilangannya dan menguatkan kedudukannya itu dengan membawa masuk kaum sebangsa dari Indonesia jika sekiranya hendak dihasilkan permintaan dan rayuan anak-anak Melayu pada tahun 1946 itu supaya dipelihara hak-hak pusaka mereka,”

Cadangan Dato’ Onn itu sekali imbas menyerupai konsep Melayu Raya KMM pada tahun 1939 dan PKMM tahun 1945. Kedua-duanya mahu memerdekakan Tanah Melayu dalam Indonesia Raya.

Namun terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Dato’ Onn tidak mahu merdeka bersama Indonesia tetapi beliau hanya mahu mengambil rakyat Indonesia yang berkebolehan dan telah ditapis bagi meramaikan jumlah orang Melayu Semenanjung.

Walaupun begitu, cadangan Dato’ Onn telah ditentang oleh Tunku Abdul Rahman, YDP UMNO yang mengatakan cadangan Dato’ Onn itu akan membangkitkan rasa tak puas hati orang bukan Melayu. Ini akan menyebabkan kerjasama antara mereka tergugat dan kemerdekaan terbantut dan menimbulkan huru-hara dalam politik Tanah Melayu.

Pendirian Ahmad Boestamam

Lebih mengejutkan, Ahmad Boestamam pemimpin Parti Rakyat, pada bulan November 1956, melihat cadangan Dato’ Onn itu sebagai ‘bukan-bukan sahaja’ dan bertentangan dengan pembentukan sebuah negara Tanah Melayu.

Pendirian Ahmad Bosetamam ini sangat menarik kerana ia menunjukkan perubahan pendiriannya dari tahun 1940-an sewaktu beliau bergiat dalam konsep Melayu Raya atau Indonesia Raya melalui PKMM dan API.

Mengulas kenyataan Ahmad Boestamam, Dato’ Onn merasa pelik dengan pendirian Ahmad Boestamam itu.  Bagi Dato’ Onn, Ahmad Bosetamam, seperti juga Tunku Abdul Rahman, terpaksa mendapatkan kerjasama dengan Parti Buruh, yang kebanyakan anggotanya islah orang bukan Melayu.

Maka, pendirian Ahmad Boestamam yang selari dengan Tunku Abdul Rahman itu adalah kerana kerjasama mereka dengan orang bukan Melayu dalam politik Tanah Melayu.

—–

Artikel ini merupakan petikan daripada buku berjudul Dato’ Onn Jaafar: Pengasas Kemerdekaan (DBP 2009) tulisan Ramlah Adam.

Buku ini juga boleh didapatkan di katalog buku kami dengan klik link di sini.

Dato' Onn

 

« Pesan-Pesan Buat Kaum Penulis – Kassim Ahmad
Nuruddin al-Raniri, Bustan al-Salatin dan Hal-Hal Yang Seputar Dengannya. »