Pesan-Pesan Buat Kaum Penulis – Kassim Ahmad June 3, 2018 – Posted in: Book Excerpts

Saya sebenarnya berasa ragu untuk bercakap dengan saudara-saudara mengenai soal sastera. Agak lama saya hanya mengikuti pergolakan dengan perkembangan sastera kita dari pinggir.

Ini bukanlah kerana minat saya terhadap perkembangan sastera kita telah berkurang dan saya telah berisytirehat sebagai seorang penulis. Sebab-sebabnya lain. Bagaimanapun, saya mempunyai beberapa fikiran dan pendapat mengenai perkembangan-perkembangan di dalam bidang sastera kita sekarang yang ingin saya kemukakan.

Kalau saya bertanya diri saya sendiri apakah kesan-kesan saya terhadap perkembangan-perkembangan sastera akhir-akhir ini, yakni dalam masa 5 atau 10 tahun yang lalu, saya akan menjawab; tidak begitu menyenangkan.

Penilaian ini adalah relatif kepada zaman Asas 50. Saya sedar ramai daripada penulis-penulis kita sekarang tidak akan bersetuju dengan kesimpulan ini, tetapi saya fikir ada sebilangan penulis-penulis yang berpengaruh yang mempunyai perasaan yang serupa.

Dalam demikian, pada pendapat saya, inilah masalah besar yang harus mendapat perhatian kita semua dan yang harus kita selidiki dengan serius dan teliti.

Pertama sekali, biarlah kita perhatikan beberapa kenyataan atau fakta berhubungan dengan kaum penulis yang wujud sekarang:

  1. Kita mempunyai bilangan penulis dan penerbit yang lebih ramai.
  2. Kebanyakan penulis-penulis ini terdiri daripda generasi muda.
  3. Pihak pemerintah telai mengakui taraf dan peranan penulis di dalam masyarakat.
  4. Jumlah pembaca lebih ramai.
  5. Keadaan negara dan masyarakat kita telah berubah.

Inilah kenyataan-kenyataan penting yang wujud sekarang yang mungkin mempengaruhi fikiran dan peranan para penulis kita hari ini.

Dari segi keadaan-keadaan material dan kemudahan-kemudahan lahiriah, nampaknya kaum penulis kita hari ini lebih bernasib baik daripada penulis-penulis Asas 50 – banyak penerbitan-penerbitan yang boleh menerbitkan karya-karya mereka dan kerajaan memberi galakan kepada mereka dengan hadiah-hadiah tahunan.

Tetapi dari segi keadaan-keadaan lain – moral dan intelektual – mereka kurang bernasib baik. Penulis-penulis Asas 50 mempunyai satu tanggungjawab sosial dan satu perjuangan yang dipikul bersama-sama bangsanya, iaitu mengembelingkan fikiran dan tenaga rakyat untuk perjuangan kemerdekaan.

Slogan ‘Seni Untuk Masyarakat’ yang mereka jadikan cogan kata perjuangan mereka adalah sesuai dengan tanggungjawab sosial ini.

Sekarang bagi kaum penulis kita tanggungjawab sosial ini sama ada tidak wujud atau tidak begitu jelas. Kebanyakan mereka menolak penglibatan dengan politik dan ideologi. Sungguhpun mereka tidak menyatakan slogan mereka secara terang-terangan, bolehlah kita katakan slogan itu ialah ‘seni untuk seni’.

Keadaan politik dan sosial di tanah air kita di dalam tahun-tahun enam puluhan telah berubah. Kemerdekaan politik telah dicapai dan dengan demikian perjuangan bangsa dan rakyat kita memasuki satu peringkat baru.

Peringkat ini dengan sendirinya adalah kompleks; tidak ada musuh bangsa penjajah yang asing seperti dahulu. Musuh dan kawan kita adalah di dalam masyarakat kita sendiri.

Soalan-soalan apakah corak masyarakat yang kita cita-citakan, apakah corak pembangunan yang kita mahu, apakah sikap kita terhadap berbagai golongan di dalam masyarakat kita, apa dia keadilan sosial dan bagaimana mencapainya, apa dia kebenanran dan bagaimana mencapainya, apakah sikap kita terhadap pegolakan yang sedang berlaku di seluruh dunia- meminta jawapan daripada kita semua, termasuk penulis-penulis.

Bagi tiap-tiap soalan ini ada dua atau satu jawapan yang mempunyai dua tafsiran; di sinilah letaknya keaneka-ragaman keadaan dan masalah yang kita hadapi.

Bagi penulis-penulis Asas 50, jawapan kepada soalan-soalan mereka adalah jelas dan terang. Penjajah mesti ditentang, kemerdekaan mesti direbut, dan pena mereka mesti digunakan untuk mencapai tujuan-tujuan ini.

Sekarang kita perlu memilih satu diantara dua jawapan atau da tafsiran. Atau dua garis bagi tiap-tiap soalan atau masalah kita. Dua garis atau dua konsep ini wujud dan mempengaruhi semua aspek kehidupan kita, termasuk seni dan sastera.

Satu konsep lama yang kita warisi dari zaman penjajahan dan feudal yang melihat segala masalah dari kacamata kaum atasan dan yang ingin menciptakan sastera kaum atasan.

Konsep kedua ialah konsep rakyat yang anti-feudal dan anti-penjajah yang melihat segala masalah dari kacamata rakyat dan yang ingin menciptakan sastera rakyat.

Pada fikiran saya, inilah soal pokok yang patut disedari dan diinsafi oleh kaum-kaum penulis, terutama penulis-penulis muda kita yang sedang berkembang.

—–

Artikel ini dipetik dari buku Kassim Ahmad yang menghimpunkan makalah-makalah beliau berjudul ‘Dialog dengan Sasterawan’ (Obscura 2014).

Buku ini juga boleh didapatkan di pautan ini: 

Dialog Dengan Sasterawan

« Intellectuals in Developing Societies
Dato’ Onn Jaafar Pernah Menggagaskan Idea Mirip Konsep Melayu Raya KMM »