Feudalisme Lawan Demokrasi: Pemisahan Masa Lepas Dengan Masa Kini October 11, 2018 – Posted in: Book Excerpts – Tags: , , , , , ,

Di Sumatera Timur, perhubungan antara kemajuan dan demokrasi amat diberi penekanan. Soeloeh Merdeka mengandungi ucapan-ucapan serta artikel-artikel yang berkaitan dengan keperluan untuk maju ke hadapan. Salah seorang sultan, Sjarif Kasim dari Siak dengan sendirinya melibatkan dirinya dalam usaha untuk mencapai demokrasi:

Jika dizaman nenek-moyang saya, rakyat mesti menurut saja segala perintah raja, masa sekarang ini hal itu dengan sendirinya mesti lenyap, sebab rakyat sudah cerdas, dan berhak dan wajib turut bertanggungjawab terhadap kemajuan pemerintah.19

Walaupun sesetengah orang Melayu menganggap tradisi kerajaan Melayu daripada segi teori mempunyai ciri-ciri kuasa mutlak, ramai yang percaya kemutlakan kuasa ini perlu dihapuskan. Penggunaan frasa ‘masa sekarang ini’ oleh Sjarif Kasim menunjukkan satu kesedaran bahawa masa telah berubah. Pendapat bahawa kepatuhan yang membuta tuli kepada arahan raja ‘mesti lenyap’ merupakan satu isyarat bahawa cara lama pentadbiran kerajaan harus ditinggalkan. Beliau menegaskan bahawa rakyat kini lebih ‘cerdas’ dan dengan ini mempunyai hak dan juga tanggungjawab untuk membantu membentuk pemerintahan. Hal ini boleh juga diandaikan bermaksud pada masa lampau rakyat bodoh dan jahil dan dengan itu tidak mempunyai hak atau tanggungjawab untuk terlibat melibatkan diri urusan pentadbiran. Seperti anak-anak muda lain yang berpendidikan, beliau sedar bahawa pendidikan mampu membawa perubahan yang mendalam tentang peranan yang sepatutnya dimainkan oleh masyarakat.

Gabenor Hasan telah menyatakan dengan jelas,

suasana sekarang sudah berobah, rakyat sudah sedar dan insaf akan 
harga diri dan harga lapisan atau kastanya. Dia menuntut hak kedaulatan rakyat… Aliran dunia ialah demokrasi.20

Kenyataan ini dengan terang mengaitkan kemajuan dengan demokrasi, seperti yang dapat dilihat apabila beliau menggunakan perkataan ‘obah’ dan ‘sudah sedar dan insaf’ semasa beliau cuba memberikan hujahnya tentang perlunya penglibatan rakyat dalam pemerintahan: trend dunia Yang menjurus kepada demokrasi tidak lagi dapat dibendung. Pemilihan perkataan seperti ‘berobah’, ‘sedar’ dan ‘insaf’ menunjukkan kemajuan 
membawa kepada kesedaran tentang hak-hak yang dimiliki oleh rakyat, Semasa merujuk kepada kerajaan Melayu Sumatera Timur, beliau menegaskan ‘mereka harus sanggup menyesuaikan dirinya sebagai autokrat menjadi demokrat dan menyesuaikan corak pemerintahannya dari autokrasi ke demokrasi’.21

Beliau tidak berselindung lagi dalam hal kewajipan kerajaan untuk berubah kepada sistem demokrasi. Perhubungan antara perubahan, kemajuan dan demokrasi amat jelas sekali. Gambaran beliau terhadap republik sebagai suatu yang demokratik dan kerajaan sebagai suatu yang autokratik menguatkan lagi pandangan bahawa kerajaan tidak progresif. 

Sultan Sjarif Kasim menyatakan pendapat beliau tentang ‘kedaulatan rakyat’ dan kemajuan seperti berikut:

Pada zaman dahulu kala rajalah yang memegang kekuasaan tertinggi dalam negeri dan rakyat boleh dikatakan tidak mempunyai hak apapun melainkan ia mempunyai kewajiban terhadap rajanya. Hal yang demikian terkadang-kadang menyebabkan timbul pendapat bahawa segala apa yang ada dalam negeri itu menjadi hak miliknya. Sejarah dunia cukup memberi contoh-contoh. Akan tetapi manusia senantiasa mencari dan mencapai kemajuan. Akhirnya timbul pula faham kedaulatan rakyat, yang juga menjadi salah satu sendi negara kita. Memang dari dahulu saya pro-demokrasi, jadi pro-kedaulatan rakyat. Kalau rakyat maju saya turut maju.22

Dalam meneliti perkatan-perkataan yang digunakannya, kita pasti akan sedar bahawa ‘zaman dahulu kala’ digunakan sebagai sesuatu yang berlawanan dengan ‘zaman sekarang’. Frasa ‘zaman dahulu kala’ tidak menunjukkan bila zaman itu bermula atau pun bila zaman tersebut berakhir. Sebaliknya, istilah ini bermaksud masa lampau yang dibezakan dengan zaman sekarang. Ini merupakan satu kerangka dualistik sematamata di mana yang lama dibezakan dengan yang baru, dan dengan jelas sekali tidak membezakan zaman kolonial dengan zaman pra-kolonial.

Penerangan yang diberikan oleh Sjarif Kasim tentang ‘zaman dahulu kala’ sebagai satu zaman lampau di mana raja mempunyai kuasa mutlak dan rakyat tidak mempunyai apa-apa hak langsung merupakan satu kenyataan yang jelas sekali tentang ‘zaman dahulu’ kerajaan. Pada zaman perubahan dalam sejarah Melayu, terdapat suara-suara yang cuba untuk mengagung-agungkan zaman Melayu lampau. Pernyataannya tentang manusia yang cuba dan berjaya untuk mencapai kemajuan merupakan perkara yang menegaskan lagi kefahaman beliau bahawa perubahan merupakan sesuatu yang pasti akan berlaku. Dengan melibatkan dirinya dengan kemajuan, masa depan beliau bergantung kepada kemajuan rakyat.

Satu tafsiran yang tegas tentang kemajuan dan demokrasi diberikan oleh Luat Siregar dalam satu ucapan kepada sultan-sultan:

Kita mesti merubah jalan fikiran kita, membuang yang lama usang dengan yang baru berguna. Segala sifat yang kolot yang berbau feodal harus dihapuskan. Segala susunan dan tindakan yang tidak cocok dengan tuntutan rakyat pada waktu ini harus diubah. Dizaman Indonesia merdeka, daerah manapun juga sekali-sekali tidak akan dapat berdiri jikalau tidak dikendalikan menurut asas kedaulatan rakyat.23

Kenyataan beliau pasti dianggap sebagai antara yang paling radikal terhadap tema kemajuan. Perhatian yang khusus kepada perubahan disampaikan melalui ungkapan seperti ‘merubah jalan fikiran’, ‘membuang yang lama usang dengan yang baru berguna’, ‘sifat yan kolot’, ‘tidak cucuk dengan tuntutan rakyat pada waktu ini’ dan ‘harus diubah’ — kesemua ungkapan merujuk kepada hakikat bahawa yang lama digantikan dengan yang baru dan progresif. Yang penting di sini ialah hubungan yang buat loleh Luat antara ‘kolot’ dengan ‘anti-kedaulatan rakyat’. ‘Zaman Indonesia merdeka membawa maksud pembukaan satu bab baru berkaitan kemajuan bagi Indonesia yang merdeka dengan ‘kedaulatan rakyat’ sebagai asasnya.

Jamaluddin Adinegoro, seorang wartawan dan nasionalis yang terkenal, uga turut mengaitkan demokrasi secara terang-terangan dengan kemajuan:

Demokrasi adalah satu cita-cita yang suci murni sebab dia memberikan hak yang seluas-luas kepada rakyat dan kerana hanya dalam suasana demokrasi itu rakyat dapat kemajuan yang tidak terbatas. Akan tetapi untuk mencapai kemajuan demokrasi, rakyat harus menembus beberapa front yang seolah-olah mengunkung demokrasi itu, dengan pasukannya iaitu feudalisma yang berdasar autocrasi dan lagi sering menimbulkan tindakan sewenang-wenang kapitalisme, commercialisma, birokrasi, anarkisma serta nihilisma.24

Beliau menyatakan secara dogmatik bahawa kemajuan tidak dapat dipisahkan daripada demokrasi. Tambahan pula, kemajuan juga dapat membawa kepada kejayaan dari segi material. Dalam hal ini, kemajuan merupakan satu nilai positif yang dibezakan daripada feudalisme yang sepatutnya ditolak sebagai sesuatu yang negatif. Beliau mencirikan feudalisme sebagai autokratik dan arbitari dan menggambarkannya sebagai suatu yang menjadi penghalang kepada kemajuan. Menurut Jamaluddin, feudalisme membawa kepada kapitalisme, komersialisme, birokrasi, anarki dan nihilisme. Konsep-konsep Barat ini besar kemungkinan tidak difahami oleh pembacanya yang tidak mempunyai pemahaman ciri-ciri Barat seperti Jamaluddin. Istilah-istilah ini mungkin digunakan untuk mengagumi pembacanya dan memburukkan imej kerajaan dengan menggambarkannya secara negatif.

Luat telah menggunakan ‘feudal’ sebagai satu ‘sifat yang kolot yang berbau feudal’, sementara Jamaluddin mengaitkan feudalisme dengan beberapa konsep yang negatif dalam bahasa Belanda. Hasan menyatakan bahawa ‘dalam aturan republik, mereka hanya dibenarkan wujud dalam struktur pentadbiran yang didemokrasikan secepatnya’.25

Apakah kepentingan perkataan ‘feudal’? Mengapakah para nasionalis Asia menggunakan perkataan tersebut dalam konteks masyarakat serta institusi politik mereka sedangkan tidak ada sistem fief atau pun ciri-ciri lain yang sering dianggap oleh ahli sejarah sebagai ciri-ciri khusus feudalisme seperti yang diketahui wujud dalam masyarakat Eropah?

Jawapannya adalah tafsiran tempatan istilah feudalisme yang diguna oleh para nasionalis ini kepada masyarakat mereka dengan harapan ‘menjadikan masyarakat Asia terbancuh ke dalam skema evolusionari Barat, dengan harapan menafikan keunikan dan autonomi setiap masyarakat’.26

Satu kajian memberi perhatian kepada perkara berikut:

Di Indonesia, seperti di kebanyakan negara-negara Asia, istilah ‘feudalisme’ menjadi sangat popular pada 1930-an dan 40-an. Istilah ini sebahagiannya berasal daripada jargon yang ahli nasionalis menerima dengan cepat dari Marxisme, kerana ia seolah-olah untuk meletakkan masyarakat mereka di atas jalan kemajuan linear yang tidak dapat dielakkan. Dengan membuat satu analogi yang jelas dengan sejarah Eropah, konsep ini menekankan bahawa keluaraga diraja dan pegawai bangsawan yang dilindungi oleh kuasa kolonial merupakan saki baki anarki zaman silam. Ini membantu memberikan pengesahan kepada aspirasi nasionalis untuk menggantikan bukan sahaja penjajahan tetapi juga hierarki dalaman yang berdasarkan keturunan kepada perintah yang lebih demokratik berdasarkan pendidikan dan kemahiran mobilisasi massa. Pada perengkat yang popular, ‘feudal’ disamakan sebagai penindasannya ‘bangsawan’ atau ‘tradisional’.27

Menurut para nasionalis, feudalisme merupakan satu tahap dalam sistem evolusi sesuatu masyarakat. Ia merupakan satu tahap yang tidak lagi diperlukan dan kini dilihat sebagai kolot. Pada masa yang sama, para nasionalis yang berhaluan Marxis menggunakan istilah ‘feudal’ dari sudut Marxist historicist di mana feudalisme diketepikan akibat daripada revolusi sosial dan kemajuan ke arah masyarakat yang adil dan egalitarian. Dalam kenyataan rasmi mereka, para nasionalis Sumatera Timur menunjukkan bahawa mereka telah mendalami konsep kemajuan dan bahawa perubahan yang dituntut oleh mereka merupakan perubahan yang penting yang timbul daripada konflik dalam masyarakat sendiri.

References

19. Soeloeh Merdeka, 2 Februari 1946.
20. Soeloeh Merdeka, 4 Februari 1946.
21. Ibid.
22. Soeloeh Merdeka, 17 Januari 1946.
23. Soeloeh Merdeka, 4 Februari 1946.
24. Soeloeh Merdeka, 19 Februari 1946. 
25. Soeloeh Merdeka, 4 Februari 1946.
26. Lihat Craig J. Reynolds, ‘Feudalism as a trope or discourse for the Asian past with special reference to Thailand’, dalam Edmund Leach, S.N. Mukherjee dan John Ward (penyt.), Feudalism: Comparative Studies, Sydney: Sydney Association for Studies in Society and Culture no. 2, 1985, ms. 135-54.
27. Takeshi Ito dan Anthony Reid, ‘From harbour autocracies to “feudal” diffusion in seventeenth century Indonesia: The case of Aceh’, dalam Edmund Leach, S.N. Mukherjee dan John Ward (penyt), Feudalism: Comparative Studies, Sydney: Sydney Association for Studies in Society and Culture, 1985, ms. 197.

Excerpt Source

“Bab 6: Demokrasi Melalui Kedaulatan Rakyat — Feudalisme Lawan Demokrasi: Pemisahan Masa Lepas Dengan Masa Kini.” Bangsa Melayu: Konsep Bangsa Melayu Dalam Demokrasi Dan Komuniti, 1945-1950. By Ariffin Omar. 2nd ed. Petaling Jaya: SIRD, 2017. 230-235. Print.

Author

Ariffin Omar kini berkhidmat di Penang Institute dan kajian penyelidikan beliau menumpukan negara, nasionalisme, perhubungan kaum dan kebebasan agama. Beliau juga adalah mantan ahli senat yang mewakili Pulau Pinang di parlimen Malaysia (2012–2015).

Buy This Book

« Kegagalan Marxisme
Sultan Yang Menderhakai Rakyat »