Darihal Kewujudan Laksamana Melaka November 15, 2018 – Posted in: Book Excerpts

Walaupun Hang Tuha (atau Hang Toh) dan pengembaraannya itu hanyalah sebuah fiksyen, namun kewujudan orang yang bergelar Laksamana yang benar-benar hidup pada masa Sultan Mansur Syah (r. 1458/9-1477), (ataupun sejak sebelumnya lagi) dan juga pada masa pemerintahan ‘Alauddin Ri’ayat Syah (r. 1477-1481), dan juga masa Mahmud Syah (r. 1481-1511) adalah suatu kebenaran sejarah. Bahawa jawatan Laksamana itu disandang oleh seorang Melayu tidak perlu dipersoalkan.

Tohmahan Leonard Andaya yang mendakwa kononnya orang yang berjawatan Laksamana adalah Orang Laut sama sekali tidak benar kerana tidak terbukti dengan jelas sekalipun dia berhujah bahawa kerajaan Melayu bergantung kepada khidmat Orang Laut sebagai pemandu bagi kapal-kapal yang masuk ke kawasan perairan kerajaan (Andaya, 2008: 188). Bahkan Andaya dalam perbincangannya mengenai “Melayu” dia pun sebaliknya telah mengakui bahawa mereka yang diambil oleh raja sebagai kaum bangsawan dan pembesar istana itu telah menjadi Melayu justeru kerana hasil kahwin campur dengan satu suku dalam rumpun Melayu iaitu Orang Laut.

Satu lagi tohmahan sejarawan ini ialah bahawa di dalam Hikayat Hang Tuha Laksamana Melaka itu telah digambarkan sebagai seorang yang “lahir daripada keluarga sakai atau Orang Laut” (ibid: 186 dan 198). Andaya jelas telah tersilap baca Hikayat Hang Tuha dan telah cuba membesar-besarkan dakwaan Tome Pires bahawa jawatan Laksamana Melaka dan Bendahara dipegang oleh Orang Laut, suatu dakwaan yang tidak dibuktikannya (lihat Pires, 2005 [1944]: 235).

Pendapat yang mengaitkan jawatan Laksamana dengan Orang Laut ini (yang ternyata kemudiannya diberi gelar Hang Tuha di dalam Sulalat u’s-Salatin) diluahkan di sebalik dakwaan dalam versi-versi Sejarah Melayu yang disalin terkemudian28 bahawa Hang Tuha itu berasal dari Makasar.

Dia dikatakan anak Raja Bajing yang kononnya dihadiahkan kepada raja Melaka, Sultan Mansur Syah, ketika usianya masih belasan tahun lagi. Nama asalnya ialah Daeng Mampuh [ ممفوه ] ada juga yang membacanya sebagai Mempawah). Hang Tuha dikatakan adalah anak Raja Bajung [sic, Bajing].29

Dalam beberapa dokumen Portugis (de Goes; De Sa Insulinda; De Castanheda)30 kewujudan orang yang berjawatan Laksamana itu memang disebutkan. Bahkan Afonso Dalboquerque sendiri mengakui bahawa selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis seorang yang berpangkat ‘Lassamane’ telah datang ke Sungai Muar untuk memohon surat pelindung daripada Portugis agar membolehkannya tinggal di Melaka, dan berkhidmat kepada Raja Portugal.

Tetapi selepas surat pelindung itu dikeluarkan dia tidak pula jadi datang ke Melaka kerana dihasut oleh Utimutiraja pembesar Jawa yang telah belot terhadap Sultan Melaka (de Goes), tetapi sebaliknya dia terus diam di Singapura. Usia orang yang dikatakan Laksamana itu dianggarkan oleh Dalboquerque sebagai 80 tahun (De Castanheda; dan The Commentaries, 1774: 90). 

Tetapi sumber Portugis (The Commentaries, 1774: 81) juga menyatakan Laksamana Melakalah yang mengusir tentera Siam 22 tahun sebelum Portugis menakluki Melaka. Apakah Laksamana tersebut merupakan orang yang sama dengan Laksamana yang dilaporkan oleh Dalboquerque pada tahun 1511 itu sukar hendak dipastikan. Ini kerana di dalam naratif Sulalat u’s-Salatin disebutkan bahawa ada lebih daripada seorang Laksamana. Kendati demikian, seandainyalah Laksamana yang dikatakan berusia 80 tahun itu adalah orang yang sama yang mengeluari tentera Siam 22 tahun sebelum Portugis menakluki Melaka, maka ini bermakna pada sekitar 1489 atau 1490 usia Laksamana Melaka tentulah sudah mencapai enam puluh tahun.

Pada tahun 1480 dan 1481 ketika dia menjadi penasihat Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Syah (Kubota 1969: 116-120) dia berkemungkinan berusia sekitar 50 atau 51 tahun. Jika anggaran usia ini munasabah maka bermaknalah andaian Dalboquerque bahawa Laksamana yang dikatakan ‘seorang soldadu yang kawakan, memiliki nama yang baik dan sangat berpengetahuan’ itu berusia lapan puluh tahun ketika berada di Singapura itu mungkin ada juga benarnya.

Oleh yang demikian, seandainya dia berusia sekitar 60 tahun pada waktu dia mengusir tentera Siam itu, besar kemungkinannya dia telah lahir sekitar 1430. Tetapi jika diandaikan bahawa terdapat lebih daripada seorang Laksmana dalam sejarah kesultanan Melaka, maka tarikh kelahiran Laksamana Melaka yang terkenal pada zaman Sultan Mansur Syah itu pastilah sukar ditentukan.

Sumber Portugis ada menyebut, jawatan Laksamana adalah jawatan seorang daripada lima orang besar-besar istana. Menurut hierarkinya, yang berkedudukan tertinggi selepas Sultan ialah Paduka Raja; ini diikuti oleh Bendahara, yang mengawal perbendaharaan, dan mengurus pemerintahan kerajaan. Kadangkala Bendahara juga memegang kedua-dua jawatan iaitu sebagai Bendahara dan Paduka Raja. Di bawahnya ialah Laksamana, Temenggung dan Syahbandar (The Commentaries, 1774: 87).

Walaupun sumber Portugis mengatakan jawatan Laksamana adalah setara dengan panglima laut yang tertinggi. namun berdasarkan kisah petualangannya di dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuha, gambaran yang dilukiskan mengenai orang yang berpangkat Laksamana itu adalah seorang panglima Raja yang berperanan sebagai seorang jeneral di zaman moden. Melalui surat-surat Laksamana Melaka kepada raja Ryukyu itu, kita pun mendapat kesan bahawa dia boleh bertindak bagi pihak raja Melaka.

Kewujudan Laksamana Melaka jelas dibuktikan oleh sekurang-kurangnya dua, kalau tidak pun tiga pucuk surat daripada orang yang berjawatan itu kepada raja Ryukyu dalam tahun 1480 dan 1481 (Kobata dan Matsuda 1969: 116-21).

Tetapi kisah petualangan dan pelayarannya hanyalah mitos yang direkayasa oleh pengarang hikayat, justeru demikian Hikayat Hang Tuha harus dilihat sebagai tidak lebih daripada sebuah karya sastera agung bangsa Melayu. Karya ini hanya menceriterakan kisah mitos Laksamana Melaka yang tidak diketahui namanya. Sesungguhnyalah Hikayat Hang Tuha yang muncul sebagai sebuah karya yang hebat selepas Melaka jatuh itu, merupakan karya yang agung bagi orang Melayu, dan kedudukannya — tidak lebih dan tidak kurang — adalah semata-mata sebuah karya sastera fiksyen, dan bukannya sejarah, sekalipun berlatarkan unsur sejarah yang dimitoskan.

Apabila Hikayat Hang Tuha dihasilkan antara dasawarsa ke empat dan dasawarsa ke enam kurun yang ke-17 oleh seorang pengarang yang tidak dikenali, yakni ketika ingatan bangsa Melayu masih lagi disegarkan oleh cerita-cerita lisan mengenai kehilangan sebuah kerajaan nenek moyang sekitar hampir satu setengah abad terdahulu, kisah pahit kekalahan tersebut sesungguhnya menjadi suatu pukulan yang sangat hebat pada hati nurani dan ego bangsa Melayu, terutama dalam kalangan puak elitnya.

Penciptaan sebuah hikayat yang isinya memberi tumpuan kepada petualangan seorang Laksamana pada zaman kegemilangan Melaka haruslah dilihat sebagai upaya mengenang kembali sisa-sisa riwayat sebuah kesultanan yang mengharukan itu. Apakan daya, Melaka yang hebat dan hulubalangnya yang perkasa yang bergelar Laksamana itu hanya mampu dijadikan model untuk pengarang hikayat mencipta watak yang dimitoskan yang berlandaskan kisah-kisah yang dilakarkan di dalam Sulalat u’s-Salatin

References

28. Versi-versi Sejarah Melayu, itu ialah M.S. Orient No. 1706 (298), M.S. Orient No. 1736 (naskhah milik Sri Paduka Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar), dan naskhah Co. Or. 1026.
29. Mampuh dalam bahasa Sunda berarti kuat, mampu atau berupaya untuk menandingi atau menyamai; juga bererti berpengaruh (Budi Rahayu 1996: 642; dan Hardjadibrata 2003: 519).
30. Lihat Portuguese Documents on Malacca (collected, translated and annotated by M. J. Pintado), vol. 1, 1509-1511, Kuala Lumpur: National Archives of Malaysia, 1991, passim.

Excerpt Source

“Pengenalan: Kewujudan Laksamana Melaka.” Introduction. Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua). By Ahmat Adam. 1st ed. Petaling Jaya: SIRD, 2018. 15-17. Print.

About The Author

Ahmat Adam adalah Profesor Emeritus dalam bidang sejarah, bekas Felo Penyelidik Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan Felo Pelawat di Oxford Centre for Islamic Studies, Oxford University. Penyelidikan akademik beliau meliputi sejarah Indonesia moden, gerakan kebangsaan di Asia Tenggara dan sejarah persuratkhabaran berbahasa Melayu. Antara karya yang dihasilkan beliau adalah Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua), Batu Bersurat Terengganu: Betulkah Apa yang Dibaca Selama Ini?, Suara Minangkabau: Sejarah Dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Di Sumatera Barat 1900-1941, Sejarah Awal Pers dan Kebangkitan Kesadaran Keindonesiaan, dan Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia.

Buy This Book

« Kawah Buku and DISKOPI Denounce the Act of Cowardice by Hidden Hands to Obstruct Hishamuddin Rais from Speaking at Sekolah Malam
Reconnecting the Malay World: Ibrahim Yaakob’s Re-suturing of Pahang and the Rest of the Malay Archipelago »