Perubahan Identiti Orang Cina di Malaysia December 6, 2018 – Posted in: Book Excerpts

Ketika sampai di Asia Tenggara, tidak kira sama ada secara sukarela atau tidak, orang Cina telah memasuki suatu alam sosial yang amat berbeza dengan tempat asal mereka. Interaksi mereka dengan orang bukan Cina di Asia Tenggara telah mencetuskan kesedaran perbezaan ras yang lebih kuat daripada yang ada di tempat asal mereka yang lebih homogen. Mitos mereka tentang orang gasar atau barbarian yang berdasarkan imaginasi sebelum itu semakin hilang dengan perlahan-lahan setelah mereka berinteraksi dengan orang putih, orang India, orang Asli dan orang Melayu secara bersemuka di tempat kerja, pasar dan tempat kediaman.

Sebilangan besar orang Cina ketika itu hanya mahu tinggal sementara di Asia Tenggara. Mereka datang untuk mencari rezeki dan mengumpul harta. Istilah yang tepat untuk menggambarkan mereka ketika itu ialah sojourner atau hua-qiao (华侨).1 Walaupun secara fizikalnya mereka sudah berada di Asia Tenggara, tetapi jiwa mereka masih belum terpisah dari tanah air mereka. Tafsiran mereka tentang Asia Tenggara sebagai tempat persinggahan sementara waktu itu menyebabkan mereka berpegang kuat kepada lambang yang penting untuk mengekalkan ciri kecinaan mereka, terutama dari segi kebudayaan dalam usaha mewujudkan identiti kebudayaan mereka.

Kesedaran tentang identiti mereka sebagai rakyat China diperbaharui melalui pelbagai hubungan dengan China. Ia termasuk sarjana yang berkunjung dan membantu menulis inskripsi di kuil atau persatuan, juga orang tengah (Shui Ke 水客) yang membawa surat dan barangan dari China dari semasa ke semasa Kesemua aktiviti tersebut telah membantu orang Cina bukan sahaja mengingati identiti, tetapi juga menjalinkan hubungan mereka dengan kampung halaman di China. Selain itu, surat khabar, terutama Lat Pau (叻報) melaporkan kejadian dan berita di China.4 Lawatan sarjana, orang tengah, surat, hantaran barangan buatan China dan berita tentang China telah menjadi pemangkin dalam memperkukuhkan identiti orang Cina pada mereka, selain menjalinkan hubungan yang rapat dengan China.

Pendatang Cina ketika itu menyedari bahawa mereka amat memerlukan pegangan agama dalam kehidupan baru mereka di Malaya yang tidak stabil. Setelah menempuhi perjalanan laut yang begitu berbahaya, mereka mendapati masa depan yang penuh dengan ketidaktentuan. Kebanyakan mereka pada masa itu mengamalkan kepercayaan campuran ajaran agama Buddha, Taoisme dan kepercayaan tradisional. Mereka telah membina banyak tokong yang menyembah Guan Yin (观音), Tien Hou (天后) dan Guan Ti (关帝) untuk mendoakan keselamatan nyawa dan harta, meminta dikurniakan rezeki, selain mendoakan kesihatan seisi keluarga. Tokong bukan sahaja tempat sembahyang, tetapi juga pusat pentadbiran dan kebajikan komuniti Cina. Walaupun dewa yang disembah itu berbeza, dan mengikut kumpulan dialek masing-masing, namun fungsi agamanya adalah sama; iaitu sebagai satu set simbol kolektif yang dapat mengatasi perbezaan minat ekonomi dan status sosial, demi menyatukan kumpulan-kumpulan yang berlainan dalam komuniti Cina. Selain tokong, persatuan yang berorientasikan dialek atau hui guan (会馆), juga memainkan peranan yang penting. Walaupun hui guan adalah untuk kumpulan dialek minoriti, tetapi kepercayaan agama telah merentas perbezaan dialek berkenaan.4,7

Organisasi sosial Cina ketika itu berbentuk kongsi gelap (secret society). Peranan dan objektif kongsi gelap ketika itu berbeza dengan yang ada sekarang. Kongsi gelap ketika itu adalah struktur kuasa yang diizinkan pihak berkuasa pada zaman kolonial Inggeris. la mempunyai kuasa kawalan de facto dinasti Ching ke atas orang Cina di negara lain dengan menggunakan sistem kapitan (ketua). Tujuan kongsi gelap ditubuhkan turut berubah dan bukan lagi untuk perjuangan politik, iaitu menggulingkan pemerintahan Manchu dan menubuhkan semula dinasti Ming, namun sebaliknya digunakan oleh kerajaan Ching untuk berfungsi sebagai institusi yang melindungi serta membantu ahlinya. Selepas tahun 1889, kongsi gelap telah menjadi berbahaya, lalu diharamkan oleh pihak pentadbiran Inggeris.6,8

Wajah orang Cina awal abad ke-19 berbeza dengan orang peribumi Asia Tenggara, terutama dari segi gaya rambut. Oleh sebab tertakluk kepada adat Manchu, semua orang Cina mempunyai tocang, yang mempunyai makna yang amat besar. Selain merupakan anugerah daripada ibu bapa sebagai sebahagian tubuh badan, tocang adalah simbol yang menunjukkan identiti mereka yang saksama, tanpa kira status sosial dan ekonomi. Ia juga menjadi kemegahan mereka.4,7

Orang Cina yang merantau turut menyambut hari perayaan tradisional. Perayaan itu membawa makna yang besar dalam mengekalkan ciri-ciri kecinaan mereka. Mereka merayakan Tahun Baru Cina, Hari Kelahiran Tian Gong (天公) yang jatuh pada hari kesembilan bulan pertama, Chap Goh Mei atau Yuan Xiao (元宵) pada hari kelima belas bulan pertama, Qing Ming (清明) yang jatuh pada bulan ketiga, Zhong Yuan (中元), iaitu perayaan Bulan Hantu, yang jatuh pada hari kelima belas pada bulan tujuh, dan perayaan Zhong Qiu (中秋), iaitu perayaan Kuih Bulan, yang jatuh pada bulan kelapan. Semua hari perayaan itu disambut mengikut tarikh dalam kalendar lunar orang Cina di China. Ritual perayaan juga perlu diadakan mengikut tradisi seperti di China. Perayaan itu penting bukan sahaja memberi motivasi kepada orang Cina, yang majoritinya terdiri daripada kaum lelaki, tetapi juga sebagai lambang perpaduan orang Cina, tidak mengira tempat tinggal dan kumpulan dialek mereka.4,7

Dari segi perubahan identiti nasional, kesedaran identiti nasional atau politik orang Cina hanya muncul pada tahun 1920-an atau 1930-an dengan berkembangnya reformis dan revolusioner di luar China. Ideologi reformis dan revolusioner mula berpengaruh dalam kalangan huaqiao, orang Cina di seberang laut, kerana mereka mempunyai potensi kewangan yang tinggi di satu pihak dan taat setia yang kuat terhadap tanah air mereka di pihak yang lain. 

Hal ehwal politik China pada awal abad ke-20 mempunyai kesan kuat ke atas huaqiao. Selepas kalah dalam peperangan Sino-Japanese, reformis seperti Kang Yu-wei dan Liang Chi-chao memulakan Pembaharuan Seratus Hari (Hundred Days’ Reform) pada tahun 1898 untuk memberi nafas baru kepada dinasti Ching yang semakin korup. Selepas usaha itu gagal, mereka melarikan diri ke seberang laut termasuk Jepun dan Amerika Utara. Semasa berada di seberang laut, Kang telah menubuhkan Bao Huang Hui (Emperor Protection Society 保皇会) yang mempunyai cawangan di banyak negara, termasuk Singapura dan Malaya.6,9 Golongan reformis memperalatkan media seperti surat khabar, dan persatuan seperti Chinese Philomatic Society, termasuk mempromosikan nasionalisme orang Cina, idea kemajuan, reformasi dan ketaatan kepada Raja Guang-hsu. Objektif mereka ialah untuk meniup dan menyemarakkan lagi kesedaran politik baru kepada orang Cina. Kang Yu-wei dan Liang Chi-chao juga yakin bahawa pendidikan merupakan faktor penting untuk pemodenan China. Oleh itu, mereka amat aktif dalam menubuhkan sekolah moden dalam masyarakat Cina.

Pengaruh revolusioner pula adalah lebih lambat dan semakin lesu. Selepas gagal dalam pergerakan revolusi di Waichow, Guangdong, pada akhir tahun 1900, ramai ahli revolusi mencari perlindungan di Malaya. Mereka menubuhkan persatuan untuk menyebarkan ideologi revolusi dan republikanisme. Zhong He Tang (中和堂), misalnya, telah menubuhkan Persatuan Yu Lieh di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Seremban. Sementara itu, Persatuan Jiu Guo Shi Ba Yau pula ditubuhkan di Tangkak pada tahun 1897 dan Persatuan Tong Meng Hui (Society of Alliance 盟会) ditubuhkan oleh Sun Yat-sen pada 7 Ogos 1906. Dua tahun kemudian, Tong Meng Hui telah menubuhkan beberapa lagi cawangan baru di Pulau Pinang, Seremban, Ipoh, Kuala Pilah, Muar dan Kuantan. Tong Meng Hui bukan sahaja menyebarkan ideologi revolusi dan republikanisme melalui akhbar, kelab pembaca dan pertunjukan drama, tetapi juga mengutip derma untuk dijadikan dana bagi menggulingkan kerajaan Manchu di China.6

Idea reformis dan revolusi telah memberi impak besar ke atas kesedaran politik orang Cina dalam lapisan masyarakat. Hubungan mereka dengan China telah berubah daripada fahaman tradisi Confucian yang menggam barkan China sebagai sebuah cultural empire kepada fahaman yang moden, iaitu China sebagai nation state atau negara bangsa yang terdiri daripada entiti ekonomi dan politik. Dengan kata lain, identiti orang Cina pada masa itu telah berubah daripada berorientasikan budaya kepada berorientasikan politik.

Tetapi, bukan semua orang Cina di Malaya menyokong reformis atau revolusi.2 Selain itu, nasionalisme China dalam kalangan orang Cina telah menurun akibat proses asimilasi dan integrasi yang sukar dielakkan di negara yang baru. Dengan itu, sudah tercetus nasionalisme setempat (indigenous nationalism). Perkembangan itu sedikit sebanyak memberi reaksi mereka kepada nasionalisme China. Namun, tidak ada konflik yang wujud antara kedua-dua nasionalisme tersebut sebelum Perang Dunia Kedua.5

Selepas Perang Dunia Kedua, ramai orang dari negara China telah berusaha mencari ahli keluarga dan saudara mara mereka di Nanyang (南洋). Sejak tahun 1945, idea orang Cina sebagai huaqiao telah berubah.5 Majoriti mereka tidak lagi menganggap kedudukan mereka di Malaya sebagai sementara, tetapi yang tetap. Mereka mula melihat diri sebagai huayi (华裔), iaitu keturunan Cina.3 Konsep kecinaan yang dibincangkan sehingga ini boleh dilihat dari segi bagaimana orang Cina mengekalkan amalan budaya yang semakin banyak ditinggalkan dari satu generasi ke generasi yang baru. Perkembangan tersebut boleh juga ditinjau dari segi hubungan mereka dengan tempat asal mereka melalui lawatan, surat khabar juga propaganda politik. Interaksi mereka dengan kaum peribumi tidak boleh dielakkan kerana ada perbezaan yang besar antara dua kom uniti tersebut.

Walaupun ada huayi di Malaya ingin mengekalkan identiti kecinaan mereka, ramai juga orang Cina telah dipengaruhi oleh kebudayaan Melayu dan Barat. Pendatang Cina menghadapi pelbagai masalah, terutama dalam hal perkahwinan. Mengikut adat resam Cina, wanita Cina dihalang meninggalkan negara China dan ini telah menyebabkan huayi mengahwini wanita tempatan. Keturunan daripada kahwin campur dikenali sebagai Baba dan Nyonya.11 Sementara itu, ramai orang Cina yang lahir di Asia Tenggara telah dihantar ke sekolah Inggeris. Selepas terdedah kepada pengaruh Barat, mereka turut menerima nilai Barat dan adat resam orang Barat.

Selepas Perang Dunia Kedua. nasionalisme yang berdasarkan min-zu (race-nation 民族) semakin merosot dalam kalangan orang Cina kerana ramai antara mereka sudah menetap di Asia Tenggara. Mereka meninggalkan nasionalisme China dan digantikan dengan nasionalisme Malaya. Namun, mereka telah membina kesedaran identiti komunal yang kuat untuk menuntut hak komuniti mereka dalam pembahagian kuasa di Malaya. Pemimpin komuniti yang masih mengekalkan sebahagian identiti kebudayaan yang lama itu telah juga memperjuangkan agar ciri-ciri itu dapat diperakui secara rasmi sebagai sebahagian daripada komposit identiti nasionalisme Malaya.1

Simbol identiti orang Cina yang signifikan dan sentiasa dibangkitkan ialah dari aspek pendidikan dan status bahasa Cina.1,4,10,13,14 Kesedaran orang Cina tentang pentingnya bahasa Cina dikekalkan sebagai bahasa pengantar di sekolah menjadi semakin kuat selepas pengumuman Laporan Pendidikan Barnes 1951 (Barnes Report of 1951) yang menafikan pentingnya mempelajari bahasa ibunda dalam sistem pendidikan.15 Pegawai kolonial British memandang sekolah Cina sebagai halangan besar dalam mengintegrasikan orang Cina dengan orang Melayu. Dengan kata lain, sekolah Cina telah memperlahankan proses hegemoni di Malaya sebelum merdeka. Orang Cina, terutamanya yang menerima pendidikan di sekolah Cina, melihat perjuangan mereka untuk mengekalkan bahasa Cina sebagai bahasa ibunda itu penting demi mengekalkan identiti dan kebudayaan Cina. Mereka melihat muyu atau bahasa ibunda sebagai roh kepada identiti, budaya dan ras orang Cina. 

Namun, matlamat perjuangan bahasa Cina dalam kalangan orang Cina berbeza selepas Akta Pendidikan 1961 diluluskan. Akta tersebut mensyaratkan peperiksaan umum di peringkat sekolah menengah dikendalikan dalam bahasa Inggeris atau Melayu.14 Akta Pendidikan 1961 juga mensyaratkan bahawa sekolah Cina ditukar menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dengan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran. Sekolah Cina yang menerima syarat tersebut akan diberikan bantuan kewangan sepenuhnya oleh kerajaan. Namun, pemimpin United Chinese School Teachers’ Association (UCSTA) melihat Malaya sebagai masyarakat pelbagai kaum dan pelbagai budaya, maka seharusnya diberi layanan yang sama dan menghormati bahasa yang dipertuturkan oleh kumpulan ras masing-masing. Bagi UCSTA perjuangan bahasa Cina dan pengekalan sekolah Cina sama dengan perjuangan hak dan kedudukan orang Cina. Pemimpin masyarakat Cina dan UCSTA menegaskan bahawa bahasa Cina harus dipertahankan dalam pengajaran, biarpun kehilangan bantuan kewangan daripada pihak kerajaan.13

Namun begitu, guru besar Sekolah Tinggi Chung Ling, David Chen dan Waung Yoong Nien berpendapat bahawa penggunaan bahasa Cina sepenuhnya sudah tidak penting bagi sekolah Cina. Pada pandangan mereka adalah lebih penting untuk sekolah Cina melahirkan pelajar yang bermutu dan mudah mendapatkan pekerjaan. Mereka percaya bahawa dengan menekankan penggunaan bahasa Inggeris, matlamat tersebut dapat dicapai dengan lebih berkesan. Mereka menegaskan bahawa identiti orang Cina lebih penting dilihat dari segi kejayaan mereka dalam bidang pendidikan dan kerjaya profesional dan bukan penggunaan bahasa Cina semata-mata.13

Wacana identiti orang Cina dalam perjuangan bahasa Cina dalam bentuk pergerakan, atau Chinese education movement, berlanjutan sehingga kini. Peristiwa yang membabitkan isu status Bahasa Cina bukanlah sekadar Laporan Pendidikan Barnes 1951 dan Akta Pendidikan 1961, tetapi juga dibangkitkan dalam cadangan penubuhan Universiti Merdeka pada tahun 1964, lebih-lebih lagi tindakan kerajaan menempatkan guru yang tidak tahu berbahasa Cina di sekolah Cina pada tahun 1987, pelaksanaan Akta Pendidikan 199616 dan penggunaan bahasa Inggeris dalam mengajar subjek sains dan matematik pada tahun 2004. Kesemua aktiviti tersebut sudah menjadi simbol perjuangan orang Cina untuk mengekalkan bahasa Cina dan sekolah Cina sebagai identiti orang Cina, bukan sahaja pada mereka yang dididik dalam bahasa Cina, bahkan yang lain-lain melalui penglibatan mereka secara langsung atau tidak langsung dalam memperjuangkan status bahasa Cina dalam aspek pendidikan.

Rujukan

1. Wang Gungwu. 1991. China and the Chinese Overseas. Singapore: Times Academic Press.
2. Wang Gungwu. 1992. Community and Nation: China, Southeast Asia and Australia. New South Wales: Allen & Unwin.
3. Wang Gungwu. 1994. Among non-Chinese. Dlm. Tu Wei-Ming. (ed.). The Living Tree: The Changing Meaning of Being Chinese Today, h. 127-147. Stanford: Stanford University Press. 
4. Yen Ching-Hwang. 1986. A social history of the Chinese in Singapore and Malaya 1800-1911. Singapore: Oxford University Press.
5. Yen Ching-Hwang. 1995. Studies in Modern Overseas Chinese History. Singapore: Times Academic Press.
6. Yen Ching-Hwang. 2000. Historical background. Dlm. Lee Kam Hing & Tan Chee-Beng (ed.). The Chinese in Malaysia, h. 1-36. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
7. Yen Ching-Hwang. 2002. The ethnic Chinese in East and Southeast Asia: Business, Culture and Politics. Singapore: Times Academic Press.
8. Blythe, W. 1969. The impact of Chinese secret societies in Malaysia: a historical study. London: Oxford University Press.
9. Dikotter, F. 1992. The Discourse of Race in Modern China. Stanford Stanford University Press.
10. Tan Chee Beng. 1988a. Nation-building and being Chinese in a Southeast Asian state: Malaysia. Dlm. Cushman, J.W. & Wang Gungwu (ed.). Changing Identities of the Southeast Asian Chinese since World War II, h. 139-164. Hong Kong: Hong Kong University Press.
11. Tan Chee Beng. 1988b. The Baba of Melaka. Kuala Lumpur: Pelanduk Publications.
12. Tan Chee Beng. 2000b. The Religions of the Chinese in Malaysia. Dlm. Lee Kam Hing & Tan Chee-Beng (ed.).  The Chinese in Malaysia, h. 282-315. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
13. Tan Liok Ee. 1988. Chinese independent schools in West Malaysia: varying responses to changing demands. Dlm. Cushman, J.W. & Wang Gungwu (ed.). Changing Identities of the Southeast Asian Chinese since World War II, h. 61-74. Hong Kong: Hong Kong University Press.
14. Tan Liok Ee. 1997. The Politics of Chinese Education in Malaya, 1945-1961. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
15. Tan Merly G. 1997. The ethnic Chinese in Indonesia: issues of identity. Dlm. Leo Suryadinata (ed.). Ethnic Chinese as Southeast Asians, h. 33-65. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.
16. Shamsul A.B. 1999. Identity contestation in Malaysia: a comparative commentary on ‘Malayness’ and ‘Chineseness’. Akademika 55: 17-37.

Sumber Petikan

“Sejarah Kedatangan, Pembentukan Komuniti dan Identiti Orang Cina di Malaysia.” Identiti Cina Malaysia: Elemen dan Pembentukan. By Lee Yok Fee. 1st ed. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2014. 24-29. Print.

Tentang Penulis

LEE YOK FEE adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia. Bidang pengkhususan dan kepakaran beliau ialah antropologi dan sosiologi terutamanya Pengajian Identiti, Hubungan Etnik, Masyarakat Cina & Pembinaan Bangsa. Bidang penyelidikan beliah rangkum pembentukan identiti; identiti Cina dan kecinaan; hubungan etnik dan migrasi antarabangsa.

Buy This Book

« Keling, Benggali, Ceti dan Chettiar
The Evolution of the Jawi Peranakan »