Sumbangan Istimewa DBP Melalui Penerbitan Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu January 4, 2019 – Posted in: Book Excerpts

Salah satu usaha penting lagi istimewa telah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Malaysia. DBP telah mencipta sejarah sekaligus membuka ruang akses khusus terhadap ilmu pengetahuan dan maklumat mengenai peradaban Alam Melayu, iaitu sejarah dan kebudayaannya, apabila menerbitkan Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu pada tahun 1994 (Jilid 1) dan kemudiannya menghasilkan Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu pada tahun 1999 (lima jilid). Ini merupakan salah satu bentuk ‘Pengurusan llmu’ (knowledge management) yang signifikan. Semenjak tahun 2006, pihak DBP telah berusaha untuk mengemaskinikan isi kandungan Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu dengan tujuan menghasilkan edisi kedua.

Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1999) telah memuatkan lebih kurang 3,500 kata masukan atau entri, dalam kira kira 2,800 halaman untuk Jilid 1 hingga 4, dan dalam Jilid 5 pula termuat suatu indeks lengkap semua entri yang terdapat dalam Jilid 1 hingga 4. Entri dikategorikan secara arbitrari kepada empat bidang: bidang bahasa, bidang budaya, bidang sastera, dan bidang sejarah. Setiap bidang tersebut mengandungi pecahan masing-masing. Bibliografi yang disediakan cukup komprehensif, termuat dalam 65 halaman (45-109) dan dibahagikan kepada bidang-bidang tersebut. Rujukan dalam setiap bidang tersebut dipecahkan pula kepada dokumen yang berbentuk buku, artikel, majalah dan selainnya.

Ringkasnya, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu merupakan suatu penerbitan berkualiti lagi menyeluruh liputannya mengenai Alam Melayu dan peradabannya. Penerbitan ini merupakan suatu rujukan yang amat berharga kepada peminat, penyelidik dan sarjana di seluruh dunia yang ingin mendalami ilmu pengetahuan masing-masing mengenai Alam Melayu. Malah Bibliografi Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu sudah lebih daripada cukup untuk dimanfaatkan oleh sebarang penyelidik untuk memulakan apa saja kajian dan bidang yang hendak diterokai mengenai Alam Melayu.

Yang menariknya, dalam edisi terkini Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu ini, inisiatif asal yang telah diambil oleh pihak DBP adalah atas dorongan idealistik sekaligus pragmatis untuk merealisasikan satu cita-cita kebangsaan, iaitu menghimpun warisan ilmu pengetahuan dan maklumat mengenai Alam Melayu dari segi sejarah dan kebudayaannya, dalam bahasa Melayu, khususnya dalam bentuk ensiklopedia, yang sebelumnya tidak wujud.

Ternyata pengisiannya, tanpa berpayungkan sebarang kanopi atau suatu kefahaman konseptual tentang peradaban Alam Melayu, tetap berguna. Namun, adalah lebih bermanfaat jika sekiranya pengisian Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu dipayungi oleh suatu kefahaman konseptual yang jelas supaya ratusan entri dalam jilid-jilid tersebut, dapat dikenal pasti, dihubung kait dan diintegrasi dengan lebih cohesive dan keharmoniannya dapat dipapar malah dirasakan oleh audien ensiklopedia tersebut. Apa yang telah dilakukan dalam Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu tersebut adalah untuk menyentuh secara sepintas lalu sahaja mengenai idea dan realiti peradaban Alam Melayu, iaitu dalam tiga perenggan pertama dalam sebuah “Pengantar” ringkas dalam Jilid 1, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1999 (hal. vii-viii).

Tidak dapat dinafikan bahawa biarpun tanpa kanopi serta kefahaman konsep Alam Melayu yang lebih mendalam, kandungan ensiklopedia ini, yang berbentuk paper-based, tetap merupakan suatu “kompendium besar yang dapat dijadikan sumber rujukan” (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1999, hal. vii) yang berkualiti dan sangat berguna, suatu usaha istimewa yang patut diberikan sekalung pujian, khususnya kepada DBP dan sekian ramai tokoh, sarjana dan peminat Pengajian Alam Melayu, sama ada di Malaysia mahupun di luar negara. 

Sumber

Amri, Shamsul. “Alam Melayu: Mengkonsepsi Sejarah Dan Kebudayaan Peradabannya Melalui Projek ESKM.” Kolokium Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (2009): 4-5. Print.

Tentang Penulis

Professor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin adalah Pengarah, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dapatkan Set Ensiklopedia

« Malaysia Irredenta: A Case for Pan-Malayan Unity by Wenceslao Q. Vinzons
Krakatau: Syair Lampung Karam »