6 Judul Wajib Baca Sempena Merdeka 62 August 17, 2019 – Posted in: Chronicles from Mandala

Kini cuma tinggal berbaki dalam seminggu lebih lagi sebelum Malaysia menyambut ulang-peringatan peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu (dan kemudiannya, Malaysia) untuk kali ke-62. Pejam celik, tanah air ini sudah separuh abad lebih bebas dari cengkaman kuasa kolonial British secara zahirnya. Namun begitu, harus kita insaf bahawa tugas mempertahankan kemerdekaan ini, dan memaknainya adalah masih jauh belum selesai.

Bersempena sambutan ulang-peringatan ini, kami ingin mengajukan beberapa judul karya, yang pada hemat kami, amatlah penting untuk sama-sama ditelaah oleh pembaca di semua peringkat umur, agar kita dapat mengambil pengajaran, iktibar dan petunjuk untuk tujuan memaknai nikmat kemerdekaan yang sedang kita kecapi hari ini.

1. The Alliance Road to Independence

Buku ini, secara ringkasnya merupakan catatan butiran babak ke babak sebelum, semasa dan selepas rundingan kemerdekaan berjalan, bermula di Tanah Melayu sehinggalah ke peristiwa yang berlaku sepanjang delegasi kemerdekaan berada di London, United Kingdom. Secara khususnya, penulis memberi penekanan terhadap peranan, ragam dan masalah yang dimainkan oleh Parti Perikatan (The Alliance), sewaktu proses tuntutan kemerdekaan berlangsung.

Juga dikisahkan secara terperinci dalam buku ini adalah bagaimana Perikatan memenangi Pilihanraya Umum 1955, yang menjadi simbolik penerimaan rakyat kepada idea Tanah Melayu mahu mempunyai kerajaan sendiri, yang dipilih secara demokrasi. Mungkin bab paling menarik dalam karya Joseph Fernando, sejarawan di Universiti Malaya ini adalah ‘The London Conference’, yang membutirkan peristiwa belakang pintu rundingan pindaan beberapa fasal dalam perlembagaan dengan Raja-Raja Melayu, sehinggalah butir perbincangan sewaktu rundingan berlangsung di London.

2. Gagasan Bangsa Malayan yang Bersatu 1945-57

Buku ini membincangkan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan British untuk membentuk bangsa Malayan bersatu selepas Perang Dunia Kedua sehinggalah negara mencapai kemerdekaan. Bangsa Malayan yang bersatu dalam konteks politik negara bermaksud perpaduan dan persamaan taraf khususnya daripada segi kerakyatan untuk semua kaum di negara ini, termasuk di dalamnya usaha pembentukan Malayan Union, dan kemudiannya Persekutuan Tanah Melayu.

Menariknya, menurut penulis, tesis asas buku ini adalah pertukaran dasar British, dari usahanya untuk membentuk Malayan Union dan akhirnya bertukar kepada Persekutuan Tanah Melayu, pada asasnya berlaku apabila kepentingan dasar penjajah British tidak terjejas pada kedua-dua kerangka tersebut. Pada penulis, beliau mengintepretasikan bahawa pertukaran bentuk dan struktur pemerintahan dan pentadbiran Tanah Melayu ketika itu, dari Malayan Union ke Persekutuan Tanah Melayu tidak merugikan kepentingan British kerana asas-asas pembinaan bangsa Malayan yang bersatu, telah berjaya diterapkan.

Pentingnya judul ini adalah untuk kita meneliti bagaimana dasar-dasar British selepas Perang Dunia ke-II telah mempengaruhi banyak dasar kerajaan Perikatan selepas mencapai kemerdekaan, terutamanya yang berkait dengan dasar bahasa kebangsaan, pendidikan vernakular dan kerakyatan.

3. Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan

Cikgu Salleh Lamry menerusi buku ini telah berjaya mengisi lompong dalam perbincangan mengenai peranan dan bagaimana orang-orang Melayu (secara khusus) terlibat dalam gerakan kiri sewaktu proses perjuangan menuntut kemerdekaan, bermula dari munculnya Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Komunis Malaya (PKM) sebelum Perang Dunia ke-II, sehinggalah kepada tertubuhnya PKMM dan seterusnya penganggotaan kaum Melayu ke dalam PKM di peringkat kepimpinan tertinggi.

Turut diceritakan adalah bagaimana gerakan kiri yang dianggotai oleh kaum Melayu dan PKM telah terpecah selepas tewasnya Jepun dan kemudiannya dalam episod pengisytiharan darurat oleh British. Mungkin, pada hemat kami, kisah bersejarah pengunduran komunis Melayu dari Rejimen ke-10 ke Selatan Thailand yang lebih dikenali sebagai perjalanan jauh atau The Long March pada 1953 adalah saat bersejarah yang wajar kita insafi. Proses pengunduran ini yang bermula dari Semantan, Pahang sehinggalah ke Kampung Hala, Selatan Thailand dengan berjalan kami telah memakan masa selama 4 bulan.

Cikgu Salleh juga turut menceritakan bagaimana tokoh-tokoh kiri Melayu berperanan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan secara rundingan damai dengan pihak British.

4. Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api

Boestamam tersohor sebagai seorang tokoh nasionalis dan penulis yang disegani, tajam dan peka dengan keadaan di sekelilingnya. Pembentangan sejarah tanah air dan perjuangan Boestamam menentang penjajah sewaktu memperjuangkan kemerdekaan dapat dilihat dengan jelas menerusi tulisan kecilnya yang berjudul Lambaian dari Puncak.

Keterlibatannya dalam politik pula dapat dilihat dengan jelas menerusi Merintis Jalan ke Puncak. Karya beliau Iebih tertumpu kepada pergolakan dalam satu kehidupan yang sarat dengan perjuangan, pengorbanan dan penderitaan yang pernah ditanggungnya. Lewat naskhah Tujuh Tahun Malam Memanjang, Boestamam Iebih memberikan tumpuan tentang kisah suka duka pengalaman silamnya yang berkaIi-kali ditahan dan merana dengan kehidupan hitam di sebalik tirai besi.

Buku ini menghimpunkan ketiga-tiga karya Boestamam tersebut agar dapat dihayati oleh pembaca. Rentetan kehidupan beliau yang gemilang dan tragis dapat dikesan menerusi penulisannya. Kekentalan semangat yang ditiup oleh Subhas Chandra Bose turut membakar jiwa Ruhi Hayat sehingga beliau sanggup mengabadikan nama popularnya sebagai Boestamam. Satu lagi sumbangan besar Boestamam ialah menyusun Testament Politik API. Merdeka dengan darah yang menjadi tema dokumen tersebut begitu sinonim dengan perjuangan hidupnya yang selalu membara. Testament ini menerangkan tentang kebangkitan pergerakan tanpa mengira ras tenaga pemuda dan pemudi di Malaya dan di seluruh dunia.

Membaca buku ini saat kita sedang rancak dengan nikmat merdeka selama lebih separuh abad, mampu membuatkan kita rasa malu dengan diri sendiri lantaran kakunya kita dalam idealisme dan kemahuan untuk membina sebuah bangsa yang benar merdeka dan mempunyai identiti kebangsaan sendiri yang kukuh.

5. Of Political Bondage: An Authorised Biography of Tunku Abdul Rahman, Malaysia’s First Prime Minister and His Continuing Participation in Contemporary Politics

Jika kita menyebut tentang ketokohan Boestamam dan perjuangannya dalam menuntut kemerdekaan, nama Tunku Abdul Rahman sewajarnya tidak tersisih dari senarai ketokohan dalam rangka tersebut.

Meminjam kata-kata Joseph Fernando, mungkin jika tiada sosok bernama Tunku sepanjangan proses perundingan kemerdekaan dengan pihak British dan juga rundingan pindaan beberapa fasal dalam Perlembagaan Persekutuan dengan pihak Raja-Raja Melayu yang memungkinkan wujudnya sebuah perlembagaan kepada negara demokratik—boleh jadi usaha tuntutan kemerdekaan itu bertambah sukar.

Istimewanya judul ini adalah ia menjadi sumber primer kepada cara fikir dan perspektif Tunku dalam babak menuntut kemerdekaan, dan juga pembaca boleh menilai bagaimana Tunku berperanan sebagai Perdana Menteri pertama untuk sebuah negara yang baharu mencapai status merdeka, dengan beberapa pelaksanaan polisi yang bersifat pragmatik.

6. Biografi Dato’ Onn: Hidup Melayu

Penulis menerusi karya ini, cuba memberitahu kepada pembaca sisi-sisi lain yang jarang mendapat perhatian oleh khalayak terhadap tokoh bernama Dato’ Onn. Tiada siapa pun yang dapat menafikan peranan beliau dalam rentetan perjuangan menuntut kemerdekaan dari British. Mungkin, akibat ideologi dan kepercayaan politiknya sewaktu itu yang langkau zaman, telah menyebabkan beliau tersisih dari detik-detik akhir sewaktu British bersetuju dengan gesaan kemerdekaan Malaya.

Beliau adalah seorang nasionalis, yang tidak gentar untuk berdepan dengan Istana dan memperkatakan mengenai salah laku Sultan secara terbuka, sehingga pernah dibuang negeri oleh Sultan Ibrahim (Johor) akibat kritikannya menerusi akhbar harian terhadap beberapa salah saku dan kezaliman yang dilakukan oleh kepala Istana Johor tersebut.

A. Samad Ismail dalam kata pengantarnya untuk buku ini turut menceritakan perihal pertemuan beliau dengan Dato’ Onn sewaktu mereka mahu meminta sokongan terbuka kepada perjuangan menuntut kemerdekaan rakyat Indonesia. Meski pun, kata A. Samad Ismail, Dato’ Onn tidak bersetuju untuk memberi sokongan secara terbuka atas alasan tertentu, namun seharusnya kita membaca keseluruhan konteks kehidupan dan perjuangan Dato’ Onn sebelum kita menghukum beliau secara sembrono. Buku ini boleh memberi peluang kepada pembaca untuk mengenali sosok Dato’ Onn secara lebih dekat lantaran pendekatan penulisannya lebih menekankan sisi peribadi tokoh tersebut berbanding pandangan politiknya.


Demikianlah 6 judul buku yang pada hemat kami, wajib dibaca oleh setiap warganegara tanpa mengira lapisan umur. Sebagai penafian, senarai ini bukanlah suatu yang tetap atau mempunyai mana-mana rujukan yang bersifat autoritatif, tetapi lebih kepada saranan dari hemat kami secara peribadi buat pembaca Kawah Buku.

Kami turut mengalu-alukan sebarang cadangan judul tambahan lain, kepada senarai wajib baca sempena Merdeka 62, dengan harapan menerusi pembacaan judul-judul sebegini, akan memberi kita rasa sedar dan insaf betapa kerja memaknai kemerdekaan pada hari ini, masih jauh belum selesai.

Selamat menyambut ulang-peringatan kemerdekaan kali ke-62!

« Ulasan Buku: Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan
Born from the Womb of UMNO: How PAS Started as Persatuan Islam Se-Malaya »