Ruang: Fungsi-fungsinya July 11, 2020 – Posted in: Thoughts

Kita mengenang Rene Descartes dengan satu kalimat terkenal: I think therefore I am, cogito ergo sum. Lazimnya, kalimat ini dianggap sebagai positif, tanda kuasa autonomi manusia terhadap alam: suatu gambaran pemusatan diri (the self) terhadap yang lain (the other).

Walau bagaimanapun, kesan kalimat ini—yang mendorong kepada paradigma Cartesan—terhadap pembangunan pengetahuan jarang diperbahaskan sebagai suatu yang negatif, atau paling tidak, sebagai suatu yang wajar dikritik habis-habisan. Apatah lagi, sejak peralihan linguistik (linguistic turn) pada awal abad-20, akibat pengaruh pemikiran Ferdinand de Saussure, dunia pengetahuan semakin dikuasai unsur kebahasaan, yang mana bahasa ini dianggap sebagai rangkuman fikiran manusia itu sendiri. Malah, pada tahap ini, bahasa turut dianggap sebagai satu-satunya unsur yang menemukan segala perbezaan, yang kekal menjadi asas kepada seluruh hubungan kemanusiaan dan kebudayaan. Mithalnya, kita memperoleh pengetahuan hasil daripada kefahaman akan sesuatu. Dalam kata lain, kefahaman yang diperoleh ini adalah “makna yang tiba” yang terhasil daripada suatu proses komunikasi (= bahasa).

Sudah tentu, “makna yang tiba” boleh jadi beragam, bergantung kepada (1) tahap kefahaman, (2) keupayaan fikiran dan juga (3) persekitaran kebudayaan. Makna adalah perkara yang penting di sini. Sebagai suatu yang penting, maka perihal makna mesti ditanggapi baik-baik sebelum kita mahu berbicara tentang apa yang akan dianggap sebagai “bukan-makna” (non-meaning) seperti perihal ruang.

Hegemoni Makna

Bagaimana memulakan perbincangan mengenai makna?

Kita boleh bermula dengan memahami betapa kuatnya pengaruh makna dalam dunia pengetahuan. Lantaran itu, kita boleh mengambil bidang antropologi dan sosiologi sebagai permulaan perbincangan kita. Clifford Geertz adalah salah satu tokoh besar dalam antropologi. Tokoh ini telah mengutarakan kepentingan kuasa tafsiran dalam struktur pembangunan teori-teorinya. Ini jelas terdapat dalam teori budayanya menerusi perspektif “huraian padat” (thick description). Ungkapan terkenal Geertz (1973) mengenai budaya cuba memerihalkan keterikatan antara budaya dan makna:

Believing, with Max Weber, that man is an animal suspended in webs of significance he himself has spun, I take culture to be those webs, and the analysis of it to be therefore not an experimental science in search of law but an interpretive one in search of meaning.

Geertz (1973)

Dalam hal ini, Geertz memperlihatkan penekanan suatu konsep budaya berasaskan kepada daya tafsiran, sekaligus menempatkan makna sebagai asas kepada suatu budaya.

Hakikatnya, Geertz tidak bersendirian memilih pendekatan popular ini.

Sosiologi, sebagai kembar antropologi, juga terjebak dalam pendekatan yang sama. Kita boleh lihat dengan pemikiran Juergen Habermas yang memperkenalkan idea demokrasi deliberatif, di mana konsep politik ini berteraskan kepada proses rasionalisasi, inspirasi dari pemikiran Max Weber.

Dengan menjadikan rasionalisasi sebagai proses penting dalam pembuatan-keputusan politik, maka kita dapat melihat betapa makna diselitkan dalam teori politik Habermas menerusi keupayaan pembuatan-keputusan yang rasional. Dalam kata lain, makna, menurut Habermas, hanya diperoleh berdasarkan kepada kekuatan penghujahan.

Musuh utama Habermas ialah Niklas Luhmann.

Meskipun berbeza jalur pemikiran, yang mana pemikiran Habermas yang bersifat agentik (tindakan komunikatif) manakala pemikiran Luhmann pula bersifat strukturalis (sistem sosial), namun masing-masing tetap meletakkan makna sebagai asas kepada keseluruhan pemikirannya. Luhmann percaya bahawa makna sosial boleh diperoleh berdasarkan kepada struktur kefungsian yang terdapat dalam sistem sosial moden; politik, agama, ekonomi, sukan, seni, kesehatan, dll.

Sebagai contoh, apa makna politik? Makna politik terletak kepada apa yang kita fahami mengenai kuasa. Apa pula makna agama? Makna agama terletak kepada apa yang kita fahami mengenai iman. Begitulah seterusnya: terangkum secara sistematik dan skematik. Dan ini boleh kita perhatikan lebih lanjut dalam jadual Roth & Schütz (2015) di bawah:

SystemCodeMediumProgramFunction
Political SystemGovernment/ OppositionPowerIdeologyLimitation
EconomyPayment/ Non-paymentMoneyPriceDistribution
ScienceTrue/ UntrueTruthTheoryVerification
ArtInnovative/ ImitativeStyleFashionCreation
ReligionImmanent/ TranscendentFaithConfessionRevelation
Legal SystemLawful/ UnlawfulNormLawStandardization
SportSuccess/ FailureAchievementGoalMobilization
Health SystemIll/ HealthyIllnessDiagnosisRestoration
EducationPlaceable/ UnplaceableVitaCurriculumFormation
Mass MediaInformative/ Non-informativeMediumTopicMultiplication

Tentu saja, perlu diingatkan di sini, bahawa konsep makna Geertz, Habermas dan Luhmann boleh menjadi berbeza, rencam dan rumit. Namun, walaupun dengan perbezaan ini, setiap daripada mereka percaya bahawa masyarakat dan budaya mestilah difahami berdasarkan kepada daya konsepsual kita, terlepas daripada apa yang kita fahami tentang “apa yang dikonsepkan” tersebut. Daya konsepsual ini adalah cerminan kepada apa yang dinamakan sebagai tafsiran dan representasi, yang mana kedua-dua ini adalah kaedah dalam pemerolehan makna.

Makna dan Ruang

Kita dibentangkan bahawa medium makna telah menjadi dominan dalam alam pengetahuan. Walhal, apa yang sesungguhnya ingin kita biacarakan pada malam ini ialah ruang (space). Justeru itu, dengan kesedaran ini, marilah kita melanjutkan pertanyaan: mengapa kita bermula dengan makna untuk membicarakan mengenai ruang? Apakah kaitan antara makna dengan ruang? Adakah ruang itu bukan-makna (non-meaning)?

Elok dan lebih selamat kita bermula dengan takrif. Secara mudahnya, ruang boleh dinyatakan sebagai jarak antara dua titik, di mana titik ini boleh menjadi peristiwa, objek, keadaan dan sebagainya. Semua ini, kalau boleh diizinkan, boleh kita rangkumkan sahaja sebagai “benda” (material). Sudah tentu, kategori umum sebagai “benda” ini boleh jadi perbahasan lain yang panjang. Apapun, setakat perbincangan kita ini, pengkelasan ini membantu bagi tujuan peringkasan.

Dengan takrif ini, maka ruang bererti sesuatu yang berhubungan dengan benda, yang mana manusia dapat merasakan hubungannya dengan alam fizikal. Walau bagaimanapun, sebagai catatan pendamping, perlu dinyatakan di sini bahawa ada perbezaan antara ruang dengan tempat (place) dan juga dengan atempat (placelessness). Cresswell (2015: 19) menjelaskan:

[Place] is how we make the world meaningful and the way we experience the world. Place, at a very basic level, is space invested with meaning in the context of power. This process of investing space with meaning happens across the globe at all scales, and has done throughout human history.

Cresswell (2015: 19)

Ringkasnya, ruang bolehlah kita anggap sebagai bukan-makna. Dengan asas ini, kita mula menyedari bahawa kita sebenarnya tidak terlepas daripada memulakan setiap analisis sosial kita dengan konsep binari.

Namun begitu, permulaan bukan bererti proses.

Meskipun bermula dengan binari, apa yang penting ialah bagaimana konsep ini membuka kepada proses penerokaan terhadap keragaman dan kesepaduan. Ini menunjukkan kepada kita bahawa setiap pengamatan sosial yang ingin dilakukan wajar mempertimbang semua aspek, daripada titik yang paling konkrit (benda) sehinggalah kepada titik yang paling abstrak (makna). Keeratan dan ketidakterpisahan kedua medium ini—makna dan benda—tergambar menerusi hubungan antara kata dan imej:

Words and images drink the same wine. There is no purity to protect.

Marlene Dumas

Peranan Benda

Dengan premis ini, maka perbincangan kita seterusnya ialah mengenai peranan benda. Apa yang benda boleh tawarkan kepada pengamatan sosial? Bagaimana kita boleh membincangkan fungsi benda, yang akhirnya dapat memaparkan peri pentingnya ruang kepada proses pemerian makna sama ada kepada individu, masyarakat mahupun institusi (organisasi).

Fungsi 1: Estetik

Memandangkan benda adalah suatu yang konkrit, maka benda mempunyai gerak, bentuk dan rupa. Dalam hal ini, gerak, bentuk dan rupa membuka kepada dimensi estetik sekaligus membawa kepada perbincangan yang lebih santai dan tidak serius, tidak sepertimana perbincangan kewacanaan (discursive). Estetik memberi kita ruang untuk melarikan diri daripada lambakan fakta dan kebisingan hujah, sekaligus pembahagian antara benar/salah tidaklah menghantui kita sewaktu dalam pengalaman estetik tersebut. Dalam hal ini, pengalaman estetik memberi kelegaan—kerana kita tidak dituntut dan diasak untuk mencari makna hakiki yang terdapat dalam pengalaman tersebut.

Fungsi 2: Mood, Perasan dan Emosi

Dengan menerima bahawa salah satu fungsi benda sebagai pemangkin estetik, maka ini telah membawa kita kepada fungsi berikutnya yakni sebagai pemangkin mood, perasaan (feeling) dan emosi. Nilai estetik boleh membangkit (atau meruntuh) mood, perasaan dan emosi bagi setiap yang terlibat. Justeru itu, menyusun benda dan persekitaran yang sesuai dengan citarasa kita sangat penting dalam memberi kestabilan mood, perasaan dan emosi kita. Bahkan, kita boleh lanjutkan dari sini betapa fungsi yang sama turut memperdalamkan rasa keruhanian menerusi suasana yang terdapat pada objek-objek keramat (rumah ibadah, tempat suci, dll) dan kehadiran penderiaan yang khusus (bau kemenyan, bunyi loceng, laungan azan, dll).

Fungsi 3: Penanda

Lalu, dengan mengaitkan objek dalam perbincangan keramat, maka ini berupaya membuka perbincangan benda sebagai penanda. Dalam hal ini, kebanyakan objek ingatan boleh menjadi penanda kepada apa yang telahpun berlalu (the past). Kita mengingat peristiwa bersejarah bukan sahaja berdasarkan bahasa (=teks), akan tetapi turut berdasarkan jejak peninggalannya. Ini menjadikan benda boleh menjadi pencetus dan penguat ingatan kita terhadap sesuatu perkara yang telahpun berlalu. Kerana itu, kita dapat saksikan betapa banyak peristiwa/tempat/bangunan bersejarah dikenang dalam bentuk peringatan khusus. Dan, ini boleh menghasilkan suatu tanda ingatan sepanjang zaman.

Fungsi 4: Menangkap masa lalu

Menerima bahawa benda sebagai penanda turut bererti menerima bahawa benda sebagai wadah nyata yang dapat menangkap masa lalu. Dalam hal ini, benda menjadi perwakilan kepada suatu yang telahpun berlalu menerusi penjelmaan semua (reenactment) dalam bentuk rekaan dan representasi baru, yang tujuannya untuk diingati. Kita pasti tidak dapat mengulang kecapan masa manis yang telah pergi, atau mengelak himbauan masa pahit yang telah ditempuh, akan tetapi kita dapat menikmati cebisan rasa tersebut dengan perwakilan benda—sehingga kita dapat belajar untuk (mithalnya) tidak melakukan kesalahan yang sama lantaran kita diingatkan menerusi objek-objek peringatan. Masa lalu boleh dirakam dengan objek yang diwakilinya. Sebagai contoh ialah batu yang terpampang “don’t forget” di Jambatan Mostar di Bosnia and Herzegovina.

Bosnia and Herzegovina, Mostar, the Stari Most. “Don’t forget” has been written on a stone near the bridge. Photo: Ferdinando Piezzi / Alamy Stock Photo

Fungsi 5: Pemulihan

Dalam proses merakam masa lalu, benda juga boleh menjadi punca kepada proses pemulihan daripada suatu pengalaman tragik. Kita boleh memahami ini dengan menyoroti bidang kajian trauma kebudayaan (cultural trauma) di mana pembinaan unsur-unsur peringatan dapat menjadi wadah dalam menampung derita masa lalu. Benda-benda seperti taman peringatan, upacara peringatan, bahan kenangan, dapat menjadi penawar dalam memberi makna yang luas (=bigger picture) terhadap sesuatu yang awalnya bersifat negatif. Malah, kita dapat melihat perkara ini dengan lebih jelas dalam konteks trauma individu di mana kuburan (cemetery) dan perkabungan (mourning) merupakan aspek yang penting dalam proses pemulihan: suatu proses untuk menukar “yang negatif” kepada “yang positif”; menukar “yang kalah” kepada “yang menang.”

Jalan Tengah

Pokoknya, menggunakan kosakata fungsi itu sendiri, dapat membayangkan kita betapa makna dan benda adalah sentiasa berangkai dan berkait.

Justeru itu, apa yang ingin dicadangkan ialah untuk kita sentiasa menginsafi kesetaraan fungsi kedua-duanya: makna dan benda. Bertitik-tolak daripada kesedaran ini, maka konsep yang bersifat pertengahan (middle-range) wajar diteroka sekaligus memberi perimbangan antara dimensi diskursif (pada makna) dengan tak-diskursif (pada benda). Konsep-konsep ini turut imbangi antara dimensi “gambar lawan bahasa” seperti yang ditunjukkan Bartmanski (2015: 145) di bawah:

VisualityLinguality
MaterialAbstract
PictorialTextual
ExpressiveCognitive
ImmediateMediated
Non-linearLinear
AnalogicalLogical
SensualRational
PoeticRhetorical
UnstableStable
ImitativeAnalytical
ImaginaryCritical
ImpassionedSkeptical
ConnotativeDenotative
IneffableArticulated
Matter of tasteMatter of judgment

Sebenarnya, pembangunan jalan tengah ini telahpun bermula dengan penerokaan beberapa konsep seperti trauma kebudayaan, simbol, naratif, ikon, budaya kehadiran (presence culture), perkabungan, yang mana semua ini sangat berpotensi untuk dibangunkan sebagai teori sosial dan budaya kerana mempunyai keluasan medan rangkuman serta kekuatan daya analisisnya.

Menurut Jeffrey Alexander (2005) yang merintis kajian sosiologi kebudayaan (cultural sociology), Durkheim (2008) menerusi “The Elementary Forms of Religious Life” telahpun melapangkan jalan awal dengan membincangkan mengenai totemisme yang dianggap sebagai simbol yang memberi makna kepada keagamaan kelompok orang asli. Makna yang diperoleh ini diperkuat dalam bentuk ritual, yang mana amalan ini tentunya memperlihatkan kekuatan serentak antara benda dan makna.

Begitu juga dengan trauma kebudayaan yang ditakrifkan sebagai pertarungan antara peristiwa (event) dan representasi (Alexander 2012). Kita dapat melihat kesepaduan antara benda dan makna menerusi pembangunan objek pasca-peristiwa—tugu, taman peringatan, muzium, dll—yang mana wujudnya tindakan pengenangan (the act of remembering) sekaligus tindakan pelupaan (the act of forgetting). Kita kenang dalam konteks dan kita lupa dalam teks, atau juga boleh sebaleknya.

Selain itu, menurut Alexander (2010) lagi, ikon juga menjadi konsep yang semakin diminati dalam mencari jalan tengah antara “alam kata” dengan “alam imej.” Ikon, lebih khusus lagi kesedaran ikonik (iconic consciousness) ditakrifkan sebagai suatu hubungan dengan benda, yang menurut Dominik Bartmanski & Jeffrey Alexander (2012: 1) dinyatakan sebagai:

We introduce the concept of iconicity, and alongside it the idea of iconic power. Objects become icons when they have not only material force but also symbolic power. Actors have iconic consciousness when they experience material objects, not only understanding them cognitively or evaluating them morally but also feeling their sensual, aesthetic force.

Dominik Bartmanski & Jeffrey Alexander (2012: 1)

Kesimpulan

Apa yang dapat disimpulkan daripada keseluruhan perbincangan ini ialah betapa perwakilan ruang menerusi benda merupakan bahagian yang tidak boleh dipisahkan dalam kajian masyarakat dan budaya.

Lantas, ruang dan makna adalah dua dimensi yang mesti dipertimbangkan secara serentak bagi menghasilkan suatu pengamatan yang bersifat kebelakaan (holistic). Keupayaan untuk menghasilkan suatu pengamatan yang luas dan mendalam adalah amat dipengaruhi oleh peranan-peranan ruang yang telahpun dinyatakan. Keseluruhan peranan ruang ini mendorong kita untuk mengambil kesimpulan bahawa ruang mempunyai ciri yang dapat memampatkan (condensation) perihal yang rumit, rencam dan panjang dalam satu perwakilan yang dibendakan.

Justeru itu, adalah tepat bahawa suatu lukisan dapat memerihal lebih banyak berbanding kata-kata. Lukisan ada kuasa yang tidak ada pada kata-kata: yakni memadatkan yang rumit, rencam dan panjang dalam suatu ruang dan waktu. Inilah yang termanifestasi daripada segala kegiatan peringatan yang wujud: memadatkan pengalaman nestapa dan bangga dalam satu detik mahupun satu tempat.

RUJUKAN

Alexander, Jeffrey C, Bartmanski, Dominik & Giesen Bernhard. 2012. Iconic Power: Materiality and Meaning in Social Life. New York: Palgrave Macmillan.

Alexander, Jeffrey C. 2005. The Meanings of Social Life: A Cultural Sociology. Oxford: Oxford University Press.

Alexander, Jeffrey C. 2010. Iconic Consciousness: The Material Feeling of Meaning, Thesis Eleven 103(1): 10-25.

Alexander, Jeffrey C. 2012. Trauma: A Social Theory. Cambridge: Polity Press.

Bartmanski, Dominic. 2015. Refashioning Sociological Imagination: Linguality, Visuality and the Iconic Turn in Cultural Sociology, Chinese Journal of Sociology 1(1): 136-161.

Cresswell, Tim. 2015. Place: An Introduction. Malden: Wiley Blackwell.

Durkheim, Emile. 2008. The Elementary Forms of Religious Life. Oxford: Oxford University Press.

Geertz, Clifford. 1973. Interpretation of Cultures. New York: Basic Books.

Roth, Steffen & Schütz, Anton. 2015. Ten Systems: Toward a Canon of Function Systems, Cybernetics and Human Knowing, 22 (4): xx-xx


Esei ini disediakan oleh Aqil Junaidi, Felo Penyelidik di Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS), UKM dan dibincangkan semasa Wacana DKB pada 8 Julai 2020 di Mandala Kawah Buku, Bandar Baru Bangi.

Fasisme: Fikiran dan Tindakan »