Faisal Tehrani

Nama sebenar Faisal Tehrani ialah Mohd Faizal bin Musa. Beliau dilahirkan pada 7 Ogos 1974 di Kuala Lumpur. Faisal memiliki ijazah Sarjana Muda Syariah dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan Sarjana Sastera dari Universiti Sains Malaysia.

Faisal menulis dalam pelbagai genre, terutama novel, drama pentas, cerpen dan puisi. Novelnya 1515 diterbitkan oleh Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd., pada tahun 2003. Novel ini memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia — Exxon Mobil tahun 2002. Novel ini juga menerima Anugerah Buku Negara tahun 2005 untuk kategori Buku Umum Fiksyen Bahasa Melayu. Novel 1515 turut dibaca oleh mahasiswa Pengajian Melayu di Universitat zu Koln, Jerman. Novel Faisal yang lain termasuklah Tunggu Teduh Dulu yang disiarkan secara bersiri dalam ruangan agama Utusan Malaysia sehingga Disember 2003 dan diterbitkan oleh Penerbitan Se-lain pada tahun 2004; Surat-surat Perempuan Johor yang memenangi Sayembara Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1 dan diterbitkan oleh Aberdeen Books (2007, edisi kedua); Bedar Sukma Bisu dan Manikam Kalbu, kedua-duanya memenangi hadiah utama dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP 2006.

Dalam bidang drama pentas, antara lain Faisal menulis Bila Tuhan Berbicara terbitan Ameen Publishing pada tahun 2007. Dewan Sastera pula pernah menyiarkan dramanya Ta’ziyah Karbala (Disember 2006 — Jun 2007) dan diterbitkan semula oleh Aberdeen World pada tahun 2007. Faisal juga merupakan penerima Anugerah Seni Negara 2006 dalam bidang penulisan skrip drama pentas; anugerah tertinggi kerajaan Malaysia.

“Perempuan Anggerik”, merupakan cerpen Faisal yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 96/97, dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris yang disiarkan dalam jurnal Malay Literature terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cerpen “Cik Siti Mustika” yang tersiar dalam URTV pula memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia — Exxon Mobil tahun 2002 dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003. Kumpulan cerpennya Kekasih Sam Po Bo diterbitkan oleh Aberdeen Books pada tahun 2007.

Dalam bidang puisi pula, “Sesudah Hujan, Dahlia”, memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia tahun 1999. Faisal juga menerbitkan kumpulan puisi pertamanya di Ameen Publishing pada tahun 2007.

Pada tahun 2010, Faisal telah melengkapkan pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan kini bertugas sebagai Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.