Ishak Saat

Ishak Saat merupakan anak kelahiran Sitiawan, Perak yang dilahirkan pada 30 November 1964. Beliau adalah seorang pendidik yang berpengalaman luas dan telah berkecimpung dalam bidang pendidikan melebihi 20 tahun, khususnya dalam Pengajian Melayu dan Sejarah, sejak 1988 sehingga sekarang. Ishak Saat memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang Sejarah dan Sains Politik daripada Universiti Sains Malaysia. Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana (bidang Sejarah Malaysia) di Universiti Kebangsaan Malaysia dan seterusnya ke peringkat doktor falsafah dalam Sejarah Politik Malaysia di Universiti Sains Malaysia.

Ishak Saat pernah bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Kajian Sosial, Institut Perguruan Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Di samping itu, beliau berpengalaman luas mengajar di institusi pengajian tinggi awam dan institusi pengajian tinggi swasta, iaitu sebagai pensyarah sambilan di Universiti Teknologi MARA Kampus Negeri Perak (1999-2003), Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (2004-2007) dan Open University Malaysia, Kampus Seberang Jaya, Pulau Pinang (2004-2010). Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah kanan, Rancangan Sejarah di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia. Kini beliau merupakan Profesor Madya di Jabatan Sejarah dan Arkeologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

Ishak Saat juga giat berkarya dan buku-buku yang pernah diterbitkan ialah Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia (2005), Sejarah Sosiobudaya Melayu (2006), Ilmu Sejarah: Antara Tradisi dan Moden (2006), Kajian Sosial untuk PPISMP (2007), Tinta Ilmu (Penyelenggara) (2007), Sejarah Politik Melayu: Pelbagai Aliran (2007), Pendidikan Negara Bangsa Malaysia (2009), Sejarah Perguruan di Malaysia (2008), 60 Tahun Perjalanan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (2008), 50 Tahun Pendidikan Islam di Malaysia (2009), Malaysia 1945-2000 (2009), Penulisan Sejarah (2010), Madrasah Idrisiah Bukit Chandan 1922-2000: Sumbangan dan Kejayaan (2010), Warisan Melayu Perak (2010) dan Isu-Isu Terpilih dalam Politik dan Perjuangan (2010).