Muhammad Haji Salleh

Muhammad Haji Salleh menulis sejak awal tahun 1960-an, dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Sajak-sajaknya dalam bahasa Inggeris membayangkan gaya T.S. Eliot dan W.H. Auden. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera Inggeris di Universiti Singapura, ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Malaya pada tahun 1970, dan ijazah Ph.D. dari Universiti Michigan pada tahun 1973. Pada tahun 1977, beliau dilantik sebagai Profesor Tamu di bawah rancangan Fullbright-Hays dan mengajar di North Carolina State University, Raleigh. Muhammad menjadi pensyarah dan Ketua di Jabatan Persuratan Melayu, Timbalan Dekan di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, dan Pengarah, Institut Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau dilantik sebagai Profesor pada usia 36 tahun dan menjadi “Asian Scholar in Residence” di Universiti Michigan pada tahun 1978. Beliau dipilih menjadi Fulbright Visiting Researcher, di University of California, Berkeley pada tahun 1992-93 manakala pada tahun 1993-1994 beliau menyandang Kerusi Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Netherlands.

Beliau pernah menjadi editor jurnal Tenggara, anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan anggota Panel Anugerah Sastera Negara, selain menjadi pengasas serta Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia dari tahun 1978 sehingga 1982.

Muhammad telah menulis lebih 70 buah buku dalam pelbagai genre dan bidang, termasuklah 14 kumpulan puisi perseorangan dan pelbagai antologi bersama. Buku puisi terbaharunya Belajar Jadi Atuk dan Wan (2022) diterbitkan oleh DBP. Karyanya mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, malah telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Beliau juga menterjemah puisi, karya klasik dan kritikan Melayu ke dalam bahasa Inggeris dan juga kebalikannya, antaranya naskhah Genealogy of Kings (2019) terjemahan Sulalatus Salatin yang diterbitkan oleh Penguin.

Muhammad terpilih menjadi Sasterawan Negara pada tahun 1991 dan menerima Anugerah Tokoh Akademik Negara pada tahun 2018. Beliau juga merupakan Sasterawan Negara d Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa.