Selamat Tahun Baru 2021 1 January 2021

Selamat Tahun Baru 2021

Sepanjangan 2020, pojok buku sederhana ini terhisab dalam umbang-ambing COVID-19 dan pasaran buku yang tidak penuh ketentuan. Tetapi, menyelak jendela 2021, kami menarik nafas syukur, yang bahawasanya untuk sekian kalinya pojok ini kekal utuh. Penghargaan terbesar kami sudah tentu kepada semua para pembaca dan pelanggan setia Kawah Buku, yang berterusan memberi kepercayaan kepada kami untuk terus berkhidmat. Tidak-lah dapat kami membayangkan, dari setengah tahun 2020, mengharunginya dengan penuh rasa berdebar—apabila tiba di tahun baharu dengan semangat dan keazaman yang juga baharu, ketimbang beberapa bulan yang lepas, benar-benar seumpama sebuah kelahiran semula buat kami di Kawah Buku.

Ya, kami mengakui tahun 2020 tidak seindah yang kami harapkan tetapi dalam kelam begitu, pelangi petang bahkan makin bersinar. Perniagaan ini, yang sudah mencecah tahun keempat usianya, masih lagi bertatih. Kami cukup yakin perjalanannya masih lagi jauh, dan pelbagai lagi pintu peluang yang belum kami ketuk.

Bercerita tentang 2020, sudah pasti hal yang paling memberi inspirasi kepada kami adalah kemajuan dalam membangunkan pengisian digital (digital content) menerusi Teh Tarik Podcast, yang bersiaran secara konsisten bermula Oktober, dalam beberapa saluran seumpama YouTube, Spotify, Apple Podcasts, Google Podcasts, dan pelbagai lagi.

Hasrat kami menerusi daya-usaha ini adalah menyampaikan pengalaman (experience) dan nilai (value) kepada para pembaca dan pelanggan Kawah Buku. Untuk setahun mendatang 2021, kami cukup yakin bahawasanya, pengisian digital ini akan bertambah gencar.

Mungkin, jika tidak keterlaluan, adalah retrospeksi kepada kegagalan kami untuk menjayakan beberapa projek penerbitan menerusi Soeloeh Merdeka sepanjang setahun 2020. Pelbagai faktor yang di luar kawalan, menjadi sebab utama kepada kegagalan ini. Sudah tentu, harapan kami untuk setahun mendatang—sekali lagi—bahawa Soeloeh Merdeka akan berjaya merealisasikan beberapa projek penerbitan yang tertangguh

Kami ada beberapa perancangan menarik untuk 2021. Apa yang kami harapkan adalah, penerusan sokongan dari teman pembaca dan pelanggan kepada pojok buku sederhana ini.

Terima kasih, 2020. Banyak hal yang kami pelajari darinya. Moga tahun ke depan ini, kita tak akan pernah lelah untuk terus memasang mimpi, dan berusaha merealisasikannya.

Azan & Iskandar

THE LATEST NEWS AND UPDATES, DIRECT FROM KAWAH BUKU.