Baju Kurung: Busana Sepanjang Zaman menghimpunkan koleksi terpilih baju kurung milik Jabatan Muzium Malaysia. Baju kurung merupakan pakaian tradisional masyarakat Melayu yang diiktiraf sebagai baju kebangsaan negara dan diangkat sebagai Objek Warisan Tidak Ketara dalam Senarai Seni Halus Warisan Kebangsaan 2015. Busana ini sangat sinonim serta digemari oleh masyarakat tempatan kerana potongannya mencerminkan nilai kesopanan, keanggunan, dan kesederhanaan. Kepelbagaian gaya dan keterampilan pemakaian baju kurung menjadikannya daya tarikan sehingga kini. Ia digayakan oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, dan usia. Gaya penampilan baju kurung sentiasa kelihatan relevan dan mengikut trend, sesuai dipakai dalam majlis rasmi dan tidak rasmi, malah turut menjadi pilihan sebagai pakaian harian. Busana ini juga diangkat sebagai pakaian rasmi para pelajar di sekolah rendah dan menengah bermula pada tahun 1969.
Baju kurung merupakan simbolik kepada nilai kesopanan, keanggunan, dan kesederhanaan masyarakat Melayu, dicerminkan melalui potongan baju yang labuh dan longgar. Malahan, keterampilan dan gaya pemakaian baju kurung secara tradisional yang diwarisi mempunyai falsafah serta maksud tersirat yang tersendiri. Oleh itu, baju kurung kekal unik dan mempunyai daya tarikan sehingga menjadi busana warisan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga kini. Walaupun pelbagai busana muncul seiring dengan peredaran zaman, namun persona pemakaian baju kurung tetap unggul seperti kata pepatah Melayu, “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” sebagai busana pilihan sepanjang zaman.











Reviews
There are no reviews yet