Menyusuri Lembah Sungai Nil merupakan catatan perkelanaan Hamka di bumi Mesir sekitar pertengahan abad ke-20, yang menerusinya beliau meninjau segala perkara yang menuju budi pekerti dan membangkitkan kekuatan peribadi. Mesir, menjadi suatu tempat yang sudah begitu lama ingin HAMKA kunjungi. Pengembaraan beliau ke Mesir diiringi impian yang tersimpan rapi dalam jiwanya, menyaksikan segala nyata yang dahulunya berlindung di sebalik kata. Di sana beliau merenungi khazanah purbakala dan kebudayaannya yang bitara, ditemukan pula dengan alim sarjana serta pujangga kata-kata seraya menziarahi kota yang memberi seribu makna. Hamka mengarang karya ini tatkala berkhidmat sebagai salah seorang anggota Majelis Perjalanan Haji Indonesia yang bertanggungjawab menguruskan perihal isu yang dihadapi oleh jemaah haji Indonesia di tanah Haramain. Sepertimana pepatah Melayu menyebutkan, alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan, Hamka mengambil peluang ini untuk mengembara ke beberapa negara Timur Tengah yang sudah didambakannya semenjak kecil lagi melalui tinta akhbar, majalah dan karya-karya yang berkaitan dengan negara tersebut.
Mesir merupakan salah satu destinasi pengembaraan beliau selepas menguruskan perihal tugasnya di tanah Haramain pada tahun yang sama, iaitu tahun 1950. Karya yang bergenrekan travelog ini merupakan hasil daripada pengalaman pertama Hamka menjejakkan kaki ke bumi al-Ahram yang kaya dengan sejarahnya yang tersendiri. Pengalamannya jelas mempengaruhi corak pemikiran dan sanubari beliau dalam karangan-karangan yang terkemudian, terutamanya pada akhir tahun 1950-an dan awal tahun 1960-an melalui penerbitan majalah bertemakan kebudayaan Islam; Panji Masyarakat (Panjimas) dan Gema Islam. Karya ini diterbitkan pada tahun 1951 di bawah penerbitan Gapura, sebuah firma penerbitan yang menyumbangkan perbelanjaan tambahan bagi pengembaraan HAMKA sewaktu berada di Mesir.















Reviews
There are no reviews yet