Tip Penulisan Cerpen dan Novel membimbing penulis baharu, calon penulis dan profesional seperti doktor serta peguam dalam dunia penulisan kreatif, lengkap dengan teknik praktikal membina sinopsis plot cerpen dan perancangan plot novel, serta panduan tatabahasa dan tanda baca yang mudah difahami. Keyakinan untuk menghasilkan buku ini adalah berdasarkan pengalaman penulis membimbing penulisan cerpen dan novel untuk golongan bidang profesional (ahli perubatan dan ahli perundangan). Penulis mengakui yang beliau berasa teruja dan mendapat kepuasan apabila melihat mereka yang mengakui diri tidak berbakat kreatif itu, akhirnya berjaya menghasilkan cerpen atau novel. Kaedah atau pendekatan yang penulis gunakan adalah dengan memperkenalkan teori penulisan kreatif misalnya yang berkaitan dengan tema, watak, latar dan plot sekadar untuk “diketahui” dan “difahami”. Selebihnya penulis menunjukkan cara atau bimbingan khusus berserta contoh-contoh bagaimana hendak membuatnya, diikuti dengan proses pemurnian karya dan penambahbaikan karya, sehingga karya menjadi sempurna dan sesuai dihantar ke rumah penerbitan untuk diterbitkan. Inilah keistimewaan dan kelebihan yang terdapat dalam buku Tip Penulisan Cerpen dan Novel.
Buku ini sesuai untuk rujukan umum, bagi sesiapa sahaja yang ingin menjadi pengarang cerpen dan novel, baik sebagai pengarang pemula atau pengarang baharu yang ingin “mempertajam” daya penulisan karya kreatif cerpen dan novel. Pembaca akan dapat melihat perbezaan dan persamaan antara disiplin penulisan cerpen dengan novel. Dalam buku ini juga disediakan contoh dan cara membuat “sinopsis plot” untuk cerpen dan “perancangan plot” untuk novel. Kaedah penggunaan “sinopsis plot” dan “perancangan plot” ini ialah satu kaedah yang sistematik dan amat berharga untuk memudahkan kerja sebelum penulisan bermula. Malah, membolehkan berlakunya perbincangan dua hala antara pengarang dengan pembimbing misalnya atau antara pengarang dengan editor. Yakni, bertukar-tukar pandangan untuk memantapkan cerita, malah mengelakkan risiko karya yang telah siap ditulis ditolak mentah-mentah. Oleh sebab itu, para editor juga boleh memanfaatkan tip-tip penulisan yang terdapat dalam buku ini. Buku ini juga boleh dijadikan modul untuk bengkel penulisan cerpen dan novel.









Reviews
There are no reviews yet