Buku Tujuh Tegak Bersama adalah gabungan tujuh genre karya-karya Sasterawan Negara Arena Wati yang meliputi novel, cerpen, drama, puisi, wacana, surat sastera dan Menjejaki Sastera di Rantau. Sutan Takdir Alasyahbana (1908—2000) menulis novel Layar Terkembang, maksudnya, itu bukan naskhah tunggal. Tetapi, karya itu akan bersifat trilogi. Buku pertama; Layar Terkembang, sudah terbit pada tahun 1936. Buku kedua; Gelombang, dan buku ketiga; Teluk Tenang, belum muncul hingga sekarang, setelah mengambil waktu selama 37 tahun.
Satu lagi trilogi Sutan Takdir, bernama Grotta Azzurra. Buku pertama trilogi itu; Terciptanya Cinta (1970). Buku kedua; Cita Membela Cinta (1971). Buku ketiga; Cinta Menjelma Cinta (1972). Trilogi Grotto Azzurra itu, beliau tulis di Eropah pada tahun-tahun 1960-an. Trilogi itu sempat disiapkan seluruhnya, sebelum muncul Gelombang, dan Teluk Tenang.
Tetapi, dalam Grotto Azzurra itu juga—pada jilid kedua, jelas memperlihatkan cara dan gaya peribadi Sutan Takdir dalam penulisan novel. Dalam pertemuan kami di Kuala Lumpur setelah terbit buku pertama, beliau mengatakan, bahawa buku kedua akan ditahan dahulu, dan beliau akan menerbitkan buku ketiga. Malah, dalam pertemuan kami di kuala Lumpur juga, beliau berkata kepada saya, lebih baik dihentikan buku kedua dan ketiga dan beliau akan meneruskan lebih dahulu teman Layar Terkembang—yang itu juga masih terbengkalai, iaitu jilid kedua, Gelombang, dan jilid ketiga, Teluk Tenang.
Tetapi, akhirnya Pak Takdir mengalah juga lagi—Gelombang dan Teluk Tenang itu ditangguhkan. Beliau teruskan baki dua jilid dalam Grotto Azzurra. Sekali lagi beliau menonjolkan ciri peribadi dalam penulisan, dan itulah yang menjadi masalah besar dalam urusan penerbitan dan percetakan.
Kisahnya begini: setelah Pak Takdir ditimpa kemalangan penerbangan —, kerana pesawat yang dinaikinya terbakar ketika berada di atas landasan dl Roma, akibatnya tulang paha Pak Takdir patah. Selama dalam rawatan di sebuah hospital di Jakarta, beliau dapat masa terluang lebih satu bulan. Clean pages proof dan machine sheet proof buku kedua; Cita Membela Cinta, beliau baca kembali dan beliau banyak membuat perubahan. Dua orang anak beliau, dalam penerbit dan Percetakan Pustaka Rakyat miliknya itu, terpaksa mengalah, walaupun menanggung kerugian waktu, alat, bahan, dan tenaga.





