Out of stock

Pakaian Cara Melayu

SITI ZAINON ISMAIL (1949 — ) merupakan seorang pengarang, pengkaji seni budaya warisan Melayu, seniman, penyair dan pelukis Malaysia. Beliau adalah penerima Anugerah Sastera Negara 2019.

Penerbit UKM (Cetakan Ketiga, 2009)
340 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

RM50.00

Out of stock

ISBN: 9789679427404 Product ID: 1810 Subjects: , Sub-subjects: ,

Pakaian Cara Melayu tulisan Siti Zainon Ismail adalah kajian yang bertujuan meneroka, meneliti, dan menganalisis pakaian di alam Melayu. Pakaian adalah aspek budaya yang membuktikan kewibawaan adat istiadat wilayah budaya Melayu. Pakaian cara Melayu yang pertama kali disebut pada abad ke-16 adalah kesinambungan pola asas yang berkembang di istana Kerajaan Melayu Melaka pada zaman keagungannya di Kepulauan Melayu. Pemakaiannya tidak berkembang ke Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera sahaja, malah ke Brunei dan Sulawesi. Walaupun disana sini ada unsur luar yang digunakan tetapi ia digabungkan secara harmoni.

Di sinilah ditemui persamaan ciri reka bentuk pakaian wilayah budaya Melayu seperti baju kurung Palembang, baju kurung Melayu-Brunei dan baju panjang Minangkabau yang umumnya dikenal sebagai baju teluk belanga. Keistimewaan konsep pakaian cara Melayu dibuktikan dengan wujudnya ciri reka bentuk pakaian tradisional Melayu yang diterima sebagai salah satu identity budaya Melayu.

Perbandingan pola baju Melayu kurung Johor dengan pakaian Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Perak lebih memperlihatkan kesinambungan pengaruh dua unsur utama yang menyerap masuk melalui perkembangan sejarah dan budaya. Pakaian Cik Siti Wan Kembang adalah warisan budaya Sriwijaya, manakala Puteri Perak pula adalah kesan asimilasi budaya Melayu-Aceh. Kini kedua-dua pakaian ini adalah simbol kebesaran yang dijadikan pakaian adat kesenian.

Pakaian, secara umumnya selalu dikaitkan dengan fungsi penggunaan. Ia dipakai untuk menutup tubuh bagi mengelakkan kesan panas atau dingin. Pada zaman prasejarah, manusia menggunakan bahan sederhana sebagai pakaian. Manusia mengolah bahan tersebut dari alam semula jadi: jalinan serat tumbuhan seperti rumput, lalang atau kulit binatang sehinggalah zaman munculnya peradaban benang dan proses menenun. Pakaian telah menjadi aspek budaya benda yang penting untuk meneruskan kehidupan. Begitu juga dengan tradisi pakaian di Wilayah budaya Melayu.

Pengertian ‘Pakaian Tradisional Melayu’ tidak terbatas kepada pemakaian kain dan baju sahaja. Ia adalah sebahagian kelengkapan adat istiadat masyarakat untuk memenuhi kehidupan yang meliputi nilai, norma dan keindahan budaya Melayu. Pakaian Cara Melayu memberi tumpuan kepada masalah mencari dan menentukan identiti budaya Melayu. Wilayah budaya Melayu sebagai lingkaran budaya memperlihatkan ciri persamaan pola budaya itu. Hal ini penting sehingga apabila membicarakan tentang pakaian tradisional, diperkatakan juga masyarakat dan etnik asal penduduk dalam lingkaran budaya yang turut sama mengalami proses perkembangan kebudayaan dalam tempoh tertentu. Umumnya, istilah Wilayah budaya Melayu merujuk batas politik seperti yang kita kenal hari ini.

Pakaian adalah aspek budaya benda yang membuktikan kewibawaan adat istiadat wilayah budaya Melayu khususnya ‘cara Melayu’. Pakaian ‘cara Melayu’ yang pertama kali disebut pada abad ke-16 (Hikayat Hang Tuah 1966, 51) adalah kesinambungan pola asas yang berkembang di istana Kerajaan Melayu Melaka pada zaman keagungannya di kepulauan Melayu hampir 100 tahun sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis (1511). Namun, sebagai unsur budaya tradisi agung, pemakaian ‘cara Melayu’ diterima di Wilayah budaya Melayu hingga menjadi pola dasar pakaian masyarakat Melayu.

Pemakaiannya tidak sahaja berkembang di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera, malah di Brunei, Sulawesi dan Sumbawa yang berbeza daripada berpakaian ‘cara Jawa’, ‘cara Keling’ atau Arab. Walaupun disana sini ada unsur luar yang digunakan tetapi ia digabungkan secara harmoni. Di sinilah dapat ditemui persamaan ciri reka bentuk Pakaian Wilayah budaya Melayu seperti baju kurung Palembang (Aesan Haji), baju kurung Melayu-Brunei dan baju panjang Minangkabau. Walau bagaimanapun, umumnya ia dikenal dengan istilah ‘baju teluk belanga’ (sejak akhir abad ke-l8). Walaupun ada yang menggunakan pola ‘cekak musang’ tetapi ia tetap disebut sebagai ‘baju teluk belanga’ (di Deli, Acheh) atau baju pola kebaya berhutang yang disebut sebagai baju kurung—taruk balanga (di Maranao-Sulu).

Konsep pakaian cara Melayu dijelaskan melalui pemerihalan ‘persalinan’, ‘seberhana pakaian’ yang dihubungkan dengan acara adat istiadat. Sejarah Melayu memerihalkan dengan lengkap persalinan yang dianugerahkan kepada Bendahara dan Hang Tuah yang disampaikan dengan penuh adat istiadat. Hadiah persalinan kepada Bendahara ialah lima ceper (lima persalinan) yang terdiri daripada kain, baju, destar, ikat pinggang dan sibar. Seluar tidak disebut. Anugerah persalinan kepada Hang Tuah terdiri daripada seluar, kain. ikat pinggang dan baju. Adat anugerah inilah yang disimbolkan melalui persalinan atau pakaian ‘cara Melayu’ daripada tiga hingga lima persalinan yang lengkap dengan perhiasan, yang dapat dianggap sebagai melengkapkan erti pakaian tradisional Melayu.

Istilah pakaian cara Melayu digunakan bagi menyelesaikan masalah reka bentuk pakaian tradisional Melayu terutama dalam kerja-kerja perbandingan bahan etnografi di wilayah budaya Melayu. Pola baju Melayu yang pada peringkat awalnya adalah singkat dan kecil diperbesar dan dilabuhkan oleh Temenggung Tun Hassan, diperihalkan dengan jelas dalam Sejarah Melayu. Pemerihalan ini dianggap sebagai data budaya (teks sastera sejarah) yang penting dalam kajian ini. Pola inilah yang menjadi ikutan dan kemudiannya terkenal dengan istilah ‘baju teluk belanga’ pada akhir abad ke-18 di zaman Temenggung Abu Bakar yang berkuasa di Teluk Belanga. Pola ini juga berkembang menjadi pakaian wanita Johor dan diterima sebagai pola warisan di beberapa wilayah Melayu lainnya.

Pola pakaian di beberapa wilayah budaya Melayu masih meneruskan ciri tradisi yang berkait rapat dengan peristiwa sejarah. Pakaian tradisi wanita Kelantan misalnya masih meneruskan ciri pakaian Seriwijaya yang terkenal pada zaman kerajaan Cik Siti Wan Kembang yang pernah menerajui kerajaan ‘Tanah Serendah Sekebun Bunga’. Tiga helai (potong) kain digunakan untuk menutup anggota tubuh (wanita) iaitu cindai/limar yang dipakai cara ikal meribu (sarung), berkemban (menutup dada) dan kain panjang melampai menutup bahu dan dada.

Perbandingan pola baju Melayu kurung Johor wanita dengan pakaian Cik Siti Wan Kembang dan ‘Puteri Perak’ lebih memperlihatkan kesinambungan pengaruh dua unsur utama yang menyerap masuk melalui perkembangan Sejarah dan budaya. Pakaian Cik Siti Wan Kembang ialah warisan budaya Seriwajaya, manakala ‘Puteri Perak’ adalah kesan asimilasi budaya Melayu-Acheh. Kini kedua-dua pakaian ini lebih merupakan simbol kebesaran (ratu, puteri) yang dijadikan pakaian adat kesenian.

Manakala baju kurung dan baju kebaya panjang diterima di seluruh wilayah budaya Melayu sebagai pakaian harian dan apabila reka bentuknya lengkap sepersalinan (termasuk menggunakan bahan songket, tekstil atau ikat berganda) dan perhiasan ia dijadikan kelengkapan pakaian raja sehari. Semua ini adalah salah satu keindahan budaya Melayu yang agung dan dapat membuktikan keindahan pakaian tradisional Melayu.

Senarai Sketsa
Senarai Gambar
Senarai Singkatan
Prakata
Pendahuluan

1. Pengenalan
2. Pakaian
3. Pakaian Cara Melayu
4. Reka Bentuk Pakaian Cara Melayu
5. Simbolik Pakaian Cara Melayu
6. Gaya dan Keindahan Pakaian Cara Melayu

Kesimpulan
Glosari
Rujukan
Indeks

Weight0.645 kg
Dimensions25.2 × 17.5 × 1.9 cm
Format

Language

Publisher

Year Published

  1. MOHD SHAHRULNIZAM (verified owner)

  2. Fatimah Azzahra (verified owner)

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.