Kitāb Perubatan Melayu: Sari Segala Ubat, Ṭabīb Diraja Kesulṭānan Pontianak adalah manuskrip perubatan Melayu yang antara terawwal masih wujud kerana berasal pada akhir abad ke-18 atau permulaan abad ke-19. Kajian ini bertujuan menambah dokongan kepada usaha membangunkan warithan intelektual Melayu dan meneroka potensinya untuk manfa’at perubatan kini. Kitāb Sari Segala Ubat (MSS B15) mengandungi ‘amalan perubatan Tabib Diraja Kesultanan Pontianak, Kalimantan Barat di pulau Borneo. Kitab ini tentunya akan meluaskan lagi pandangan terhadap peng’amalan sains dan teknologi dalam kalangan masharakat Melayu Borneo pada zaman lampau.
Hasil kajian mendapati terdapat 51 komplikasi atau keadaan kesihatan disebutkan di dalamnya, sama ada penyakit fizikal yang mengganggu sistem badan tertentu atau secara u’mūm, dan penyakit bukan fizikal seperti yang melibatkan gangguan emosi. Selain itu, terdapat 18 preskripsi yang menggunakan ramuan tunggal, 85 preskripsi yang menggunakan lebih daripada satu adunan ramuan, dan 28 preskripsi yang melibatkan ‘unsur spiritual. Kebanyakan preskripsi turut disertakan qa’idah perubatannya seperti pengambilan melalui pemakanan, mengenakan ubat secara langsung ke bahagian tubuh malah disertai dengan bacaan-bacaan tertentu. Ramuan tempatan dan import yang digunakan merupakan manifestasi daripada aktiviti perdagangan dengan para pedagang pada masa itu. Apa yang lebih menarik ialah adanya bahan-bahan rawatan yang khas terdapat di pulau Borneo. Sementara itu, bahagian akhir dalam kajian ini membentangkan tinjauan sepintas lalu pada perbahanannya dengan membandingkan penggunaan bahan dengan dapatan daripada kajian sains kontemporari.
Kewujūdan manuskrip di Kepulauan Melayu adalah simbol, identiti dan bukti tradisi ke’ilmuan Melayu pada abad yang lampau. Walau bagaimanapun, khazanah bersejarah ini tidak dapat ditanggapi selayaknya jika tidak dilakukan pemeliharaan, pembuktian, penyelidikan dan penilaian isi kandungannya. Oleh yang demikian, adalah menyedihkan apabila kebanyakan manuskrip perubatan Melayu kekal tersimpan, menunggu rosak dan tidak dikaji, memandangkan hanya kira-kira 11 manuskrip perubatan tradisional Melayu telah diterbitkan semula sehingga tahun 2018 manakala penilaian kandungannya masih pada tahap minima. Kesimpulannya, kajian ke atas Sari Segala Ubat (MSS B15) meneruskan aspirasi untuk memperkenalkan semula warithan perubatan Melayu selain menyumbang kepada hasrat dan tujuan perubatan masa kini yang masih memerlukan bahan-bahan terbaik untuk digunakan ke atas pesakit.
Reviews
There are no reviews yet