Wajah Malaysia dalam Gurindam Lagu-lagu

SHAZLIN AMIR HAMZAH merupakan Felo Penyelidik di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penerbit UKM (Cetakan Pertama, 2022)
248 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

RM35.00

In stock

Wajah Malaysia dalam Gurindam Lagu-Lagu melihat kepada pembentukan jenama negara Malaysia dengan meneliti lagu-lagu patriotik popular tempatan di atas susur masa sejarah antara tahun-tahun 1950 hingga 1969, dengan mengambil kira kepentingan sejarah tanah air ini yang melalui pelbagai era kerajaan. Termasuk dalam susur masa ini ialah historiografi lagu patriotik paling ulung bagi negara ini iaitu Negaraku. Simbol-simbol utama dan naratif sejarah kolektif yang dimasukkan ke dalam senikata gurindam lagu-lagu ini merupakan elemen-elemen penting bagi mempertahankan kelangsungan dan ketahanan sifat etnik masyarakat tempatan yang berkongsi sejarah yang sama. Kelangsungan bangsa bagi negara ini masih memerlukan kepada jaringan-jaringan bangsa-idaman yang tersulam dengan memori tradisional yang bersifat kolektif. Penjenamaan merupakan proses yang diulang secara konsisten oleh pihak yang memerintah untuk mengekalkan bayangan bangsa-idaman ini melalui lagu-lagu patriotik popular.

Biarpun penjenamaan bangsa adalah sebuah konsep yang masih baharu, namun ia semakin dianggap penting oleh para sarjana dan pengamal industri kini. Dengan melihat kepada Semenanjung Malaysia, buku ini membincangkan isu-isu yang diabaikan dalam bidang pengiklanan dan juga pemasaran politik. Konsep-konsep seperti negara, bangsa dan negara-bangsa tidak boleh disama-ertikan bagi sebuah negara pasca-kolonial. Ini adalah kerana pengalaman mencapai kemerdekaan bagi Malaysia adalah berlainan sekali dengan apa yang dilalui di negara-negara Barat. “Negara” adalah entiti yang mempunyai sistem perundangan, kawasan fizikal dan kewarganegaraan manakala “bangsa” pula ditakrifkan sebagai komuniti bayangan yang disemat dengan idea bangsa-idaman yang berbagai. Ini menjadikan “bangsa” tersebut suatu agenda yang masih diusahakan bagi Malaysia.

Pementasan sejarah negara yang hebat ini diperdengarkan kepada khalayak ramai dengan bantuan muzik dan lagu-lagu dan gurindam, dengan merujuk kepada senikata-senikata yang disulam kait bersama melodi dan irama lagu. Secara khususnya, lagu-lagu ini merupakan lagu-lagu patriotik yang dicipta dan ditulis khas dengan sentimen-sentimen tertentu yang menggambarkan berbagai-bagai simbol nasionalisme dan kebangsaan dalam usaha menyemai semangat kekitaan. Apabila lagu-lagu ini disiarkan melalui media massa, masyarakat diperdendangkan dengan apa yang disebut sebagai “Jenama Malaysia’. Persembahan “Jenama Malaysia” ini bukan sahaja memerlukan beratus-ratus orang penghibur dan penganjurnya, malahan juga beribu-ribu khalayak. Mereka inilah yang bersedia untuk mendengar lagu-lagu patriotik yang dicipta khusus untuk tujuan penjenamaan ini. Genre muzik ini bergema dengan suara dan sejarah kolektif yang dikongsi bersama. Lagu-lagu ini lazimnya menambat hati pendengar kerana korusnya yang penuh semangat. Korus-korus ini mempunyai kekuatan untuk membentuk masyarakat dan juga menggerakkan kumpulan-kumpulan pengikut yang begitu setia.

Lagu-lagu ini malah turut dibawa bersama mengiringi pasukan tentera yang dalam perjalanan untuk mempertahankan negara dari serangan musuh. Sebagai contoh, semasa krisis pencerobohan berlaku di Lahad Datu, Sabah pada awal Februari tahun 2013, gelombang udara Malaysia dipenuhi dengan lagu-lagu patriotik yang disiarkan oleh radio dan televisyen. Imej-imej anggota tentera yang sedang bertugas dipaparkan di kaca televisyen sambil lagu-lagu seperti Perajurit Tanah Ayer (ciptaan Saiful Bahri tahun 1960) dan Samudera Raya (nyanyian Jamaluddin Alias tahun 1960) dimainkan sebagai muzik latar belakang. Secara serta merta lagu-lagu ini dirasakan penting untuk diperdengarkan semula setelah lebih lima puluh tahun dicipta. Ini kerana unsur-unsur yang diselitkan dalam lagu-lagu ini apabila diamati sewaktu negara berada dalam krisis membangkitkan perasaan kesetiaan dan patriotisme kepada negara. Pihak media pantas menggunakan lagu-lagu ini sebagai wahana untuk menanamkan semangat identiti kebangsaan yang bersifat kolektif.

Senarai Rajah
Prakata

1. Meneroka Penjenamaan Malaysia dalam Gurindam Lagu
2. Bangsa dan Nasionalisme
3. Ilmu Kolonial dan Pembentukan Identiti Malaysia yang Moden
4. Muzik di Malaysia dan Pengaruh Ilmu Kolonial
5. Menyelusuri Sejarah Lagu Negaraku
6. Lagu-lagu Patriotik Popular 1950-1969
7. Penghayatan Merentasi Nasionalisme dan Identiti dalam Gurindam Lagu
8. Kelangsungan Gurindam Lagu Sebagai Wahana Nasionalisme Bangsa

Rujukan
Indeks

Weight0.371 kg
Dimensions22.9 × 15.1 × 1.4 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.