Haruki Murakami dalam Kesusasteraan Melayu mempertemukan dua wajah wilayah persuratan, iaitu Melayu dan Jepun. Lebih awal sastera Melayu meraikan tulisan Yasunari Kawabata, Kenzaburo Oe atau Matsuo Bashao, dan mutakhir ini ditemukan nama Haruki Murakami. Lima bab pertama buku ini merupakan tulisan yang bersifat kritikan terhadap kehadiran Haruki Murakami dalam gubahan karya penulis tempatan seperti Roslan Jomet, Juri Durabi, Zainal Rashid Ahmad dan Anwar Ridhwan. Sementara belahan keduanya menghimpunkan catatan pengakuan beberapa penulis, iaitu Lokman Hakim, Roslan Jomel, Ruhaini Matdarin, Rebecca Ilham dan Jasni Matlani, berkenaan dampak kepengarangan Haruki Murakami. Mereka bercakap tentang titik perkenalan dengan Haruki Murakami, membaca karyanya dan bagaimana hasil tulisan mereka menerima pantulan daripada novel atau cerpen, malah biografi sasterawan-pelari ini.
Himpunan catatan berkenaan turut memperkatakan proses kreatif para penulis yang ditumpukan ini secara tidak langsung. la sangat membantu calon penulis untuk mempelajari kaedah membangunkan plot, watak, latar dan gaya pengucapan yang lebih eksperimental. Pada masa yang sama, mereka dapat belajar untuk melanggar banyak sempadan naratif dan garis geografi seperti Haruki Murakami. Karya Haruki Murakami melapangkan bukaan jendela tentang jiwa manusia kontemporari yang gelisah dengan kesendengan terhadap keterasingan sosial yang didepani setiap hari khasnya dalam pusaran golongan marginal. Khalayak lebih dimengertikan perihal keriuhan pembangunan materi yang sering meninggalkan jauh di belakang nilai-nilai manusiawi. Begitu semuanya diungkap menerusi tulisan yang mempamerkan susuk Haruki Murakami dalam kesusasteraan Melayu.
Reviews
There are no reviews yet