Parti Negara Sarawak dalam Sejarah Politik Sarawak memaparkan bagaimana PANAS selaku parti politik pertama ditubuhkan di Sarawak memperjuangkan idea dan matlamatnya kepada usaha memperjuangkan hak dan kepentingan masyarakat peribumi Sarawak. Pada awalnya, PANAS bersaing dengan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang menuntut kemerdekaan awal daripada British. Namun, PANAS mengambil dasar berlainan yang mahu agar kebajikan penduduk bumiputera harus dibaiki dan dijaga. Pendirian PANAS berubah apabila Tengku Abdul Rahman mengumumkan pembentukan Malaysia. PANAS memberi sokongan kuat pada pembentukan ini dan SUPP pula telah mengkritik dasar PANAS tersebut. Kemunculan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA), Sarawak Chinese Association (SCA) dan Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) serta Sarawak National Party (SNAP) memberi saingan baharu pada PANAS untuk kekal relevan. Tekanan kuat daripada kemunculan parti-parti baharu ini menyebabkan PANAS bergerak sendirian pada Pilihan Raya 1963 dan bergabung pula dengan SUPP untuk membentuk kerajaan.
Walaupun idea ini gagal, tetapi PANAS mendapat beberapa kerusi dalam Council Negri untuk mengekalkan kerelevanan parti tersebut. Idea membawa United Malay National Organization (UMNO) ke Sarawak membawa perpecahan kepada PANAS apabila beberapa orang ahlinya keluar parti dan membentuk MACHINDA. Kesan krisis 1965 membawa PANAS menyertai kerajaan negeri. Namun, krisis 1966 menyebabkan PANAS berpecah sehingga Abang Othman keluar PANAS untuk memberi sokongan kepada Stephen Kalong Ningkan dan SNAP. PANAS kemudiannya menyertai Kerajaan Tawi Sli. Pada tahun 1966, PANAS bergabung dengan BARJASA membentuk Parti Bumiputera.
Reviews
There are no reviews yet