Sejarah Terengganu Menjelang Campur Tangan British 1919 digarap untuk menjelaskan tentang situasi dan latar belakang pemerintah dan penduduk Terengganu semasa Siam dan British mengancam kemerdekaan negeri tersebut. Sejarah negeri Terengganu menjadi istimewa berbanding negeri Melayu yang lain kerana menjadi negeri terakhir di Semenanjung Tanah Melayu yang menerima penjajahan British sepenuhnya setelah termeterai Perjanjian British-Terengganu 1919. Negeri Terengganu menjadi berbeza kerana hanya ejen British ditempatkan di Terengganu setelah Perjanjian Bangkok 1909. Dengan itu, pemerintah Terengganu masih berkesempatan untuk menangguhkan campur tangan British ke atas pemerintahan negeri mereka. British tidak menempatkan penasihat British di Terengganu kerana pemerintah Terengganu menganggap negeri mereka adalah negeri Merdeka berstatus Malayuwiyyah Islamiyyah. Terengganu tidak menerima penempatan pegawai Siam pada 1902 seperti negeri Kelantan.
Justeru, pemerintah dan penduduk Terengganu mempunyai masa selama lebih kurang sepuluh tahun untuk melakukan ‘persediaan’ menghadapi ancaman penjajahan British. Pemerintahan Terengganu sebenarnya berjalan dengan lancar dan menyediakan ruang dan kesempatan yang baik kepada penduduknya untuk membentuk situasi sosial yang baik dan menjalani aktiviti ekonomi yang mantap. Kajian ini turut memberi pendedahan mengenai kebijaksanaan Sultan Terengganu dan para pembesar serta peranan para ulama menangani ancaman Siam dan British yang mahu menguasai negeri tersebut, selain juga mengupas tentang pelaksanaan hukum Islam di Terengganu dan amalan zakat serta wakaf sebagai manifestasi kepatuhan penduduk Terengganu kepada ajaran Islam dan kemurahan hati mereka untuk sentiasa membantu golongan yang berkeperluan.
Reviews
There are no reviews yet