Negeri Perlis dan Sejarah Peradaban menganalisa perkembangan peradaban negeri Perlis yang meliputi bidang politik, ekonomi dan sosiobudaya; serta hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan sejarah kesultanannya. Kesultanan Melayu wujud di negeri Perlis sebagai sebahagian daripada warisan pemerintahan raja Melayu yang memiliki sejarah dan amalan adat istiadatnya yang tersendiri. Asas kesultanan tersebut terbina pada tahun 1798 dengan pelantikan Syed Harun Jamalullail yang berketurunan Arab sebagai Penghulu Arau oleh Sultan Kedah, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II (1797-1803). Syed Harun Jamalullail telah dikurniai daerah Arau setelah beliau mengahwini puteri Sultan Kedah tersebut. Oleh itu, sejak dari awal lagi daerah Arau telah menjadi kawasan tempat tinggal keluarga diraja Perlis yang berada di bawah naungan Sultan Kedah. Pada tahun 1825, putera Syed Harun Jamalullail yang bernama Syed Hussin Jamalullail pula dilantik sebagai Penghulu Arau yang kedua.
Satu perubahan besar berlaku pada tahun 1843 apabila Syed Hussin Jamalullail telah dilantik oleh pemerintah Siam sebagai Raja Perlis yang pertama bergelar Raja Syed Hussin Jamalullail dan terus menjadikan Arau sebagai tempat persemayaman baginda. negeri Perlis menjadi satu-satunya negeri yang menggunakan panggilan Raja berbanding dengan panggilan Sultan yang biasa diamalkan di negeri yang lain. Walaupun begitu, pemerintahan Raja Perlis tetap menjadi sebahagian daripada institusi kesultanan Melayu yang memiliki kebesaran dan kedaulatannya. Pada masa ini, daerah Arau telah dijadikan sebagai Bandar Diraja Arau yang menempatkan Istana Arau. Takhta kesultanan Perlis seterusnya diterajui oleh Raja Syed Ahmad Jamalullail sebagai Raja Perlis kedua yang memerintah antara tahun 1873 hingga tahun 1897. Selepas pemerintahan Raja Syed Ahmad Jamalullail, takhta Raja Perlis yang ketiga disandang oleh Raja Syed Safi Jamalullail yang memerintah antara tahun 1897 hingga tahun 1904.
Setiap raja mempunyai peranan mereka yang tersendiri dalam membawa kemajuan dan pembangunan di negeri Perlis, terutamanya ketika negeri Perlis masih berada di bawah kekuasaan Siam. Berikutan dengan peristiwa Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, pentadbiran negeri Perlis telah diserahkan oleh pemerintah Siam kepada pihak British. Oleh itu, dalam masa pemerintahan Raja Syed Alwi Jamalullail sebagai Raja Perlis yang keempat antara tahun 1904 hingga tahun 1943, pentadbiran negeri Perlis berada di bawah penjajahan British. Pembangunan terus berlaku di negeri Perlis. Bermula dengan pemilikan kawasan Arau, raja Perlis terus membawa kemajuan demi kemajuan sehingga terbentuk sebuah negeri Perlis yang lebih luas wilayahnya. Bandar Kangar membangun sebagai ibu negeri yang melestarikan warisan dan teknologi moden semasa.
Reviews
There are no reviews yet