Pantang Larang Kematian dalam Masyarakat Tamil memberikan gambaran yang kukuh tentang praktis pantang larang kematian dalam masyarakat Tamil, himpunan makna tersirat di sebalik pantang larang yang dipraktikkan selain etiket menghadiri upacara kematian melibatkan masyarakat Tamil. Kematian merupakan pengakhiran kepada kehidupan seseorang manusia yang ditentukan oleh kuasa tuhan. Bagi masyarakat Tamil, pengurusan kematian memberikan penekanan yang tinggi terhadap penghormatan terakhir mengikut adat dan tradisi etnik. Dalam konteks ini, pantang larang merupakan elemen yang tidak dapat dielakkan amalannya. Pelbagai pantang larang mengisi persekitaran kematian, malah bertindak sebagai landasan etika dan moral serta mendasari kepatuhan anggota masyarakat secara turun-temurun.
Amalan setiap pantang larang dalam menempuh situasi kematian mempunyai tujuan dan makna tertentu yang tinggi nilainya. Pantang larang bertindak mengukuhkan disiplin dan tatatertib dalam mengurus kematian selaras tuntutan agama dan tradisi masyarakat. Pantang larang juga mendasari adab dalam memastikan bentuk tingkah laku yang sesuai dengan situasi kematian, tidak kira dalam proses mengurus kematian mahupun bagi orang yang menghadiri kematian. Walaupun tidak dinafikan terdapat sedikit sebanyak pantang larang mengalami kecairan akibat faktor modenisasi, perubahan gaya hidup selain perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, namun rata-rata boleh dikatakan pantang larang ini masih berdiri kukuh dari segi amalannya hingga kini.
Reviews
There are no reviews yet