Melaka Raya 1511: Interpretasi Sejarah adalah satu langkah kecil dalam usaha untuk membuktikan kesahihan kewujudan empayar Kesultanan Melayu Melaka yang suatu masa dulu gah, gemilang, menguasai sebahagian kuasa perdagangan dan politik dunia namun hari ini segala bukti berkaitannya seolah-olah lenyap ditelan bumi dan sukar dicari gali untuk membuktikan bahawa empayar ini pernah agung suatu masa dulu. Ia juga merupakan usaha untuk mengumpulkan tinggalan berharga nilai sejarah Tanah Melayu dan warisan bangsanya yang mempunyai nilai tersendiri dan dekat dengan makna kewujudan sebuah negara bernama Malaysia hari ini. Penulisan ini juga diharap akan menjadi pemangkin kepada penulisan yang lebih terperinci dan mendalam dalam mencari tinggalan sejarah dan seni bina yang pastinya pernah gah dan terkenal suatu masa dulu.
Hala tuju perbincangan sejarah dan seni bina penulisan ini dipacu oleh dua cabang soalan tunjang. Pertama, apakah bukti-bukti sahih yang dapat menyokong kewujudan Kota Melayu Melaka semasa Empayar Melaka gah di persada dunia pada kurun ke-15. Kedua, bagaimanakah rupa bentuk perbandaran Melaka pada zaman tersebut. Kedua-dua hal ini digarap demi mengenal pasti mengapa kurangnya penulisan jelas mengenai kewujudan dan rupa bentuk Kota Melayu Melaka walhal penceritaannya masyhur seantero alam semenjak dari zaman silam, namun gambarannya masih kabur.
Reviews
There are no reviews yet