Di Depan Api, Di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu menyorot perjuangan panjang sebuah akhbar bangsa semenjak penubuhannya tahun 1939, dan membentangkan sumbangan manusia Utusan dalam kedua-dua zaman di Singapura, Malaya dan kemudiannya Malaysia. Penulis mencerap sejarah Utusan Melayu menerusi dua zaman, iaitu zaman sebelum mogok dan selepas mogok. Kegagalan pemogokan seluruh pekerja Utusan Melayu pada tahun 1961 merupakan titik pemisahan Utusan Melayu daripada warisan sejarah perjuangan asalnya untuk mencapai Melayu Raya dan memasuki dunia realiti yang melampaui sempadan emosi dan sentimen nasionalisme yang terbatas yang kemudian memudahkan pengertian dan penyesuaiannya kepada dasar globalisasi yang menguasai dunia sekarang tanpa mengorbankan nilai dan identitinya. Jika tidak, Utusan mungkin berada dalam keadaan yang amat lemah dan tidak mungkin terus berada di atas dasar-dasarnya atau telah pun lenyap dalam perjalanan sejarah.
Zaman Utusan sebelum mogok bergelora dengan semangat perjuangan revolusi yang diinspirasi dari tanah seberang yang melihat api setelah menjejaki duri manakala dalam era selepas mogok para pendukungnya tidak lagi melawan api dengan api tetapi menentangnya dengan air selari dengan perwatakan kepimpinan negara yang demokratik. Buku sejarah ini cuba melihat dan membentangkan sumbangan manusia Utusan dalam kedua-dua zaman itu di Singapura, Malaya dan kemudian Malaysia yang menjadikan Utusan tersohor. Zaman sebelum mogok tidak boleh memisahkan Utusan daripada peranan besar dan cerita-cerita yang mengagumkan tentang Yusof Ishak, pengasas Utusan Melayu, yang kemudian menjadi Presiden Singapura dan pembantu utamanya, A. Samad Ismail, tokoh agung dalam dunia kewartawanan dan politik Nusantara.
Sejarah Utusan Melayu bermula dengan nasionalisme yang sempit tetapi keterbukaannya kemudian melampaui batas kaum dan agama yang membuatnya diterima sebagai suara berani seluruh rakyat tetapi adalah suatu hal yang sungguh malang tsunami politik 2008 telah turut mencalar imejnya kerana sikapnya mempertahankan yang hak dan menentang yang batil. Utusan yang mempertahankan setiap inci Perlembagaan Persekutuan dianggap sebagai rasis. Maka itu perjuangan Utusan Melayu tidak pernah selesai dan tidak pernah berakhir. Setelah melalui jalan berduri, ia sekarang berhadapan api dalam usaha untuk memulihkan kemuliaan bangsa dan agama tetapi falsafah perjuangan dan strategi pertahanan dan serangannya akan terus berpandukan kepada pengalamannya.
Reviews
There are no reviews yet