Aceh: Sejarah Perjuangan Mendaulatkan Negara Islam, 1873-2005

YUSRA HABIB ABDUL GHANI adalah Pengarah-Pengasas Institute for Ethnics Civilization Research, Denmark.

NORDIN HUSSIN adalah Profesor dalam bidang Sejarah Sosial dan Ekonomi di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penerbit UM (Cetakan Pertama, 2021)
388 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

RM78.00

In stock

If you purchase this book you will earn 16 points worth of RM1.60!
ISBN: 9789674881283 Product ID: 24439 SKU: 9789674881283 Categories: , , Tags: , , , , ,

Aceh: Sejarah Perjuangan Mendaulatkan Negara Islam, 1873-2005 merungkai bagaimana kehadiran kuasa luar, seperti Belanda, Jepun dan penubuhan negara Indonesia telah mencabar dan menghalang usaha dan gagasan penubuhan negara bangsa Aceh. Sejarah perjuangan mendaulatkan penubuhan negara Islam Aceh dipenuhi dengan cabaran dan halangan, walaupun kerajaan Islam Aceh sudah jelas terbentuk sejak zaman awal moden, namun perubahan politik yang berlaku pada akhir abad ke-18 telah merubahnya. Permasalahan ini bertambah kusut selepas Perang Dunia Kedua, apabila perjuangan mendaulatkan kerajaan Islam Aceh telah berubah dari sebuah gagasan perjuangan untuk menubuhkan kerajaan Aceh yang berdaulat kepada perjuangan menuntut pelaksanaan Syariat Islam dilaksanakan dalam lingkungan negara Indonesia.

Seterusnya pada tahun 1976, perjuangan untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka diteruskan oleh Gerakan Aceh Merdeka (GAM) yang menuntut kemerdekaan sepenuhnya dan penubuhan sebuah negara Islam. Sejak usaha penubuhan negara Aceh Darussalam, 22 April 1205, kerajaan Aceh telah berusaha untuk berpaksikan serta berlandaskan syariat Islam sebagai asas peraturan bernegara. Pada zaman Sultan Ali Mughayat Shah, ketentuan syariah yang termaktub dalam al-Quran dan Hadis tersebut dirumuskan semula ke dalam perlembagaan negara (Meukuta Alam). Semasa Sultan Iskandar Muda memerintah (1604-1637), perlembagaan tersebut menganut prinsip ‘Adat bak Po Teumeuruhom, Hukum bak Syaih Kuala, Qanun bak Putroë Phang, Reusam bak Bintara‘ (iaitu pembahagian kuasa dalam birokrasi kerajaan, parlimen dan mahkamah). Dengan kata lain, negara Islam Aceh pada masa itu telah mengenal dan mengamalkan pemisahan dan pembahagian kekuasaan yang dibatasi oleh sistem perundangan (antara hukum Adat dengan hukum agama dan antara kerajaan dengan Ulama). Inilah yang disebut dengan ‘constitutional monarchy‘.

Ertinya, kerajaan mahupun negara yang berperlembagaan menetapkan bahawa kekuasaan sultan bukan penentu hukum tetapi kuasa Hakim yang memutuskan. Sistem pemerintahan Aceh ini memberikan impak kepada pembentukan perlembagaan dalam pemerintahan raja-raja Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, seperti Lembaga Majlis Negeri dalam perlembagaan negeri Perak dan ‘Balai Rung‘ dalam Istana Sultan Perak. Hal ini berlaku, kerana antara negeri Perak dan Aceh mempunyai hubungan yang rapat sekali iaitu negeri Perak merupakan salah satu bahagian wilayah empayar kerajaan Aceh suatu masa dahulu. Sultan Alaudin Mansyur Syah yang memerintah (1580-1587) di Aceh adalah anak lelaki kepada Sultan Ahmad, Perak yang dibawa ke Aceh.

Bermula pada separuh abad ke-18, muncul gangguan keamanan di Selat Melaka dan Sumatera terutama selepas Inggeris dan Perancis menyerahkan bekas koloninya (Pulau Jawa dan sebahagian Sumatera) kepada Belanda melalui Vienna Convention tahun 1814-15 dan Perjanjian London 1814. Bermula sejak itu, Belanda terus berusaha menguasai dan mendominasi semula perdagangan di Selat Melaka dan di bahagian sebelah Barat dan Utara Sumatera. Walau bagaimanapun, Aceh tetap mempertahankan kedaulatan kesultanan Deli, Siak, Asahan, Riau, Tamiang, yang berada di bawah lindungan kerajaan Aceh daripada dikuasai Belanda. Perkara ini tidak disukai oleh Belanda, terutama selepas Belanda-Inggeris memeterai Perjanjian London tahun 1824, yang pada pandangan Belanda merupakan suatu kesilapan yang dibuatnya; kerana menghormati Aceh sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Kesan daripada kekeliruan ini, ternyata mencetuskan konflik yang serius dan berpanjangan antara Belanda dengan Aceh.

Konflik bersenjata antara Belanda-Aceh tidak dapat dielakkan, terutama di wilayah tengah, barat dan utara Sumatera walaupun Belanda-Aceh telah memeterai perjanjian persahabatan dan perdagangan dengan Aceh pada tahun 1857. Kemuncaknya ialah, selepas Belanda-Inggeris menandatangani ‘Perjanjian Sumatera‘ 1871, apabila sebuah kapal perang Belanda berlabuh di perairan Aceh. Utusan panglima perang Belanda turun ke darat menyampaikan pesanan ringkas, iaitu Aceh mesti menyerah kepada Belanda atau menyerahkan satu bandar pelabuhan untuk keperluan militeri Belanda. Sejurus selepas itu, jururunding Aceh naik ke atas kapal perang menghantar titah sultan kepada panglima perang Belanda yang menyatakan bahawa, Aceh adalah sebuah kuasa dan negara yang berdaulat dan merdeka yang berada di bawah lindungan kekhalifahan Uthmaniah Turki. Dengan itu, Aceh tidak dapat menerima ancaman dan tekanan daripada Belanda.

Menjelang serangan Belanda ke atas Aceh tahun 1873, van F. N. Nieuwenhuijzen (ketua jururunding Belanda) sengaja membuat laporan yang mengelirukan kepada Turki bahawa Aceh kerap melakukan perlanunan di Selat Melaka dan perbuatan demikian telah merugikan kepentingan ekonomi Belanda. Sebagai pihak ketiga, kerajaan Turki tidak mahu hanya mendengar daripada sebelah pihak dan perlu mendengar laporan sepenuhnya daripada pihak Aceh. Isu ini telah digunakan oleh pihak Belanda sebagai alasan untuk menjustifikasikan serangan ke atas Aceh pada April 1873. Bagi Aceh, tidak ada pilihan lain, kecuali melancarkan jihad fisabilillah dan dalam situasi serupa ini tidak mungkin tanpa perdamaian dicapai. Perang bersenjata antara Belanda-Aceh tetap berlangsung, walaupun pelbagai pihak, terutamanya daripada kalangan pegawai kerajaan Belanda sendiri dan Turki (sebagai pihak ketiga) telah berusaha supaya perang dapat dielakkan, namun kesemua usaha tersebut gagal.

Perang terus berlaku hingga Belanda terpaksa dihalau keluar dari Aceh pada tahun 1942. Setelah Belanda berjaya diusir keluar dari bumi Aceh, Jepun menduduki Aceh (1942-1945). Kehadiran Jepun ke Aceh atas jemputan Persatuan Ulama Seluruh Aceh (PUSA) dan Uléëbalang. Sebaik sahaja Jepun kalah perang dalam Perang Dunia ke-II pada tahun 1945 dan meninggalkan bumi Aceh; kuasa sivil dan militeri Jepun diserahkan kepada pegawai yang dilantik oleh kerajaan Indonesia yang bertugas di Aceh. Kemudian secara rahsia ditubuhkan Komite Nasional Daerah (KND) Aceh pada 25 Ogos 1945, yang ahlinya terdiri daripada PUSA dan Uleebalang bersubahat dengan Kerajaan Pusat Indonesia (KPI) untuk memasukkan Aceh ke dalam wilayah Indonesia kerana dianggap masih ramai kalangan rakyat yang belum percaya bahawa negeri mereka benar-benar sudah merdeka. Sejak itu, pentadbiran wilayah Aceh secara simbolik diletakkan di bawah kendali kerajaan Indonesia.

Pada tahun 1953 muncul gerakan Darul Islam Aceh (DI-Aceh) yang berjuang hanya untuk mendaulatkan syariat Islam di Aceh dan daerah sekitarnya di bawah bendera Negara Islam Indonesia (NII). Gerakan DI-Aceh tamat pada tahun 1962, setelah dicapai rundingan damai antara pejuang DI-Aceh dengan kerajaan Indonesia. Seterusnya pada 4 Disember 1976, Hasan Tiro mengisytiharkan kemerdekaan Aceh, iaitu negara Islam Aceh yang merdeka dan berdaulat, memiliki perlembagaan yang didambakan oleh rakyat Aceh demi tegaknya maruah dan martabat seperti dimiliki oleh generasi terdahulu. Dipercayai bahawa inilah antara faktor yang memicu kemunculan GAM. Aceh sememangnya mahu menubuhkan sebuah negara Islam yang terpisah daripada Indonesia.

Sehubungan dengan status Aceh, Tengku Hasan M. di Tiro berpendapat bahawa, proses de-colonization seperti yang diatur dalam Resolusi PPB 1514-XV, (a, b, c, d); Resolusi PBB 2625-XXV (e); 2621XXV (f) dan 3314-XXIX (g) dan 2625-XXV, yang pada prinsipnya menyatakan bahawa kedaulatan atas suatu wilayah jajahan tidak berada di tangan si penjajah, melainkan pada tangan penduduk tempatan di wilayah jajahan itu, belum dilaksanakan di Aceh. Implikasi daripada hak kemerdekaan tersebut disokong oleh teori ‘succession of state‘ yang diatur dalam ‘Vienna Convention on Succession of State in respect of Treaties‘ 1978, yang berkuatkuasa pada 6 November 1996.

Bagaimanapun, perjuangan GAM yang telah dirintis sejak tahun 1976, terkandas buat sementara, semasa perundingan Helsinki pada 15 Ogos 2005, oleh sebab jururunding GAM meletakkan Aceh sebagai bahagian daripada wilayah berdaulat Indonesia dan tunduk kepada perlembagaan Indonesia. Bermula dari sinilah konflik antara Aceh dengan Indonesia berlarutan dan mengheret wilayah ini kepada perang saudara dan pengusiran ramai penduduk Aceh keluar negara di samping beberapa pembunuhan beberapa tokoh penting yang memperjuangkan kemerdekaan Aceh. Justeru, kajian dalam Aceh: Sejarah Perjuangan Mendaulatkan Negara Islam, 1873-2005 bermula pada tahun 1873 apabila Aceh dicabar oleh Belanda dan tamat pada tahun 2005, apabila Aceh gagal berjuang mengekalkan kemerdekaan sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka dalam rundingan Helsinki tahun 2005.

Weight 0.594 kg
Dimensions 22.8 × 15.2 × 2 cm
Author(s)

,

Edition

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Aceh: Sejarah Perjuangan Mendaulatkan Negara Islam, 1873-2005”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.