Bajau Pantai Barat

Disunting oleh SAIDATUL NORNIS HJ. MAHALI

Siri Etnik Sabah ITBM-UMS

ITBM & Penerbit USM (Cetakan Pertama, 2012)
232 halaman termasuk Bibliografi

RM35.00

In stock

If you purchase this book you will earn 7 points worth of RM0.70!
ISBN: 9789830688565 Product ID: 24769 SKU: 9789830688565 Categories: , Tags: , , ,

Bajau Pantai Barat mendedahkan pelbagai maklumat asas berkaitan kitaran hidup, sistem ekonomi, aspek kepemimpinan, genre lisan dan budaya benda serta pandang dunia etnik Bajau Pantai Barat Sabah yang sebahagian besarnya tertumpu di Kota Belud. Hal ini berikutan sifat masyarakatnya yang didapati masih tegar memelihara serta mengamalkan pelbagai tradisi nenek moyang Bajau, termasuk dalam aspek perilaku khusus ketika upacara tertentu seperti perkahwinan, kelahiran dan kematian.

Masyarakat Bajau di Sabah secara jelas boleh dibahagikan dua kumpulan iaitu Bajau Pantai Barat dan Bajau Pantai Timur. Walau bagaimanapun, wujud pengklasifikasian berbeza oleh kebanyakan sarjana Barat yang menggunakan panggilan Bajau Darat untuk masyarakat Bajau di pantai barat Sabah dan sebaliknya Bajau Laut untuk masyarakat Bajau di Pantai Timur Sabah. Pengklasifikasian sama turut diguna pakai oleh kerajaan, khususnya menerusi buku bancian penduduk. Hal ini mungkin bertujuan memudahkan kerajaan membezakan dua kelompok masyarakat ini yang lebih selesa dikenali sebagai Jomo Sama (bagi Bajau Pantai Barat) dan Aa Sama (bagi Bajau Pantai Timur) walaupun kedua-dua panggilan itu mempunyai maksud sama iaitu Orang Sama atau Orang Bajau.

Walau bagaimanapun, perlu dimaklumi bahawa takrif serta identiti yang diguna serta diberikan kerajaan ini tidak semestinya selaras dengan identiti takrifan harian yang dibentuk sendiri kedua-dua kelompok etnik masyarakat ini. Antara Bajau Pantai Barat dan Bajau Pantai Timur Sabah, wujud beberapa perkara yang jelas membezakan dua kelompok etnik ini. Antara elemen ketara dan tidak boleh dinafikan ialah kedudukan geografi serta lokasi petempatan yang memungkinkan wujudnya kepelbagaian dan keragaman budaya, kesan daripada penganu, persekitaran, ekologi semasa dan masyarakat setempat. Cumanya jika disorot semula asal usul dan sejarah perhijrahan etnik Bajau in; mereka realitinya ialah kelompok manusia yang berasal dari rumpun bangsa Sama yang serupa iaitu rumpun bangsa Austronesia.

Bangsa Sama ini juga termasuk dalam kelompok yang mahir sebagai pelayar laut atau pengembara lautan. Kesan gelombang perhijrahan yang berbeza telah menempatkan etnik Bajau di Pantai Barat Sabah sebagai kelompok masyarakat yang mendiami rumah di atas daratan dan hal ini secara tidak langsung telah mempengaruhi serta mengubah bentuk ekonomi mereka—dari menangkap ikan kepada bercucuk tanam. Seiring perubahan masa, proses transformasi telah mereka lalui berulang kali dan akhirnya, etnik Bajau Pantai Barat berjaya beradaptasi dan berasimilasi dengan suasana baharu persekitaran dan penduduk setempat khususnya dengan masyarakat Dusun dan Melayu-Brunei.

Perlu ditegaskan bahawa selain menggunakan panggilan Jom Sama (orang Sama/Bajau) untuk memperkenalkan diri mereka sebagai etnik Bajau di Pantai Barat Sabah, masyarakat ini juga menggunakan istilah Sama Dopo’ (Sama/Bajau sebelah) sebagai pengenalan kepada etnik Bajau yang hidup berjiran. Bajau daerah Kota Belud contohnya akan memanggil Bajau daerah Tuaran sebagai Sama Dopo’ dan begitulah sebaliknya. Walau bagaimanapun, peredaran waktu turut memberi kesan sehingga menyebabkan perubahan pada istilah yang digunakan untuk merujuk kepada kelompok etnik Bajau yang melambangkan daerah kediaman. Kesannya, muncul beberapa panggilan baharu bagi etnik ini, antaranya ialah Bajau Kota Belud Bajau Tuaran, Bajau Papar, Bajau Kawang dan Bajau Kinarut.

Walau bagaimanapun, wujud sedikit kekeliruan berhubung istilah Bajau bagi konteks daerah Semporna, berikutan panggilan Bajau-nya yang memperlihatkan satu jalur yang sedikit kompleks dan bervariasi sifatnya berbanding panggilan Bajau di Pantai Barat Sabah. Hal ini disebabkan oleh wujudnya perbezaan budaya antara beberapa kumpulan kecil Bajau yang dikategorikan dalam kelompok Bajau Pantai Timur Sabah. Bagi masyarakat Bajau Pantai Timur, diri mereka diidentifikasikan sebagai Bajau yang kemudiannya diikuti dengan nama yang didasarkan asal usul nenek moyang serta dialek pertuturan mereka, seperti A’a Ubian, Aa Kubang, Aa Simunul, A’a Sibutu, Aa Sikubang, dan A’a Kagayan. Mereka tidak menggelarkan diri sebagai Bajau Laut kerana panggilan itu bagi mereka hanya dirujuk untuk kelompok masyarakat Bajau Filipina yang berhijrah ke daerah Semporna (yang sebahagiannya masih menjadi penghuni perahu) dan pada masa sama lebih terkenal dengan panggilan Pala’u atau Palaut.

Kedua-dua kelompok Bajau ini turut diidentifikasikan dengan budaya benda dan bukan benda berbeza yang banyak dipengaruhi faktor geografi serta lokasi kediaman, selain beberapa perkara membabitkan sumber ekonomi yang turut memperlihatkan perbezaan sangat besar. Etnik Bajau Pantai Barat ialah petani hebat yang mempunyai pengetahuan luas berkaitan dunia pertanian, manakala Bajau Pantai Timur sebaliknya ialah nelayan yang berani mengarungi lautan selain mempunyai leksikal luas mengenai kehidupan dan sumber laut. Realitinya, variasi yang wujud dalam budaya kedua-dua kelompok Bajau ini ialah hasil proses asimilasi serta pengaruh persekitaran yang turut berbeza.

Selain itu, bahasa ialah satu lagi elemen yang turut membentuk identifikasi berbeza antara kedua-dua kelompok Bajau ini. Bajau Pantai Barat dan Pantai Timur menggunakan dua bahasa berbeza walaupun kedua-duanya mempunyai ikatan ‘kekeluargaan’ lantaran berasal daripada rumpun keluarga bahasa Bajau. Perbezaan tahap saling memahami antara kedua-dua penutur bahasa ini dikenal pasti wujud dan dibuktikan menerusi ujian kesalingpahaman antara bahasa Bajau Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah. Ujian yang dibuat berasaskan kaedah leksikostatistik ini menggunakan cerita lisan daripada kedua-dua kelompok penutur ini.

Prakata
Kata Pengantar

Latar Masyarakat Bajau

Organisasi Sosial

Perkahwinan, Kelahiran dan Kematian

Sistem Ekonomi Tradisi

Sistem Kepemimpinan

Budaya Tradisi Berbentuk Benda

Budaya Tradisi Bukan Benda

Pandang Dunia dan Kosmologi Bajau

Penutup: Perubahan dan Penyesuaian

Nota Hujung
Glosari
Bibliografi

Weight 0.461 kg
Dimensions 22.8 × 15.2 × 1.6 cm
Edition

Format

Language

Publisher

,

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Bajau Pantai Barat”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.