Cina Peranakan Kelantan: Menerusi Lensa Sosiologi

PUE GIOK HUN adalah Felo Penyelidik di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang pengkhususan beliau adalah pembentukan dan dinamika identiti etnik dalam fenomena ‘ras campuran’ (mixed race) dan Peranakan dengan tumpuan kepada komuniti Cina Peranakan di pantai timur Semenanjung Malaysia khasnya di Kelantan.

Penerbit UKM (Cetakan pertama, 2018)
249 halaman

RM35.00

In stock

Tumpuan utama Cina Peranakan Kelantan: Menerusi Lensa Sosiologi adalah terhadap kewujudan fenomena Peranakan dalam konteks lapisan generasi yang berbeza-beza dalam sebuah komuniti Peranakan di Malaysia iaitu Cina Peranakan Kelantan. Walaupun Cina Peranakan Kelantan merupakan salah satu subkumpulan etnik Cina di negara ini, masih tidak ramai yang menyedari tentang kewujudan dan keunikan komuniti tersebut. Penulisan dalam media massa dan akademik tentang masyarakat Cina Peranakan di Malaysia adalah lebih tertumpu pada pantai barat Semenanjung terutamanya komuniti Baba dan Nyonya di Melaka, sedangkan komunitii Cina Peranakan turut terdapat di pantai timur Semenanjung Malaysia termasuk di Kelantan.

Malah, ‘kePeranakanan’ (Peranakanness) Cina Peranakan Kelantan adalah berbeza daripada Cina Peranakan dari tempat lain di Malaysia. ldentiti etnik dan kebudayaan Cina Peranakan Kelantan mirip dengan masyarakat setempat hasil daripada proses asimilasi yang lama dan rapat dengan bukan satu, tetapi dua kumpulan etnik tempatan iaitu Melayu dan Siam Kelantan. Buku ini menggunakan Wakaf Bharu sebagai latar kajian kes, dengan membincangkan kedinamikan dan trajektori identiti etnik dan budaya Cina Peranakan Kelantan mengikut amalan generasi lama dan muda dalam kehidupan seharian.

Ras dan etnisiti masih menjadi satu isu yang sensitif dalam dunia hari ini, termasuk di Malaysia. Walau bagaimanapun keadaan ini tidak menghalang kumpulan etnik untuk berinteraksi dan seterusnya berasimilasi antara satu sama lain. Proses asimilasi yang dimangkinkan dengan amalgamasi (perkahwinan campur) seterusnya membawa kepada kemunculan kumpulan etnik minoriti lagi marginal yang mempunyai identiti etnik dan kebudayaan yang memperlihatkan kesinambungan dan pengaruh daripada kumpulan induk tadi. Kumpulan etnik minoriti sebegini dirujuk dengan pelbagai label, termasuklah Peranakan.

Namun, sejauh mana Peranakan wujud sebagai satu fenomena sosial, yakni realiti sosial yang empirikal?

Secara sosiologikal, Peranakan perlu memenuhi tiga kriteria sebelum dapat dianggap sebagai fenomena sosial. Kriteria pertama ialah kewujudannya yang distingtif melalui penggunaan konsep sosial yang khusus sebagai label kepada fenomena sosial tersebut. Kriteria kedua ialah kewujudannya yang bersifat mendatar atau merentas etnik tanpa mengambil kira faktor lokaliti sama ada dalam dan luar Alam Melayu. Serentak dengan itu, kriteria ketiga memerlukan kewujudannya secara menegak, yakni merentas lapisan sosial dalam sesebuah kumpulan etnik

Bagi kriteria pertama dan kedua, analisis telah dilakukan ke atas data sekunder melalui kajian kepustakaan. Analisis bagi kriteria pertama melibatkan perbandingan antara konsep Peranakan dengan Mulato dan Mestizo, manakala kriteria kedua melibatkan analisis ke atas lapan buah komuniti terpilih. Lima daripadanya merupakan komuniti-komuniti Peranakan di Malaysia iaitu Peranakan Jawi, Chetti Melaka, Punjabi Peranakan, Baba dan Nyonya, dan Eurasian-Portugis (Kristang). Tiga buah komuniti lain di luar Alam Melayu yang dilihat berpotensi untuk dianggap sebagai Peranakan turut dikaji, iaitu Irish-American dan Asian-American di Amerika dan komuniti Zainichi Korean di Jepun. Untuk tujuan penulisan buku ini, kriteria pertama dan kedua yang pada asalnya meliputi dua bab pertama yang setebal 115 halaman dalam keadaan tesis yang asal, telah dimampatkan ke dalam bab Pengenalan dan dibincang secara sepintas lalu sahaja.

Cina Peranakan Kelantan: Menerusi Lensa Sosiologi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kriteria ketiga kajian iaitu mengenai aspek menegak Peranakan sebagai fenomena sosial yang memerlukan penyelidikan mendalam sebuah kumpulan etnik. Data primer mengenai aspek ini telah dikumpul melalui teknik pemerhatian ikut sena dan temubual informan di lapangan. Kajian lapangan telah dijalankan secara rasminya dari Januari 2009 hingga Februari 2010 ke atas komuniti Cina Peranakan di Wakaf Bharu, Kelantan. Komuniti mi dipilih sebagai kes kajian atas kelebihannya daripada beberapa segi. Pertamanya, ciri-ciri Peranakan (Peranakanness) Cina Peranakan Wakaf Bharu mengandungi unsur-unsur etnik Melayu dan Siam Kelantan yang seimbang berbanding dengan komuniti-komuniti Cina Peranakan di jajahan-jajahan lain.

Pengaruh daripada bukan satu, tetapi dua kumpulan etnik tempatan, merupakan perbezaan dan keunikan utama komuniti Cina Peranakan Kelantan berbanding komuniti-komuniti Cina Peranakan lain. Kedua, lokasi geografi Wakaf Bharu yang terletak hanya tujuh kilometer dari Kota Bharu yang menjadi ibu negeri Kelantan, membolehkan komuniti Cina Peranakan Kelantan di Wakaf Bharu dikaji dalam pelbagai dimensi termasuk daripada segi faktor lokaliti (bandar/ luar bandar) dan hubungan antara etnik (Cina/Melayu/Siam) serta intra-etnik (Cina Peranakan/Cina arus perdana). Selain itu, kapital sosial yang sedia ada di Wakaf Bharu turut membantu penulis dalam proses pengenalpastian gatekeeper dan pembinaan rapport untuk akses kepada komuniti berkenaan.

Penulisan Cina Peranakan Kelantan: Menerusi Lensa Sosiologi telah membawa kepada beberapa implikasi di peringkat mikro mahupun makro. Pada peringkat mikro, buku ini menyerlahkan dinamika kePeranakanan dalam pelbagai lapisan masyarakat di peringkat setempat dan nasional. Di sebalik payung empat kategori etnik, buku ini menunjukkan bahawa setiap satu kategori etnik terdiri daripada kumpulan-kumpulan etnik yang unik. Selain daripada keunikannya daripada segi budaya, buku ini menunjukkan bahawa kewujudan fenomena Peranakan di sebalik senario semasa yang bergolak akibat percaturan politik dan media massa ke atas garis sempadan etnik, adalah bukti betapa hubungan antara etnik dalam masyarakat di Malaysia telah, dan masih utuh di peringkat akar umbi. Pemilihan untuk memfokus kepada komuniti Cina Peranakan Kelantan sebagai kes kajian dalam konteks rentas generasi juga berjaya menunjukkan kepelbagaian dan keunikan yang ada dalam kalangan golongan Peranakan itu sendiri.

Cina Peranakan Kelantan: Menerusi Lensa Sosiologi juga membuktikan kelebihan Peranakan sebagai konsep sosial dalam merujuk kepada kumpulan etnik minoriti yang terhasil daripada amalgamasi sosial berbanding dengan konsep-konsep lain yang mempunyai konotasi negatif seperti sentimen rasisme. Penemuan ini juga dilihat sebagai satu permulaan kepada usaha untuk memartabatkan Peranakan sebagai konsep sosial di peringkat antarabangsa.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.377 kg
Dimensions 22.8 × 15.2 × 1.4 cm
Edition

Format

ISBN

9789674127442

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Cina Peranakan Kelantan: Menerusi Lensa Sosiologi”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.