Daftar Kata: Bahasa Bakong-Bahasa Melayu

Terbitan Bahagian Perkamusan Dewan Bahasa dan Pustaka

DBP (Cetakan Pertama, 2021)
253 halaman

RM28.00

In stock

Daftar Kata: Bahasa Bakong-Bahasa Melayu memuatkan sebanyak 3,210 kata dengan kerjasama beberapa orang penyelidik yang terdiri daripada penutur jati bahasa Bakong melalui Projek Pembinaan Manuskrip Daftar Kata Bahasa Sukuan Sarawak. Daftar kata yang dikumpulkan berdasarkan perkataan yang kerap digunakan oleh kedua-dua penutur bahasa ini dan diharapkan dapat membantu kemusykilan yang timbul oleh kedua-dua pengguna bahasa ini. Dialek Bakong (Itaok Bakaong) merupakan alat komunikasi ahli keluarga kaum bakaong. Itaok Bakaong amat berbeza dengan dialek Penan. Tidak diketahui, kewujudan Itaok Bakaong, sedangkan asal usul orang Bakong dikatakan daripada suku kaum Penan. Menurut cerita lisan orang-orang tua di kampung, dialek Bakong mungkin disebabkan perubahan budaya hidup yang tidak lagi mengamalkan cara bidup yang menjadi kebiasaan kaum Penan. Lebih-lebih lagi kewujudan pendakwah Islam yang datang membawa perubahan cara hidup orang tempatan. Itaok Bakaong digunakan sebagai alat komunikasi harian dalam keluarga mereka. Itaok Bakaong juga ditulis dengan 26 huruf roman. Huruf-huruf ini terbahagi kepada huruf besar dan huruf kecil. Dalam huruf-huruf ini, terdapat juga huruf vokal dan konsonan. Untuk sebutan dan ejaan yang hampir sama, penggunaan huruf vokal—dan konsonan saling berkait rapat.

Masyarakat Bakong telah menetap di Beluru sejak lebih kurang 100 tahun dahulu. Kampung Melayu Beluru, Bakong, mempunyai lebih kurang 800 orang penduduk yang masih tinggal di kampung dan terdapat lebih dari 100 keluarga telah berpindah ke Kuala Baram dan ramai daripada anak kampung telah berhijrah ke tempat lain atas faktor mencari pekerjaan. Pekan Beluru dapat dihubungi terus melalui jalan darat selama lebih kurang satu jam tiga puluh minit dari bandar raya Miri, juga boleh dihubungkan melalui jalan sungai melalui Marudi yang memakan masa 6-8 jam menyusuri sungai Baram dan sungai Bakong. Pekan Beluru juga merupakan lokasi persinggahan popular sebelum meneruskan perjalanan ke Lapok, Long Lama dan Ulu Baram, dan merupakan pusat pentadbiran daerah yang diketuai oleh seorang Pegawai Daerah. Pekan kecil ini mempunyai kemudahan awam seperti sebuah sekolah menengah, dua buah sekolah rendah, klinik desa, balai polis, dan pejabat agensi kerajaan. Selain itu, pekan Beluru juga telah mempunyai kemudahan bekalan elektrik dan bekalan air bersih serta kemudahan lain.

Kebiasaannya pekan Beluru amat sibuk pada hujung minggu disebabkan penduduk tempatan berkunjung ke pekan. Pada hujung minggu, pelbagai hasil pertanian yang segar dan unik boleh didapati di pekan ini. Antara produk hutan yang pasti memikat hati pengunjung ialah umbut pokok palas (ubuut nyeraok) dan umbut rotan ruai yang jarang ditemui di tempat lain. Di Daerah Beluru inilah terletaknya kampung orang Bakong. Orang Bakong juga mendiami kawasan Bekenu dan Niah. Menurut cerita lisan, orang Bakong mulai berpecah dan berpindah ke kawasan Bekenu dan Niah pada era Perang Dunia Kedua. Di Bekenu, orang Bakong lebih dikenali dengan perkataan Bahaong.

Menurut cerita lisan, orang Bakong dikatakan sebahagian daripada kaum Penan. Orang Penan tersebut asalnya tinggal di Sungai Lelak, Tinjar Baram yang kemudiannya berpindah ke ulu Sungai Laong. Nama Laong diambil daripada nama seorang ketua kaum Penan yang bertanggungjawab membawa kumpulannya berpindah dan dikenali sebagai nenek moyang orang Bakong (tupau senadiid). Kemudian, mereka berpindah ke kawasan logan Runtuk yang lebih dikenali duhun rayiik dalam dialek Bakaong. Kumpulan ini dipimpin oleh Wiir. Wiir yang terkenal dengan kekuatan fizikalnya dan mampu melompat sungai besar dan handal menyumpit serta mahir menggunakan alat seperti lembing atau tombak. Menurut cerita klasik orang Bakong, beliau telah melontar ulu lesung ke arah sepohon pokok kayu tapang dan telah menembusi batang kayu tersebut.

Sebuah lagi kumpulan yang diketuai oleh seorang ketua yang bernama Lakiik berpindah ke kawasan sungai Arang, Bakong. Lakiik dikenali dengan sikap panas barannya. Kumpulan Rakaya Jobet dan Rakaya Kajan pula berpindah ke Beluru. Kumpulan Rakaya Kajan juga yang diketuai Awang Arun mendiami kawasan sungai Entibab. Kumpulan di sungai Entibablah yang dikatakan paling ramai pengikutnya. Namun demikian, selepas kematian Rakaya Jobet, Rakaya Kajan (Awang Arun) kembali mengetuai kampung di Beluru sehingga beliau dan kebanyakan orang Bakong telah memeluk agama Islam. Oleh sebab itu, nama beliau lebih dikenali sehingga kini sebagai Awang Arun. Bekas tempat kediaman Awang Arun dikenali sebagai sungai Awang iaitu anak sungai kecil di sungai Bakong. Tarikh Awang Arun berpindah ke Beluru tidak dinyatakan sehingga menyebabkan kampung halaman mereka di sungai Entibab terbiar begitu sahaja dan tidak diketahui sehinggalah pada sekitar tahun 1987, kawasan tanah yang terbiar sekian lama itu telah dibangunkan dengan projek penanaman pokok kelapa sawit.

Sidang Editor
Kata Pengantar
Penghargaan
Latar Belakang Masyarakat Bakong
Keterhadan dan Metodologi Pengumpulan
Panduan kepada Pengguna
Singkatan

Daftar Kata: Bahasa Bakong-Bahasa Melayu

Weight0.263 kg
Dimensions18.2 × 11.4 × 1.5 cm
Format

Class

Language

,

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.