Out of stock

Dari Salina ke Langit Petang

A. SAMAD SAID (b. 1935 —) mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura dan kemudian melanjutkan pelajaran di Victoria Institution, Singapura. A. Samad Said pernah berkhidmat di Hospital Umum Singapura sebagai kerani dan kemudiannya menjadi pengarang di beberapa buah akhbar seperti Utusan Melayu, Berita Harian, New Straits Times, penolong khas kepada Pengarang Kumpulan The New Straits Times dan Pengarang Berita Harian. Beliau kemudiannya dilantik menjadi Ketua Pengarang akhbar Warta Teberau sebelum menjawat jawatan Ketua Pengembangan Sastera dalam Kumpulan Akhbar The New Straits Times. Kecenderungannya terhadap kesusasteraan sejak sekolah rendah, dan gemar membaca karya-karya besar dunia memungkinkan beliau melahirkan karya pelbagai genre seperti puisi, cerpen, novel, novel remaja dan kanak-kanak, drama, esei dan kritikan, autobiografi serta genre umum sehingga dianugerahkan Pejuang Sastera (1976), panel Anugerah Sastera (1979), Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards; 1979) Sasterawan Negara (1985), Anugerah ASEAN (Kategori Sastera) daripada Negara Brunei Darussalam (1993) dan beberapa anugerah lain. Antara novel yang dihasilkan ialah Salina (1961), Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri (1966), Sungai Mengalir Lesu (1984), Di Hadapan Pulau (1978), Adik Datang (1980), Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985), Hujan Pagi (1987) dan Cinta Fansuri (1994).

Wira Bukit (Cetakan kedua, 2008)
111 halaman

RM25.00

Out of stock

Dari Salina ke Langit Petang adalah hasil tulisan bercorak autobiografi, rakaman pengalaman A. Samad Said yang menceritakan bagaimana beliau lahir menjadi seorang pengarang serta proses penghasilan tiga novelnya yang penting, iaitu Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Langit Petang. Dengan jelas, Pak Samad dapat menghidupkan kembali suasana penciptaan tersebut, satu proses yang panjang dan perit. Novel-novelnya lahir hasil paduan dari pembacaan, pengamatan, pengalaman, pemikiran dan kekuatan daya imaginasi.

Dari Salina ke Langit Petang adalah satu-satunya buku Pak Samad yang tidak diulang cetak selama dua dekad. Sebagai sebuah autobiografi seni ia menekuni jalan awal penulis ke dunia kesusasteraan sejak dekad lima puluhan abad lalu. Hampir tidak ada yang disembunyikan di sini sehingga jika seseorang rajin dan tekun menelitinya, ia akan sekali lalu dapat menyerapi dunia seorang sasterawan yang seniman dengan segala rahsia kehidupan dan seninya.

Dalam buku kecil ini, secara tekun Pak Samad cuba menjejaki kembali tapak-tapak awal beliau meredahi dan kemudiannya melestarikan dunia kehidupan dan seni. Sejak awal seorang ibu menyuapkan nasi ke mulut anaknya dengan iringan kisah Batu Belah Batu Bertangkup membawa kemudiannya kepada anak itu sendiri mencari dan memilih pula bahan-bahan bacaannya, segalanya dirakamkan semesra mungkin dalam Dari Salina ke Langit Petang.

Banyak rahsia asas Pak Samad sebagai penulis tertumpah secara bersahaja dalam buku comel ini. Apa yang memancing beliau untuk masuk ke dunia sastera; siapa yang mempengaruhi ghairah seni beliau; buku-buku apa yang mematangkan Pak Samad secara bertingkat; apa yang dapat beliau timba daripada samudera seni dalam dan luar negara—semua ini terhimpun secara santun dalam buku yang sangat sederhana ini.

Tidak ada satu pun yang dirobah maksudnya, kandungan buku ini terhidang seperti seasal abad lalu ia ditulis. Sengaja Pak Samad lakukan ini untuk mengekalkan segala jalur fikir, lebih-lebih lagi ragam langgam bahasa, sasterawan abad lalu. Kerana pengekalan semangat itu jugalah maka akan tersualah kita beberapa kesilapan fakta kecil (antaranya, masih diperkekal nama Zuraidah dan Yazid dalam manuskrip awal Langit Petang, padahal Zuraidah telah bertukar menjadi Zakiah, sementara Yazid pula telah mengambil nama Hafiz).

Yang penting rasanya ialah jelas sekali Dari Salina ke Langit Petang terisi dengan sebanyak pengalaman dan pengetahuan penting bagi para pembaca, khususnya bagi para penulis. Selama dua puluh tahun buku ini terbengkalai secara “sia-sia”. Kini ia mendapat nafasnya kembali. Dan memang pun penulis berharap buku yang tertulis dalam abad lalu ini akan lebih bererti kepada pembaca dan penulis abad ini.

Weight0.255 kg
Dimensions22.2 × 14.2 × 1.1 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.