Dato’ Onn: Janganlah Aku Kaulupakan

SA’ADIAH HJ. IBRAHIM pernah menggunakan nama pena Suraya H.I. Dilahirkan di Batu Pahat, Johor. Karya mula tersiar pada tahun 1978. Bidang penulisan yang diceburi ialah puisi, rencana, berita, cerpen dan novel. Karya tersiar dalam majalah Salina, Berita Minggu, Berita Harian, Mingguan Malaysia, Dewan Pelajar, Dewan Sastera, Buletin Persatuan Penulis Johor, Jendela Selatan, dan lebih kurang 17 buah antologi puisi bersama terbitan Persatuan Penulis Johor, Yayasan Warisan Johor dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku-buku beliau antaranya Mendaki Gunung Harapan (DBP), Maizura (DBP), Si Cantik (Fajar bakti), Cinta Putih (DBP), Hati Perempuan (DBP) dan Sejernih Kasih Setulus Kemaafan (YWJ CITRA).

DBP (Cetakan pertama, 2016)
304 halaman

RM20.00

In stock

Product ID: 5315 Subjects: , Sub-subjects: , , , ,

Memang, telah banyak kali Dato’ Onn menyeru dan menasihati Kiai Salleh agar menghentikan cara menuntut bela yang sedemikian itu. Baginya, cara menuntut bela yang sedemikian itu tetap menyebabkan ramai orang yang tidak berdosa akan menjadi korban.

Kiai Salleh masih mempamerkan air mukanya yang tidak senang itu. Dia seolah-olah tidak pernah mendengar seruan kata-kata nasihat seperti itu. Kata-kata nasihat yang keluar dari mulut tuan pegawai daerah yang selalu didampinginya, terutama sewaktu menghadap baginda sultan dan sewaktu sama-sama memeterai janji akan setia melaksanakan amanah untuk menegakkan keamanan.

“Apa awak sudah buat, Salleh? Awak tak boleh buat macam ini. Perbuatan ini menyalahi undang-undang. Sepatutnya, awak berunding dengan saya terlebih dahulu. Saya pegawai daerah di sini. Ini awak buat pandai sendiri sahaja,” kata Dato’ Onn dengan nada tegas, sambil memegang bahu orang yang berjiwa panglima itu.

“Bintang Tiga bunuh orang yang tidak berdosa. Kita mesti balas! Kita mesti bertindak!”

“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!”

Seluruh kawasan yang berhampiran dengan tempat perhimpunan itu bergema apabila laungan membesarkan Allah itu terpacul dari mulut sekalian ramai pengikut Kiai Salleh.

Pengikut-pengikut setia Kiai Salleh terus memenuhi rumah yang kelihatannya seperti sebuah madrasah itu.

Mereka duduk bahu-membahu sambil mengira biji-biji tasbih. Kedatangan Dato’ Onn yang ditemani oleh Dato’ Abdul Rahman Musa itu seolah-olah langsung tidak mengganggu keadaan mereka yang sedang berwirid itu. Dato’ Onn melemparkan susur pandangan matanya ke dalam kumpulan manusia yang ramai di dalam dewan itu. Dengan niat yang sangat tulus, dia pun menyeru agar kumpulan orang Melayu itu membatalkan rancangan mereka yang sangat merugikan itu.

Gema suara seorang wira yang sangat mencintai bangsa Melayu itu pun melantun ke mana-mana. Sekalian orang yang ada di dalam serta di luar madrasah itu terpaku seketika. Mereka mendengar buah butir yang terluncur dari mulut pegawai daerah yang berdiri di hadapan mereka. Mereka melihat sifat sungguh-sungguh lelaki pegawai tinggi kerajaan itu.

Dengan perlahan-lahan, alur mata orang yang berkumpul itu jatuh ke wajah Kiai Salleh kemudiannya. Mereka menunggu isyarat apakah yang akan diberikan oleh orang telah memimpin mereka dalam perjuangan menuntut bela itu.

Dato’ Onn memandang tepat ke anak mata Kini Salleh. Pada alun mata lelaki gagah itu seperti terdapat sekilas gambaran ketidaksetujuan. Maka Dato’ Onn pun membuka butang baju sehingga paras dadanya yang bidang itu. Kedua-dua belah tangannya menyelak-nyelak bahagian yang sudah terbuka itu sehingga menampakkan ruang dadanya yang pipih lagi tidak berisi itu.

Kiai Salleh memandang tepat ke muka Data’ Onn. Bibirnya kelihatan bergerak-gerak. Akan tetapi, sebutir suara pun tidak berjaya dikeluarkan olehnya.

“Nah, ini dada saya!” Dato’ Onn menghulurkan dadanya kepada Kiai Salleh.

Kiai Salleh berundur setapak.

“Tikamlah saya kalau awak tak mahu dengar cakap saya. Kalau sudah bunuh saya, barulah buat apa sahaja yang awak suka. Selagi ada nyawa di badan, sebagai pegawai daerah dan wakil raja dan rakyat, saya bertanggungjawab atas apa-apa yang berlaku di daerah ini. Saya tak mahu saya nanti dipertanggungjawabkan dengan kesalahan besar seperti ini.”

“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!” Bergema suara pengikut-pengikut Kiai Salleh.

Apabila melihatkan mereka semua bangkit, Dato’ Onn diterpa oleh suatu perasaan yang sangat luar biasa. Pengikut-pengikut Penghulu Simpang Kiri itu meluru ke arah Dato’ Onn lalu semua mereka bersalaman dan mencium tangannya.

Dato’ Onn berasa sungguh terharu kerana mereka akhirnya mahu berlembut, dan mahu menerima nasihat. Mereka ingin hidup dalam keadaan aman, dan tidak menumpahkan darah. Sekali gus, mereka hendak memberhentikan serangan menuntut bela.

Serangan menuntut bela mesti dihentikan. Masyarakat Cina yang tinggal di tengah-tengah bandar ini juga mahu hidup dengan aman. Janganlah kerana mereka itu Cina, kita menyangka bahawa mereka juga pengganas komunis. janganlah kita berprasangka bahawa mereka memusuhi kita. Mereka hanya menjalankan urusan perniagaan. Jika keadaan setempat aman, kita yang hendak menjalankan urusan kita di bandar, atau di mana-mana pun ikut berasa selamat Dengan demikian, hati kita pun boleh berasa lapang dan gembira.

Weight0.271 kg
Dimensions18.5 × 11.5 × 1.5 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

5.0
Based on 1 review
5 star
100
100%
4 star
0%
3 star
0%
2 star
0%
1 star
0%
  1. NORAIDA RASHID (Verified Reader)

    (0) (0)

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.