Out of stock

Etimologi Nama Negeri di Malaysia

RAJA MASITTAH RAJA ARIFFIN adalah Profesor Madya di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Antara karya beliau termasuklah Hassan Ahmad Wira Bahasa Yang Berwibawa (2015), Bahasa dan Budaya Masyarakat Melayu di Pulau Kokos, Australia (2013), Cendekiawan Bahasa Melayu dalam Tradisi Kesarjanaan Barat (2010), Tokoh Pembinaan Bahasa Melayu Serantau 35 tahun MABBIM (2010), Istilah Kerajaan, Perundangan dan Perdagangan (2013), Petunjuk Bahasa (2005), dan Sistem Panggilan dalam Keluarga Melayu: Satu Dokumentasi (2005). Beliau turut menyumbang dalam Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu DBP, dan Ensiklopedia Umum Pelajar DBP.

CHE IBRAHIM SALLEH adalah Profesor Madya di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau mendapat B. Len. (Hons) dan Dip. Ed pada 1979, dan kemudiannya Master dalam bidang linguistik terapan, dan PhD dalam bidang tatabahasa. Beliau pernah bertugas selaku Dekan di fakulti yang sama.

NORAZLINA MOHD. KIRAM adalah pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau dilantik menjadi Ketua Jabatan mulai 2015 ditempat yang sama. Beliau berkelulusan Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Melayu Bahasa Pertama) daripada UPM. Kemudian mendapat Master (Linguistik), dan Ph.D dalam bidang sosiolinguistik daripada Universiti Malaya.

HASNAH MOHAMAD adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Linguistik Terapan (Leksikografi dan terminografi). Sebelum bertugas di UPM, beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, dan pernah dipinjamkan ke Hankuk University of Foreign Studies (2011-2012) untuk mengajar bahasa Melayu kepada penutur asing di Korea. Kajian beliau banyak tertumpu kepada bidang leksikografi (penyusunan kamus), terminologi dan terminografi (peristilahan dan penyusunan kamus istilah), dan semantik leksikal. Beliau sering menulis dalam jurnal bahasa, bab dalam buku serta makalah lain, serta buku-buku terjemahan karya teknikal ke dalam bahasa Melayu.

Penerbit UPM (Cetakan Kedua 2018)
171 halaman

RM40.00

Out of stock

Etimologi Nama Negeri di Malaysia cuba merungkai persoalan asal-usul negeri di Malaysia mendapat namanya masing-masing yang digunapakai sehingga sekarang. Etimologi atau asal usul nama sesuatu negeri merupakan suatu kajian yang menarik, informatif dan memberikan kepuasan kepada pengkaji dan pembaca, demikian juga halnya dengan penerokaan terhadap asal usul nama negeri di Semenanjung Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Dalam penulisan Etimologi Nama Negeri di Malaysia, antara kesukaran utama yang dihadapi ialah memperoleh aspek semantik dan ketidakwajaran aspek fonologi, etnografi serta kebolehpercayaan sejarah yang dikemukakan untuk membuat kesimpulan dan rumusan.

Etimologi Nama Negeri di Malaysia mengandungi 18 bab. Bab 1 memuatkan konsep dan definisi etimologi sebagai satu hipotesis popular yang telah diberikan takrifan oleh sarjana-sarjana dalam bidang ini. Istilah etimologi rakyat sebenarnya telah wujud dalam masyarakat bahasa sejak dahulu lagi, yang bertujuan untuk menjelaskan asal usul kata, walaupun penjelasan tersebut tidak didasarkan kepada penyelidikan yang sistematik, dan hal ini menyebabkan hasilnya atau kenyataan yang dibuat kurang diyakini dan dipercayai ramai. Namun, setiap etimologi warisan yang dikemukakan responden mungkin ada logiknya, tetapi mungkin ada juga kekurangannya atau tidak cukup tepat rumusan yang dibuat jika tidak mencapai atau menepati kriteria tertentu. Bukan mudah untuk mencapai ketetapan tentang asal usul atau turunan nama negeri atau tempat yang dikaji.

Bab 2 menjelaskan asal usul nama negeri Johor. Pelbagai etimologi warisan dikemukakan. Tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh Arab terhadap penamaan negeri Johor amat jelas apabila nama Johor terbentuk daripada perkataan Arab “Jauhar” (جوهر) yang bermaksud “permata berharga”, di samping terdapat hipotesis lain yang ternyata kurang tepat kerana ceritanya seoalah-olah direka. tetapi bukan pula sesuatu yang dongeng. Walaupun tidak banyak orang yang mengetahui cerita rakyat tentang negeri Johor, tetapi sudah ada terakam dalam Sejarah Melayu, dan hal ini bermakna asal usul nama negeri Johor bukanlah rekaan semata-mata.

Bab 3 menjelaskan etimologi negeri Kedah, iaitu berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa yang digunakan sebagai bahan rujukan sejarawan tentang sejarah awal Kedah, walaupun cerita warisannya banyak bercampur baur yang terkeluar daripada fakta sejarah. Buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah juga meneliti perjalanan sejarah negeri Kedah, khususnya salasilah Kesultanan Kedah dari abad ke-13 hingga ke hari ini. Pelbagai etimologi warisan tentang kerajaan Kedah Tua dibincangkan sebagai sebuah negeri, malah negara dan empayar berdaulat yang melindungi dan memayungi agama Islam di kawasan Nusantara. Penamaan negeri Kedah banyak dipengaruhi unsur Cina, Siam, Sanskrit, Hindi, Tamil, Arab, Parsi dan Portugis dengan pelbagai sebutan dan ejaan.

Bab 4 menerangkan pembentukan nama asal negeri Kelantan yang dipercayai daripada perkataan Melayu, iaitu kilatan, gelam hutan atau “Kelang-tang”. Pelbagai cerita rakyat yang dikemukakan itu mendapat bantahan daripada sesetengah sejarawan kerana walaupun pada suatu ketika dahulu, Kelantan dipenuhi hutan rimba, terutama hutan kayu gelam (gelam hutan) di sebelah daratan Tumpat, tetapi tiada dalil kuat yang menjadikan nama Kelantan. Ceritera tentang hal ini juga tidak diturunkan daripada orang tua-tua dahulu kala kepada generasinya. Penggunaan perkataan “Kelang-tang” yang menjadi cerita lisan orang tua-tua Melayu Patani yang kerap berulang-alik ke Terengganu itu mungkin dapat diterima akal memandangkan penutur dialek Kelantan sukar menyebut perkataan yang mempunyai fonem /ᶇ/. Antara fakta yang menguatkan alasan ini ialah pemberian nama daerah dan beberapa buah kampung di persisiran pantai timur Kelantan disebut dalam bahasa Siam, seperti “Bang chok” (Bachok – jajahan Bacok), “Bang ngu” (Banggu – jajahan Banggu). dan Bang kelang (Bakelam), yang semuanya berasal daripada bahasa Siam. Asal nama Kelantan ini agak meyakinkan kerana pada akhir abad ke-II (1023 Masihi) tercatat nama negeri Kelantan sebagai sebutan dalam kalangan orang Cina, iaitu negeri “Tan-tan”, dan nama Kelantan juga tertulis di atas wang dinar pada 1181 Masihi (577 Hijrah). Bagaimanapun dari aspek linguistik, pembentukan kata Kelantan berlaku melalui proses sisipan-el seperti yang dijelaskan dalam bab ini.

Dalam Bab 5 termuat asal usul nama negeri Melaka yang tercatat dalam sejarah sebagai sebuah negeri yang termasyhur dan bersejarah di Nusantara dan Asia Tenggara. Walaupun negeri Melaka dikatakan berasal daripada nama pokok Melaka, tetapi perlu juga diteliti asal usul perkataan Melaka itu sendiri. Negeri Melaka dipercayai berasal daripada perkataan Arab, iaitu “malqa” (ملقي) atau “Multaqa” (ملتقي) yang bererti “tempat pertemuan segala pedagang atau disebut “malaqqa” yang bererti ‘pasar’ atau ‘tempat berniaga’.” Pembentukan perkataan ini dipercayai asal nama Melaka. Di samping itu, terdapat juga etimologi warisan yang lain seperti yang dihuraikan dalam bab ini.

Bab 6 menghuraikan etimologi nama negeri Pahang dengan berdasarkan pelbagai cerita warisan yang dikemukakan, baik dalam kalangan orang Siam-Asli, orang Cina, pedagang Arab, orang asli yang tinggal di Bebar dan juga anak Melayu Pahang sendiri. Masing-masing mempunyai cerita yang tersendiri, namun antara ceritera tersebut ada persamaannya, walaupun daripada versi yang berbeza-beza. Bagaimanapun dipercayai bahawa nama negeri Pahang berasal daripada nama tumbuh-tumbuhan, iaitu pokok mahang ataupun keladi kemahang. Dari sudut linguistik, perkataan mahang dan pahang mempunyai kesejajaran atau kesepadanan bunyi. Kesepadanan bunyi [m] dalam bahasa Melayu yang dituturkan oleh orang asli Pahang dengan bunyi [p] dalam dialek Melayu Pahang dapat menghasilkan rumus kesepadanan bunyi, mahang [m] > pahang [p].

Pembentukan nama negeri Perak yang termuat dalam Bab 7 memperlihatkan pelbagai pendapat dan cerita warisan. Namun. penamaan negeri Perak dipercayai mempunyai kaitannya dengan cerita putera Raja Marang Mahapudisat yang mengembara untuk membuka sebuah negeri baharu, seperti yang terakam dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Peristiwa yang dijelaskan dalam bab ini didapati lebih munasabah dan diterima akal berdasarkan kelaziman pola pembukaan sesebuah negeri oleh sultan dalam historiografi Melayu.

Walaupun negeri Perlis merupakan negeri yang terkecil di Semenanjung, tetapi banyak peristiwa etimologi nama negeri Perlig diperkatakan. Dalam Bab 8, dijelaskan dengan terperinci segala pandangan dan etimologi warisan, baik dalam bentuk lisan mahupun tulisan yang dihasilkan oleh sejarawan tempatan. Semua etimologi warisan yang diperkatakan itu, ada yang tidak munasabah kerana pada kelazimannya orang dahulu kala lebih gemar menamakan sesuatu itu berdasarkan nama tokoh atau ‘orang besar-besar’. Oleh sebab itu, kebanyakan etimologi yang dikemukakan itu tidak dapat diterima kerana tidak ada bukti kukuh dan alasan yang konkrit serta rasional.

Bab 9 menghuraikan asal usul nama Pulau Pinang, yang jelasnya berasal daripada pokok pinang yang banyak ditanam untuk menghasilkan buah pinang sebagai barang dagangan yang penting antara Inggeris dengan China. Asal usul nama Pulau Pinang tidak melibatkan etimologi warisan seperti kebanyakan penamaan negeri-negeri lain di Malaysia.

Bab 10 menjelaskan etimologi nama negeri Sabah, yang wujud dalam tiga bentuk ejaan, iaitu Sabak atau Saba’, Sabah dan Saba, sebagai sebutan pelbagai penutur daripada pelbagai komuniti asal di Sabah, seperti Bajau, Bajau Sulu, Suluk, Melayu-Brunei, Kedayan, orang Dusun Brunei, Bisayah, dan lain-lain. Walaupun dari segi fonologinya menunjukkan persamaan, tetapi tidak semestinya mempunyai makna yang sama. Sabah ialah nama negeri Borneo Utara dalam Persekutuan Malaysia, manakala ‘saba’ merupakan istilah daripada Melayu Brunei yang bermaksud hilir sungai. Kesimpulannya, perkataan Sabah dan Saba merupakan kasus polisemi, yang pertamanya perlu mengemukakan aspek semantik dan interpretasi sejarah yang menunjukkan bagaimana makna kedua-duanya berkaitan. Hal ini menunjukkan bahawa ‘frasa nama tak pasti itu’ berkembang menjadi nama khas, iaitu Sabah.

Bab 11 mengandungi huraian tentang etimologi nama negeri Sarawak yang diturunkan daripada generasi lama kepada generasi yang baharu: Wujudnya nama Sarawak berasal daripada ungkapan “serah awak” dalam peristiwa penyerahan wilayah itu kepada Brooke oleh Sultan Brunei, Namun, Brooke masih tidak berpuas hati dan sentiasa mendesak untul mendapatkan tanah daripada Kerajaan Brunei, dan pada tahun 1890, beliau berjaya memperoleh keseluruhan wilayah yang kini dikenal sebagai Sarawak. Penamaan nama negeri Sarawak dikaitkan juga dengan perkataan “serak” yang merujuk kepada antimoni, iaitu sejenis bahan galian yang bernilai tinggi. Sejauh mana kebenaran dan kesahihan asal nama negeri Sarawak ini masih menjadi tanda tanya.

Etimologi warisan tentang negeri Selangor termuat dalam Bab 12 yang dikaitkan dengan nama serangga langau, nama pokok mentangau, dan juga akronim daripada dua perkataan “selang dan jemur”. Bagaimanapun, etimologi warisan yang diceritakan itu hanya dianggap sebagai cerita dongeng sejarah kerana sehingga kini masih belum lagi dikenal pasti kebenarannya.

Bab 13 menjelaskan etimologi nama Negeri Sembilan yang langsung tidak melibatkan etimologi warisan, tetapi pembentukannya jelas berasaskan sembilan buah kawasan yang telah dikenal pasti oleh orang Minangkabau yang datang berhijrah dari seberang, iaitu Sumatera untuk membentuk negeri yang sembilan, yang kemudian menjadi Negeri Sembilan.

Bab 14 membicarakan etimologi nama negeri Terengganu yang juga terikat dengan etimologi warisan yang terbit daripada cerita lisan orang tuatua yang disampaikan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya, Dalam tempoh yang panjang, apabila diterima oleh generasi baharu, pelbagai persepsi timbul, dan lazimnya berlaku beberapa perubahan, baik dari sudut bunyi, sebutan, ejaan dan lain-lain, sama seperti yang berlaku dalam penamaan negeri-negeri lain di Malaysia. Bagaimanapun, kesahihan etimologi tersebut masih dipertikaikan kerana masih belum lagi memperoleh bukti-bukti yang utuh dan konkrit.

Bab 15, 16 dan 17 membincangkan etimologi nama tiga Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Bab 15 membicarakan etimologi nama Kuala Lumpur yang berasaskan keadaan Sungai Kelang dan Sungai Gombak yang berlumpur. Perkataan “kuala” bermaksud titik pertemuan antara Sungai Gombak dengan Sungai Kelang, yang mewujudkan nama Kuala Lumpur, dan petempatan baharu ini dibuka pada tahun 1857. Etimologi Labuan yang termuat dalam Bab 16 dikatakan tidak melibatkan etimologi rakyat. Penelitian ilmiah yang dibuat memperlihatkan bahawa etimologi nama Labuan adalah jelas dan nyata tidak melibatkan sebarang unsur mitologi atau cerita lisan rakyat. Etimologinya tidak dapat dipisahkan daripada sejarah, dan kata Labuan bukan sahaja dikaitkan dengan semantik malah morfologinya juga. Bab 17 pula memuatkan etimologi nama Putrajaya yang dipilih daripada nama yang terbaik, iaitu bersempena dengan nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, dan berjaya dibangunkan sebagai sebuah bandar pintar dan menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Bab 18 merupakan bahagian epilog sebagai bab terakhir dalam buku ini. Bab ini mengulas pelbagai hipotesis tentang asal usul nama negeri negeri di Malaysia berdasarkan bahan-bahan rujukan dalam bentuk ensiklopedia dan naskhah, serta karya oleh penulis-penulis Cina, Syair Nagarakertagama, Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa. tulisan penulis dari Barat, karya orang Arab dan Parsi, serta maklumat yang diperoleh melalui temu bual dengan tokoh-tokoh sejarah tempatan. Namun, semua hipotesis tersebut masih belum dapat lagi ditetapkan kesahihan cerita atau etimologi yang dapat dijadikan pegangan. Pelbagai hipotesis dan andaian tentang asal usul nama negeri-negeri ini, ada yang menunjukkan kerasionalannya untuk dipercayai tetapi tidak kurang pula yang hanya merupakan cerita lisan yang diturunkan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya yang tidak pasti kebenaran cerita tersebut.

Bagaimanapun, melalui Etimologi Nama Negeri di Malaysia, sudah ada satu dokumentasi tentang etimologi atau asal usul nama negeri di Malaysia diusahakan, dan semoga pendokumentasian ini dapat dijadikan korpus kajian etimologi khazanah negara.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.340 kg
Dimensions 16.5 × 1 × 24 cm
Edition

Format

ISBN

9789673445974

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Etimologi Nama Negeri di Malaysia”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.