Falsafah, Matematik dan Puisi

ABDUL LATIF SAMIAN adalah Profesor di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia,

DBP (Edisi Kedua, 2019)
269 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM26.00

In stock

Falsafah, Matematik dan Puisi membincangkan beberapa perkara yang mendasari falsafah matematik ketika ini. Selain membincangkan falsafah matematik Barat semasa, falsafah matematik seperti yang dianuti sebahagian sarjana silam seperti al-Biruni dan Newton, iaitu matematik sebagai sebahagian falsafah abadi dibincangkan juga.

Falsafah adalah intisari puisi, sementara matematik pula ialah bahasa kreativiti yang berlandaskan masa dan ruang, aritmetik dan geometri, detik serta titik. Oleh sebab falsafah sewajarnya bertunjangkan kebenaran, maka dalam puisi boleh didapati hikmah. Buku ini membicarakan hakikat falsafah, sedikit ungkapan puisi yang berkaitan, dan hakikat matematik, khususnya dari perspektif perkembangan asas pemikirannya dalam menangani masalah kerana hidup kita setiap hari sentiasa berhadapan dengan pelbagai masalah. Bahkan kedudukan kita di dunia dipengaruhi oleh tahap masalah yang kita tangani; lagi besar masalahnya lagi besarlah sumbangan kita kepada pembangunan masyarakat.

Dari perspektif agama Islam pula, sungguhpun bukan semua masalah agama ialah masalah matematik, semua masalah matematik ialah masalah keagamaan. Oleh yang demikian, menyelesaikan masalah matematik juga sebahagian daripada ibadah, khususnya untuk mencipta segala macam kemudahan dan penyelesaian yang meningkatkan kualiti kehidupan. Kandungan buku ini boleh meningkatkan kesedaran dan kefahaman kita tentang betapa pentingnya mendalami ilmu matematik untuk menyelesaikan masalah dan memperoleh kebahagiaan hidup yang seimbang dan menyeluruh.

Konsep-konsep tertentu dalam matematik seperti kesatuan, ketakterhinggaan dan nombor mempunyai dimensi kerohanian yang mendalam. Konsep-konsep ini ada dibincangkan dengan lebih lanjut dalam Bab 7 dan Bab 8. Dalam bab yang terakhir pula, penulis menunjukkan hubungan antara falsafah matematik dengan pendidikan matematik. Penulis juga cuba menggariskan falsafah matematik menurut pendapat beliau, supaya martabat matematik dapat dipertingkatkan lagi dan masyarakat lebih menghargai ilmu istimewa ini.

Penerangan nilai-nilai murni atau mulia dapat dilakukan melalui matematik. Penerapan ini lebih lagi jika dilakukan bersandarkan falsafah matematik yang dinamis dan humanistik sifatnya. Tidak mungkin kita dapat menerapkan nilai-nilai murni atau mulia dengan berkesan jika kita mempunyai gambaran yang salah tentang matematik, iaitu ilmu matematik tidak lain daripada ilmu kuantitatif yang kekeringan makna dan erti kehidupan.

Edisi Kedua Falsafah, Matematik dan Puisi merupakan satu eksperimen untuk menyatupadukan antara ilmu falsafah, matematik dan puisi. Pada penghujung setiap bab, termasuk pendahuluan, diiringi puisi-puisi yang mempunyai hubungan yang niskala (abstrak) sifatnya dengan kandungan bab tersebut yang hujung seni katanya seperti syair, irama bacaan empat rangkapnya seperti pantun, maka genre puisi ini penulis namakan sebagai “syatun”, yang sudah pasti hasil kreativiti ini sedikit sebanyak mengayakan lagi sastera Melayu.

Inti sari kepada falsafah adalah hikmah. Ukay bin Kaab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Dalam puisi terdapat hikmah” (Bukhari).

Semoga dengan membaca setiap bab buku ini dan merenungkan makna esoterik puisi yang mengiringi bab eksoterik yang berkaitan akan memberikan makna yang lebih mendalam kepada setiap pembaca tentang kesepaduan istimewa antara falsafah, matematik dan puisi.

Weight0.154 kg
Dimensions21.4 × 13.8 × 1.5 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

5.0
Based on 1 review
5 star
100
100%
4 star
0%
3 star
0%
2 star
0%
1 star
0%
  1. MUHAMMAD AMIN NASRIN A. (Verified Reader)

    (0) (0)

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.