Hang Tuah di Lautan Ceritera

MUHAMMAD HAJI SALLEH adalah penulis Malaysia yang telah dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara 1991. Beliau juga telah memenangi Anugerah Penulis S.E.A. pada tahun 1997.

Penerbit USM (Cetakan Pertama, 2021)
158 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM35.00

In stock

Hang Tuah di Lautan Ceritera membawa pembaca ke beberapa lokasi termasuk Sungai Duyung, Singkep dan Sungai Nuyung di Bentan, Melaka dan Palembang dalam suatu perjalanan panjang sastera dan wira Melayu. Dalam sastera Melayu, tiada sebuah hikayat pun yang cuba atau berjaya melukia jiwa bangaa Melayu secara menyeluruh seperti Hikayat Hang Tuah. Jiwa ini terbelah, terseksa dan dirundung perbalahan yang tidak pernah selesai. Nilai-nilai dipertentangkan—di antara kesetiaan tanpa soalan dan perlawanan yang ingin menyatakan bantahan terhadap raja yang zalim.

Kisah ini berulang dalam psike dan kesedaran orang Melayu. Tersentuh juga dilema jati diri dan persoalan apakah nilai Melayu sebenar. Setelah beberapa lama mengkaji hikayat ini dan memerhati bangsa yang diceritakannya, maka pada saya, yang benar terletak di antara kedua-duanya, yang mungkin dapat dikutip daripada kata-kata wacana dan perbincangan.

Ada banyak hal yang baharu dalam karya ini. Selain watak yang tidak formulaik, kita juga bertemu Tun Teja yang cantik, kesan ubat guna-guna, cara berasmara dalam kalangan bangsawan dan sebagainya. Bahasa Hikayat Hang Tuah tidak banyak yang luar biasa, dan tertanam dalam formula bahasa hikayat. Namun begitu, pemerian adegan asmara Hang Tuah dengan Tun Teja sangat asli dan kreatif. Ada perasaan pengarang yang terjalin di dalamnya, serta perkembangan yang meyakinkan. Pada pasca puncak pertikaman dan lukanya Hang Jebat, kita saksikan suatu adegan yang paling menyayat dalam sastera Melayu. Setelah membunuh ribuan mereka yang mengganggunya di bawah lantai istana dengan menikam di celah-celah papan, dia ke rumah Hang Tuah, diberikan nasi, dibuka balut lukanya dan meninggal di atas pangkuan kawan musuhnya. Di akhirnya, semua perseteruan terlerai.

Hikayat Hang Tuah membuat semua pembacanya berfikir; cerita dan persoalannya mengikut kita pulang, melalui riwayat hidup mereka dan hidup sejarah bangsa Melayu. Tidak pernah ada yang terselesai—inilah roda takdir bangsa. Zaman beralih, dan pada suatu waktu, melalui gerakan kiri, Hang Jebat diangkat sebagai pejuang hak dan maruah. Sekarang, apabila negara tidak diwajibkan membaca hikayat ini, maka nilai-nilai perlawanan menjadi semakin lemah dan orang Melayu kembali menurut nilai feudalnya—tanpa banyak soal atau penentangan.

Penulis membaca Hikayat Hang Tuah kerana di sana ada jati diri. Dan daripada baris, dialog dan pemeriannya saya mengutip lukis nilai-nilai pusatnya, makna penentangan, dan akhir sekali wajah lama dan baharu Hang Tuah dan Hang Jebat dalam hayat lisannya. Di sini, Hang Tuah hidup lebih lama, lebih dramatik dan lebih liar—dalam imaginasi pembaca Melayu. Dan sering pula cerita ini hidup dalam khayalan dan jauh daripada maklumat dalam hikayat asalnya. Tetapi itulah Hang Tuah lisan, yang tidak menurun kewujudan atau lakonannya.

Hang Tuah ialah manusia antarabangsa, pandai bertutur berbagai-bagai bahasa dan mengenali banyak budaya lainnya. Dia juga manusia yang sangat sopan dan pandai dalam hubungan diplomasi—seorang yang mewakili Melaka secara sempurna, dalam semua hal.

Untuk mencari wira budaya yang ikonik ini, penulis juga mencari Hang Tuah di antara orang Sekanak di desa kecil, Sungai Duyung, di Pulau Singkep, yang dipercayai sebagai tempat lahir Hang Tuah. Penulis mencarinya di Bentan dan pastinya di Melaka. Penulis mencarinya di Gunung Ledang dan di Palembang. Tiada bukti bahawa dia berbangsa Cina; dia berasal daripada suku Orang Laut Riau. ‘Hang’ ialah gelaran purba yang sudah tidak digunakan lagi melainkan di Lawas.

Dari segi konsep watak dan jiwa Melayu, hikayat ini ialah sebuah karya seorang (atau beberapa orang) genius. Jarang ada karya yang menawarkan wira yang boleh juga berubah menjadi watak yang tidak memperjuangkan bangsanya.

Bahasa karya ini tidak seluar biasa wataknya, dunia tempat dia beraksi. Tetapi beberapa pemerian membawa kita kepada adegan yang jarang kita temukan dalam sastera Melayu. Banyak formula yang digunakan untuk karya kreatif Melayu yang paling panjang ini. Inilah epik Nusantara yang cukup asli dan sangat menawan pembaca atau pendengarnya.

Yang pasti dan paling nyata ialah hakikat bahawa dalam hikayat in1, pembaca akan bertemu dengannya dalam bentuk dan segi yang lebih pelbagai. Tetapi, sewaktu menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris, penulis terserempak bukan sahaja jiwa wira ini, tetapi takdir dan kemurungan seorang hamba, tugas dan sahabat, dan kebebasan yang lebih bermakna sewaktu di luar negara apabila mewakili sultannya dan Melaka. Di sana dia kembali kepada dirinya sendiri, yang penuh dan bertanggungjawab kepada peribadinya itu, tetapi juga kepada negerinya.

Prakata

Hang Tuah dalam Hayat Lisan di Air dan Darat

Mencari Hang Tuah: Perjalanan dari Dabo ke Kampung Hang Tuah

Mendialog Wira: Hujah di Sebalik Kata

Hang Tuah dalam Jiwa Bangsa yang Retak

Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu)

Manuskrip Hikayat Hang Tuah di Perpustakaan Negara Malaysia

Bertemasya di Ruang Wira: Hang Tuah Merungkai Sempadan

Hang Tuah Bercakap Oghang Puteh: Terjemahan dan Penjelmaan Hang Tuah dalam Bahasa Eropah

Penutup

Bibliografi
Indeks

Weight0.29 kg
Dimensions24 × 16.5 × 0.9 cm
Author(s)

Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.

More from this Author