Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail

AZHAR WAHID adalah Profesor Madya di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

DBP (Cetakan Pertama, 2022)
294 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM32.00

In stock

Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail membawa pembaca menelusuri pemikiran sosok wartawan besar itu menerusi pendekatan teori strukturalisme genetik dan teori hegemoni bagi memahami jati diri A. Samad Ismail sebagai pengarang yang memiliki idealisme tertentu yang terpancar melalui mata pena dalam dunia sastera. Terdapat keperluan untuk meneliti pandangan dunia kepengarangan tentang idealisme pembangunan negara dan bangsa mengikut zaman seperti terkandung dalam karya-karya A. Samad Ismail bagi perbincangan ini, terutama novel-novel beliau yang dihasilkan pada tahun 1960-an dan 1970-an berasaskan Teori Strukturalisme Genetik dan Teori Hegemoni. Antara novel-novel beliau yang dibincangkan secara tekstualiti ialah Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Hud (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967), Orang Jauh (1967), Menduga Lautan Dalam (1968), Menimba yang Jernih (1968), Detik-detik Cemas (1969), Orang Lama (1969), Hussein Zet (1970) dan Sutinah (1975). Rasionalnya terhadap pemilihan 11 buah novel yang dihasilkan oleh A. Samad Ismail adalah menepati dengan prinsip Teori Strukturalisme Genetik oleh Lucien Goldmann yang menyatakan bahawa teks karya sastera merupakan bahagian daripada keseluruhan yang lebih besar dan membuatnya menjadi struktur bermakna. Dalam pengertian ini, untuk melihat sesuatu gagasan, pemikiran atau pandangan dunia pengarang, harus melihat pemahaman mengenai teks sastera sebagai keseluruhannya dengan usaha memperjelaskan makna yang lebih luas.

Sehubungan itu, terdapat tiga persoalan penting yang menjadi akar tunjang bagi perbincangan dalam penulisan Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail. Pertama, tentang konflik kelas dalam kelompok masyarakat Melayu. Dalam keadaan di mana satu-satu masyarakat sedang mengalami proses perubahan dan peralihan daripada satu sistem lama kepada satu sistem baharu menyebabkan berlakunya konflik dalam kehidupan manusia dan seterusnya membawa kepada tekanan perubahan politik, ekonomi, sosial dan budaya. Konflik penghidupan orang Melayu terhadap penjajahan, pertentangan golongan tua dan golongan muda, konflik rakyat dan pemimpin telah digambarkan secara realistik dalam beberapa bual novel A. Samad Ismail, antaranya Tembok Tidak Tinggi, Patah Sayap Terbang Jua, Kail Panjang Sejengkal, Menduga Lautan Dalam, Menimba yang Jernih, dan Detik-detik Cemas.

Kedua, memperlihatkan intelektualisme bangsa Melayu yang merupakan pelengkap kepada pandangan dunia (worldview) pengarang berasaskan Teori Strukturalisme Genetik-Hegemoni dan dapat mencerminkan sosiobudaya masyarakat Melayu. Dalam hal ini, golongan intelektual seperti akademik dan wartawan dalam novel-novel A. Samad Ismail, terutamanya Tembok Tidak Tinggi, Patah Sayap Terbang Jua dan Kail Panjang Sejengkal cuba menterjemahkan isu-isu kompleks dalam bahasa harian, malah memberikan ataupun mengabsahkan bentuk tindakan yang akan dibuat. Terdapat juga pengaruh terhadap dominasi dalam masyarakat termasuklah daripada pihak industri, kelas menengah dan golongan elit. Kelompok begitu bersama-sama mengukuhkan ideologi hegemoni yang dimasukkan unsur nasional dan kebiasaannya untuk menarik minat dan mempengaruhi kelas menengah.

Seterusnya persoalan ketiga yang menjadi teras perbincangan dalam penulisan ini adalah tentang pandangan dunia masyarakat Melayu yang berkaitan dengan kemerdekaan, etika kewartawanan, kepentingan bahasa Melayu dan perubahan nilai budaya. Sebagai suatu kesedaran kolektif, Goldmann menegaskan bahawa pandangan dunia berkembang sebagai hasil daripada situasi sosial dan ekonomi yang dihadapi oleh subjek kolektif yang memilikinya. Kesedaran kolektif terdiri daripada para pemimpin Melayu termasuk golongan ulama, guru dan wartawan Melayu yang umumnya berusaha untuk menyedarkan orang Melayu dalam perjuangan kemerdekaan tanah air. A. Samad Ismail beranggapan adalah wajar sebagai satu bangsa yang merdeka dan berdaulat tentunya mempunyai pandangan dunia yang lebih besar untuk memperkuat pusaka budaya bangsa sendiri. Sekiranya bangsa Melayu tidak memupuk dan membangunkan satu identiti kebudayaan sendiri, maka hal ini akan menjejaskan perkembangan kerohanian dan intelektual bangsa pada masa hadapan.

Kata Pengantar
Pengenalan

1. Pengenalan Tekstualiti Idealisme Pengarang
2. Latar Sosial dan Ketokohan Kepengarangan A. Samad Ismail
3. Teori Strukturalisme Genetik — Hegemoni
4. Konflik Kelas dalam Kelompok Masyarakat
5. Intelektualisme Bangsa Melayu
6. Pandangan Dunia Masyarakat Melayu
7. A. Samad Ismail sebagai Tokoh Wartawan dan Sastera

Bibliografi
Indeks

Weight0.361 kg
Dimensions21.5 × 14 × 1.5 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.