Hegemoni UMNO: Pembangunan dan Keruntuhannya Menurut Teori Kitaran Ibnu Khaldun

FIRDAUS ZAINAL berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Sains Politik) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah berkhidmat di 92 Anggota Tentera Cawangan Khas, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan selama lapan tahun sebelum beralih profesion sebagai Senior Executive di sebuah syarikat swasta.

SIRD (Cetakan Pertama, 2021)
127 halaman termasuk Bibliografi

RM30.00

In stock

Hegemoni UMNO: Pembangunan dan Keruntuhannya Menurut Teori Kitaran Ibnu Khaldun menggalur sejarah pembangunan dan keruntuhan sebuah parti politik tertua di Malaysia yang memerintah lebih daripada 60 tahun. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun 2018, UMNO buat pertama kalinya tewas. Kekalahan UMNO ini telah mengejutkan ramai penganalisis politik dan rakyat Malaysia khasnya. Ini kerana semenjak UMNO ditubuhkan pada tahun 1946, UMNO telah berjaya mengekalkan dominasi dan hegemoni parti merentasi enam dekad dan mencorak masa hadapan Malaysia. Sehingga kini, parti ini masih bergelut dengan perpecahan dalaman dan gagal mencari jalan keluar kepada permasalahan mereka bagi kembali memegang tampuk kuasa. Ibnu Khaldun dikenali sebagai seorang sarjana Islam agung yang banyak memberikan sumbangan besar kepada dunia. Beliau diangkat sebagai Bapa Sosiologi di kalangan sarjana Barat kontemporari atas sumbangannya mempelopori disiplin ilmu sosiologi, perundangan, sains politik dan lain-lain. Namanya dikenali melalui karya besar beliau iaitu Muqaddimah. Di dalam kitab ini, beliau membahaskan tentang jatuh bangun sesebuah peradaban, kepimpinan, hukum alam semula jadi dan persekitaran kehidupan manusia dari peringkat awal sehingga keruntuhannya.

Menerusi Muqaddimah, Ibnu Khaldun memperincikan bagaimana sesebuah dinasti atau kerajaan akan muncul dan sifat-sifatnya. Kepentingan Asabiyyah menurut beliau merupakan elemen penting dalam sesebuah pembangunan dinasti dan perlu difahami oleh setiap pemimpin. Beliau membahagikan jatuh bangun sesebuah dinasti, empayar, atau kerajaan itu kepada lima peringkat iaitu tahap pembangunan, pemusatan kuasa, perkembangan dan perluasan kuasa, tenang dan akhirnya jatuh. Ibnu Khaldun menggambarkan sifat sebenar sesebuah dinasti itu adalah seperti seorang manusia bermula dari kelahiran, dewasa dan mati. Nasionalisme Melayu telah wujud beberapa ratus tahun dahulu. Namun, sistem pentadbiran British di Tanah Melayu menjadikan mereka berpecah-pecah dan tidak bersatu. Selama beberapa dekad, perjuangan bangsa Melayu membebaskan bumi Malaya daripada penjajahan British masih menemui kegagalan. Asabiyyah yang disebut Ibnu Khaldun sebagai elemen paling penting untuk membangunkan sesebuah peradaban masih gagal dicapai oleh orang Melayu pada ketika itu. Faktor keselesaan, kesedaran politik yang rendah dan nasionalisme yang terpecah-pecah antara faktor kegagalan mereka mencapai Asabiyyah.

Kemuncak kepada perjuangan mereka untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan ialah apabila British memperkenalkan Malayan Union. Malayan Union dianggap sebagai menghakis kuasa raja-raja Melayu dan hak serta keistimewaan kaum Melayu. Kesedaran itu timbul melalui kesepakatan parti-parti kecil Melayu dalam satu persidangan yang seterusnya merintis jalan kepada penubuhan UMNO. UMNO merupakan parti yang lahir daripada nasionalisme Melayu dan lahir dari semangat menentang Malayan Union, UMNO juga memainkan peranan yang besar dalam mendapatkan kemerdekaan negara daripada British. Nasionalisme yang terpecah-pecah berjaya disatukan dan seterusnya membentuk Asabiyyah yang kuat. Selepas berjaya. menundukkan Malayan Union, parti itu terus mengorak langkah dan membentuk kesepakatan menuntut kemerdekaan negara. Kejayaan ini seterusnya melayakkan UMNO memerintah negara selama beberapa dekad melepasi setiap fasa dalam Teori Kitaran Ibnu Khaldun. UMNO berjaya mencipta kegemilangannya di era pentadbiran Mahathir Mohamad namun akhirnya tumbang pada PRU14 pada tahun 2018 di bawah pentadbiran Najib Razak. Kekalahan UMNO pada PRU14 mengejutkan ramai pihak dan memberi persoalan apakah parti itu mampu bangkit semula pada pilihan raya akan datang. Dengan melihat kepada perincian Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah, ia dilihat sebagai sesuatu yang mustahil dan kebangkitan semula parti itu perlu dilihat kepada kekuatan Asabiyyah.

Ulasan
Pengenalan

1. Ibnu Khaldun & Muqaddimah
2. Neo Feudal dan Hegemoni UMNO
3. Fasa Pertama-Pembinaan (The Foundation)
4. Fasa Kedua-Pengukuhan Kuasa (The Personalisation of Power)
5. Fasa Ketiga-Perkembangan dan Perluasan (The Growth and Expansion)
6. Fasa Keempat-Tenang (The Stagnation)
7. Fasa Kelima-Kejatuhan dan Kemusnahan (The Decline and Dissolution)

Penutup
Bibliografi

Weight0.4 kg
Dimensions22.8 × 15.2 × 0.8 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

5.0
Based on 1 review
5 star
100
100%
4 star
0%
3 star
0%
2 star
0%
1 star
0%
Showing 1 of 1 review (5 star). See all 1 review
  1. Tengku Ibrahim Tengku Feissal (Verified Reader)

    mySelangor, Malaysia

    (0) (0)

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.

More from this Author