Hikayat Hang Tuah

KASSIM AHMAD merupakan sarjana Melayu yang pertama melakukan kajian teks Hikayat Hang Tuah secara ilmiah. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Sastera (M.A.) dari Universiti Malaya pada tahun 1961. Dari tahun 1962 hingga tahun 1966 beliau menjadi Pensyarah Bahasa Melayu di School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London. Pada tahun 1985 beliau dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dengan pengenalan tambahan oleh NORIAH MOHAMED

DBP (Cetakan Kedua, 2017)
585 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

RM50.00

In stock

Tidak seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah tidak banyak menarik perhatian para sarjana. Beberapa orang sarjana Eropah sungguhpun telah menerbitkan teksnya, sama ada selengkapnya atau sebahagiannya sahaja, mencatatkan pendapat-pendapat mereka tentangnya, dan juga telah menterjemahkannya ke dalam bahasa-bahasa mereka, tetapi usaha ini tidak menyamai usaha yang telah dilakukan terhadap Sejarah Melayu yang terkenal itu. Ini barangkali Hikayat Hang Tuah bukan bercorak sejarah. Orang-orang Eropah yang datang ke Asia Tenggara pada zaman penjajahan dahulu ingin mengetahui sejarah negara-negara yang ditakluki mereka. Dari segi ini, Hikayat Hang Tuah sama sekali tidak berfaedah bagi mereka. Sekarang keadaan sudah berubah. Tumpuan perhatian kita adalah kepada nilai-nilai sastera yang sebenarnya. Kita wajar menerima dan menilai hikayat ini sebagai sebuah karya sastera.

Tidak perlu ditegaskan bahawa hikayat ini bukan sebuah sejarah. Ini jelas daripada namanya sendiri. “Hikayat” ertinya cerita, dan kesusasteraan Melayu jenis inilah sebenarnya yang menjadi nenek moyang kepada bentuk novel atau roman Melayu moden (roman Melayu yang pertama bernama Hikayat Faridah Hanum, 1926, dikarang oleh Syed Sheikh al-Hadi). Oleh itu salahlah kalau cerita Melayu yang paling panjang ini (lebih kurang 146,000 perkataan) dikesampingkan begitu sahaja atas alasan ia mencernakan sejarah. Sejarah bukan perkara yang dipentingkan. Soal apakah Hang Tuah dan Hang Jebat betul-betul ada, apakah cerita ini benar-benar berlaku dan sebagainya, bukanlah soal yang relevan. Pengarangnya mungkin tidak pernah membaca Sejarah Melayu. Bahkan ada bukti-bukti yang kuat untuk menyatakan bahawa bahan-bahan hikayat ini tidak dikutip daripada Sejarah Melayu.

Pengarangnya memulakan ceritanya dari zaman kerajaan keinderaan di Bukit Seguntang. Dari dinasti inilah dikatakan kerajaan Melayu di Singapura dan di Bentan dan kemudian di Melaka memperoleh raja. Lalu berikutanlah berbagai-bagai cerita mengenai kepahlawanan Hang Tuah berlima saudara di Majapahit, di Inderapura (Pahang) dan di Melaka sendiri, dan kemudian mengenai pengembaraan Hang Tuah ke Benua Keling (Vijayanagar), ke Benua China, ke Benua Thai, dan ke Turki. Cerita diakhiri dengan kejatuhan kota Melaka ke tangan Feringgi dan kemudian ke tangan Belanda. Beberapa daripada peristiwa-peristiwa ini disebut dalam Sejarah Melayu, tetapi pengarang hikayat ini tidak mempedulikan tatatertib sejarah (zaman agung Majapahit antara tahun 1331-1364 disamakan dengan zaman agung Melaka antara tahun 1456-1511). Malah ia tidak mengendahkan fakta bahawa manusia tidak dapat hidup selama-lamanya. Hang Tuah tidak mati, dan Raja Melaka, Bendahara dan Temenggung. yang hidup dari tarikh Melaka didirikan (kira-kira pada tahun 1403) sampai tarikh jatuhnya (tahun 1511). kematian mereka tidak disebut, seolah-olah mereka tidak mati.

Ini merupakan beberapa hal yang boleh memperkuat alasan-alasan orang yang hendak memperkecil karya sastera ini. Tetapi biarlah dijawab satu pertanyaan yang paling mudah. Apakah pencipta hikayat ini tidak sedar bahawa biasanya orang akan mati setelah meningkat ke umur 60 atau 70 tahun? Dia tentu sedar. Jadi, mengapakah sengaja dilupakan hal ini? Tanya jawab ini akan membawa kita kepada satu-satunya kesimpulan yang mungkin: bahawa hikayat ini tidak bermaksud untuk menciptakan satu watak yang biasa. Sebaliknya ia hendak menciptakan seorang manusia yang luar biasa, seorang maha manusia—Hang Tuah!

Hikayat Hang Tuah sebuah epik Melayu. Di dalamnya telah dilahirkan cita-cita dan kebesaran bangsa Melayu. Ia telah mencatatkan riwayat hidup bangsa ini dari sejak mulanya, melewati zaman pembangunannya, lalu ke zaman kebesarannya, lalu ke saat nahasnya pada 24 Ogos 1511. Tokoh utamanya Hang Tuah, mewakili bangsa itu sendiri mengenai cita-citanya, kebolehannya dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pembatasan ini penting, kerana sudah tentu Hang Tuah tidak dapat mewakili peribadi Melayu sepanjang zaman kerana unsur-unsur keperibadian itu sendiri ditentukan oleh keadaan sejarah. Biarpun begitu, hikayat ini dan wiranya telah melahirkan suatu sikap hidup Melayu, iaitu sikap hidup yang berlaku sebelum datangnya peradaban moden dan yang sedang bergeser dengan sikap hidup baharu yang dibawa oleh peradaban Barat. Oleh sifatnya yang demikian ini maka Hikayat Hang Tuah tiada ternilai harganya. Wajarlah ia mendapat perhatian yang lebih berat.

Teks ini menghadapkan kita kepada beberapa persoalan yang rumit. Bagaimanakah timbulnya cerita ini dalam bentuknya yang ada sekarang? Apakah bentul aslinya demikian, atau-kah ada bahagian-bahagian yang ditambah kemudiannya oleh pengarang lain? Bila, di mana dan oleh siapakah hikayat Melayu yang penting ini ditulis?

Pertanyaan-pertanyaan ini tidal: mungkin dijawab dengan pasti sebelum sebuah edisi yang sempurna diselenggarakan. Suatu kajian yang lebih teliti tentang bentuk perbandingan dari segala segi dengan karangan-karangan Melayu lama yang lain haruslah dilakukan dahulu. Sementara itu, berdasarkan naskhah ini sendiri dapatlah kita buat beberapa tekaan. Seperti kata Winstedt, cerita asalnya mungkin berpokok daripada sumber-sumber lisan. Tidak ada bukti yang kuat untuk menyatakan bahawa pengarang hikayat ini telah mendasarkan ceritanya kepada Sejarah Melayu. Walaupun tidak kurang daripada 15 peristiwa yang tercatat dalam karangan tersebut diceritakan dalam hikayat ini. Dalam Sejarah Melayu dikatakan bahawa Hang Kasturi yang dilawan bertikam oleh Hang Tuah, manakala dalam Hikayat Hang Tuah, Hang jebat. Dalam Sejarah Melayu dikatakan bahawa Hang Nadim (menantu Hang Tuah) yang melarikan Tun Teja; dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah sendiri. Dalam Sejarah Melayu dikatakan bahawa Sultan Abdul Jamil Pahang yang menjadi tunang Tun Teja; dalam Hikayat Hang Tuah, Megat Terengganu.

Perbezaan bukan sahaja terdapat pada orang-orang yang terlibat dalam sesuatu peristiwa, tetapi juga yang berkaitan dengan bahasa. Sejarah Melayu ditulis oleh seorang yang mahir dalam bahasa Arab dan yang telah kuat dipengaruhi oleh agama Islam. Hikayat Hang Tuah, sebaliknya, masih menggambarkan alam fikiran Melayu sebelum bertapaknya agama tersebut. Gayanya tidak kurang bersahaja, lunak dan padat daripada dalam Sejarah Melayu, tetapi pengaruh kata-kata dan gaya bahasa Arab kelihatan kurang sekali kecuali pada bahagian yang boleh jadi ditambah kemudian. Dengan demikian, tidak ada kemungkinannya hikayat ini ditulis oleh pengarah Sejarah Melayu itu juga. Tetapi bilakah ia ditulis? Semasakah dengan Sejarah Melayu, atau sebelumnya, ataupun sesudahnya?

Pada keseluruhannya Hikayat Hang Tuah tertulis selepas tahun 1641 (kerana inilah peristiwa Sejarah yang terakhir disebut di dalamnya), tetapi sebelum tahun 1786 (kerana catatan Werndly pada tahun itu menyebutkan nama hikayat ini), atau seawal-awalnya sebelum tahun 1726. Tetapi unsur-unsur gaya bahasa dan teknik cerita menunjukkan bahwa hikayat ini bukan seluruhnya ditulis pada satu waktu. Perdunya (sebelum bab perutusan ke Benua Keling) mungkin telah terkarang tidak berapa lama selepas kejatuhan kota Melaka ke tangan Portugis, katalah antara 30 dengan 90 tahun kemudian. Ada dua sebab mengapa dikatakan demikian. Terdapatnya kata-kata yang berasal daripada bahasa Feringgi dalam bahagian pertama [lancang, armada, kapitan, beledu] membuktikan bahawa bahagian ini baharu ditulis selepas tahun 1511.

Sebaliknya, sukar hendak dikatakan bahawa bahagian ini pun ditulis bersama dengan bahagian kedua, selepas tahun 1641. Watak Hang Tuah yang timbul dalam bahagian pertama agak berbeza dengan wataknya dalam bahagian kedua. Dalam bahagian pertama Hang Tuah digambarkan sebagai seorang pahlawan: gagah, garang, dan berani. Manakala dalam bahagian kedua dia bertukar menjadi seorang pengembara, diplomat, dan ahli sufi: bijaksana, sabar, dan warak. Barangkali dua segi watak ini menggambarkan dua peringkat riwayat bangsa Melayu sebelum zaman moden: peringkat kebangkitannya dan peringkat kejatuhannya. Memang sangat wajar bagi satu-satu bangsa yang sedang naik berasa dirinya yakin dan kuat, dan sifat-sifat inilah yang ditunjukkan oleh wira Hikayat ini dalam bahagian pertamanya. Jadi tidak mungkin bahagian ini ditulis pada waktu kemegahan kerajaan Melayu sudah hapus. Sebaliknya, apabila kemegahan itu sudah tiada. maka timbullah keperluan untuk membelakangkan kenyataan, lalu lari untuk mencari kepuasan di tempat-tempat lain. lain daripada kekuatan diri sendiri. Inilah gambaran yang terlukis dalam bahagian kedua, bahagian yang mencerminkan kejatuhan kerajaan Melayu.

Mungkinkah bahagian pertama ditulis di Melaka juga setelah kota Melaka jatuh ke tangan Feringgi? Agak sukar hendak kita tentukan. Sepanjang yang saya tahu. ada sepuluh buah naskhah hikayat ini semuanya (bilangan sebenarnya mungkin lebih) dan sebelum tiap-tiap satunya dikaji, soal ini tidak akan terjawab. Naskhah Dewan Bahasa dan Pustaka yang menjadi dasar edisi ini agak muda usianya, lebih kurang 100 tahun sahaja. Naskhah tertua yang penulis ketahui ialah naskhah Leiden (Cod. Or. 1762), yang tersalin pada 1172 T.H. (1758 T.M.) di Kuala Kedah (?), hampir dua setengah abad setelah Feringgi menakluk Melaka. Naskhah ini nyata bukan naskhah asal. G.K. Niemann dalam antologinya menyebut tentang sebuah naskhah, dua jilid, yang katanya satu jilid disalin di Riau daripada sebuah naskhah yang berasal dari Melaka dan satu jilid lagi ditulis di Lingga. Catatan ini menarik. Mungkinkah naskhah Melaka ini bahagian yang pertama dan mungkinkah ia ditulis di Melaka juga? Sayangnya, catatan ini tidak menyatakan di mana tamatnya jilid yang pertama itu, dan tidak juga menyebut tentang maklumat yang biasa diberi oleh penyalin atau pengarangnya di hujung tentang tarikh dan tempat naskhah itu disalin, begitu juga nama penyalin atau pengarangnya.

Sebenarnya kemungkinan naskhah perdu ini ditulis di Melaka memang ada, kerana kalaulah ia terkarang di Aceh atau di Johor, bagaimanakah hendak diterangkan perbezaan gaya dan perbendaharaan kata yang terdapat antara Sejarah Melayu dengan hikayat ini? Tetapi barangkali ada dua gaya bahasa yang digunakan serentak pada waktu itu — satu yang telah terpengaruh oleh kebudayaan baharu Islam, dan satu lagi yang masih setia kepada zaman Hindu Jawa yang lama itu. Kalau begitu, pengarang kita termasuk ke dalam golongan yang kedua.

Tidak ada kemungkinan pengarang hikayat ini akan diketahui. Kalaupun pada suatu hari kita bernasib baik lalu bertemu dengan naskhah asalnya, nama pengarangnya tidak mungkin akan tercatat di situ. Perihal karangan-karangan yang tidak diberi nama pengarangnya memang umum dan terkenal dalam kesusasteraan Melayu lama. Apakah sebabnya? Mungkinkah sifat Melayu yang tidak ingin menonjol-nonjolkan dirinya? Tetapi Sejarah Melayu dan Tuhfat al-Nafis mencatatkan nama pengarangnya. Penjelasan masalah ini mungkin terletak pada sifat suatu karangan itu. Sejarah Melayu dan Tuhfat al-Nafis bercorak sejarah. Hikayat Hang Tuah tidak. Sejarah persis karangan yang berat, sementara hikayat hanya untuk menyedapkan hati pembaca atau, seperti kata penyalin naskhah Leiden, supaya “sukacitalah segala yang mendengar dia cerita ini”. Menurut suatu sumber, dalam Islam cerita-cerita yang peranannya semata-mata untuk menghibur dipandang rendah. Peranan menghibur hanya dilakukan oleh tukang lawak. Sesuatu karangan akan dipandang tinggi hanya kalau ada maksud untuk memberi pengajaran kepada pembaca. Oleh itu, pengarang yang mulia untuk menyedapkan hati pembaca, seperti pengarang hikayat, enggan mengakui ciptaannya.

Kata Pengantar
Latar Belakang Pengkaji Teks
Pengenalan
Pengenalan Tambahan

Hikayat Hang Tuah

Catatan Teks

Takrif Kata
Bahan Rujukan
Indeks

Weight0.811 kg
Dimensions22.5 × 15 × 2.5 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.