Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua)

AHMAT ADAM adalah Profesor Emeritus dalam bidang Sejarah. Merupakan mantan Profesor Sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaya.

SIRD (Cetakan Pertama, 2018)
638 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM75.00

Only 1 left in stock

Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua) merupakan karya Ahmat Adam dalam usaha beliau memberikan tafsiran baru terhadap karya klasik agung Melayu, yakni Hikayat Hang Tuah. Kali ini dengan menggunakan kaedah filologi, Ahmat Adam secara kritis telah membedah isi kandungan sebuah hikayat yang selama lebih daripada dua abad ternyata salah dibaca dan silap ditransliterasikan ke huruf Rumi oleh para pengkaji Orientalis dan tempatan. Kesalahan zaman-berzaman ini jugalah yang menjadikan hikayat yang masyhur ini telah silap ditafsirkan bukan sahaja dari segi penyebutan nama gelaran Laksamana Melaka yang sebenar, tetapi juga dari segi isi kandungan yang menceritakan petualangan Laksamana yang masyhur itu. Yang menjadi lebih parah lagi ialah selepas kisah legendaris Laksamana itu diceriterakan oleh pengarang Sulalat u’s-Salatin, kisah pengembaraannya yang dilukiskan di dalam Hikayat Hang Tuha telah mempengaruhi pemikiran sebahagian anggota masyarakat dan dipercayai oleh mereka itu sebagai kisah yang benar-benar terjadi dalam sejarah Melaka.

Melalui Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua) penulis cuba mengajak pembaca agar menilai sendiri karya sastera yang berlatarkan sejarah ini, dan cuba berfikir secara kritis untuk membedakannya dengan sebuah karya sejarah yang lebih tulen mengenai kesultanan Melaka dan Laksamana yang benar-benar wujud pada zaman abad ke-15 dan ke-16.

Penyuntingan naskhah Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua) telah dilakukan lantaran dirangsang oleh dua hal. Pertama-tama, menurut penulis, beliau merasa terkilan kerana tatkala saat-saat akhir pencetakan buku yang berjudul Sulalat u’s-Salatin yakni pertu[tu]ran segala raja-raja, yang penulis sendiri menjadi pengalih aksara dan penyuntingnya, baru beliau sedar bahawa ejaan Jawi lta/waw/ha/ [توه] bagi nama gelar Laksamana Melaka itu sewajarnyalah disebut ‘Tuha’ dan bukan ‘Tuah’. Tetapi kendatipun masih ada ruang waktu untuk pembetulan, permintaan penulis untuk mengubahnya tidak dibenarkan oleh ketua pengarang yang mewakili penerbit dan lembaga pengurusannya,

Dengan penolakan itu, penulis mendapat kesan bahawa wujud pendirian dalam kalangan setengah-setengah cendekiawan Melayu yang bergelar inteligensia (iaitu satu istilah yang ditakrifkan oleh Oxford Concise English Dictionary (1999: 736) sebagai intelektual atau mereka yang memperoleh pendidikan tinggi, yang dianggap mempunyai pengaruh kebudayaan dan politik) bahawa merubah nama gelar ‘Hang Tuah’ kepada ‘Hang Tuha’ adalah seolah-olah satu percubaan untuk “memperlekehkan jati diri Melayu’. Apakan daya, justeru kerana perjanjian legal yang penulis tandatangani, beliau rupa-rupanya telah menyerahkan hak mutlak kepada penerbit dan wakil-wakilnya untuk “menyemak…dan jika perlu mencadangkan atau membuat pembetulan perubahan pembaikan penambahan pemotongan dan seumpamanya…sebelum bahan-bahan itu dapat diterbitkan…” —yang bererti pengarang tidak boleh merubah tulisannya menurut kehendak pengarang sendiri.

Oleh yang demikian, karya yang diterbitkan ini adalah sebagai upaya menebus kesilapan (menurut penulis) yang telah beliau lakukan, selain ingin memberi sumbangan kepada bidang pengajian Melayu dengan memperbetulkan apa-apa tanggapan dan pemahaman yang terkeliru mengenai perbezaan antara sejarah dengan kesusasteraan tradisional Melayu.

Adalah diharapkan karya transliterasi Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua) akan dapat memupuk nilai rasa indah dalam kalangan masyarakat awam terhadap sebuah karya agung bangsa Melayu yang mengandungi cermin nilai dan hati-budi bangsa itu di samping menyerlahkan kefahaman ramai mengenai budaya zaman silam dan sistem ketatanegaraan tradisionalnya. Selain daripada dorongan ini, penulis juga berasa terpanggil untuk menyunting sebuah versi naskhah Hikayat Hang Tuha (atau dalam bahasa Melayu modennya, Hikayat Hang Tua), lantaran ingin mengukuhkan hujah penulis seperti yang dibentangkan dalam buku Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia, bahawa nama ‘Hang Tuah, [sic] hanyalah fiksyen semata-mata dan ceritera mengenai lawatan Laksamana Melaka ke Majapahit itu adalah mitos semuanya.

Sebagai penyunting, penulis juga ingin membuktikan bahawa karya agung Hikayat Hang Tuha adalah tidak lebih daripada sebuah karya sastera bangsa Melayu bersifat kiasan yang sangat berpengaruh dan bukannya sebuah karya sejarah seperti yang dianggap oleh sebahagian anggota masyarakat. Dengan kata lain, adventure Laksamana Melaka yang dipaparkan di dalam Hikayat Hang Tuha hanyalah sebuah ceritera hiburan yang sepenuhnya bersifat kesusasteraan mitos.

Dalam Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua), nama gelaran atau nickname tokoh besar dalam karya sastera agung orang Melayu ini disebut ‘Hang Tuha’ kerana sebab-sebab yang akan dijelaskan dalam Bab Pengenalan. Dengan terselesainya kerja pemindahan aksara daripada huruf Jawi ke Rumi serta penyuntingan rinci dengan memberikan anotasi terhadap karya yang sangat terkenal lagi masyhur ini, maka penulis pun menjadi sangat yakin bahawa bacaan judulnya yang betul ialah Hikayat Hang Tuha [—-] (atau dalam bentuk Melayu modennya, Hikayat Hang Tua).

Hal inilah yang menjadi pendorong untuk penulis bertekad membuat satu kajian ilmiah terhadap hikayat yang selama berabad-abad telah memercikkan pengaruh yang bukan sedikit kepada budaya pemikiran orang Melayu, seperti yang kelihatannya masih segar dalam unsur-unsur budaya yang menampakkan cara mereka menanggapi isu kedaulatan dan konsep ‘setia’ kepada pemimpin, khasnya dalam kalangan elit politiknya, hingga ke hari ini.

Justeru yang demikian, penulis mempersembahkan kepada sidang pembaca untuk menilai sendiri karya ini dengan adilnya, dengan tujuan memberi sumbangan kepada kesarjanaan dalam lapangan pengajian Melayu. Walaupun di sebalik usaha ini tentunya boleh ditemui pelbagai kelemahan dan mungkin juga kekuatan Ahmat Adam sebagai penulis, beliau ingin menyarankan pembetulan bagi nama gelaran Laksamana Melaka yang hidup dalam abad ke-15 atau mungkin sampai abad ke-16, yang anggap telah tersilap dirumikan ejaannya selama tidak kurang daripada hampir tiga abad.

Hingga kini terdapat dua buah transliterasi karya klasik Hikayat Hang Tuha yang telah diterbitkan dengan lengkap di Malaysia. Satu daripadanya ialah yang paling popular sampai kini, iaitu karya yang diselenggarakan oleh Kassim Ahmad berdasarkan naskhah bertarikh 28 Jun 1878, dan diterbitkan pertama kali pada tahun 1964; dan satu lagi ialah resensi yang dihasilkan oleh Siti Hawa Salleh pada tahun 2012 berdasarkan naskhah tahun 1871.

Karya yang pembaca hadapi sekarang ini ialah yang terbaru dan berdasarkan sebuah manuskrip yang disalin daripada sebuah naskhah induk yang ditulis sebelum 1828 dan penerbitannya pada kali ini pun didorong oleh hasrat untuk menambah baik penyuntingan dua karya yang disebutkan tadi. Karya yang diberi judul Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua) ini diharapkan boleh memberikan peluang kepada pembaca untuk lebih mudah mengikuti naratif di dalam teks dan memahami dengan lebih jelas beberapa istilah Kawi yang banyak sekali dipakai oleh pengarang asal hikayat ini. Dengan menggunakan pendekatan yang berasaskan filologi dan linguistik penulis telah mencuba seberapa mungkin untuk menjelaskan makna perkataan asing yang dipinjam oleh pengarang daripada bahasa Kawi, Jawa Tengahan, lawa Baru, Parsi, Arab, Sanskrit dan Portugis.

Weight0.943 kg
Dimensions22.8 × 15.3 × 3.3 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.

More from this Author