Hikayat Malim Dewa

PAWANG ANA

RAJA HAJI YAHYA

DBP (Ulang Cetak, 2016)
128 halaman termasuk Glosari

RM13.00

In stock

Hikayat Malim Dewa merupakan salah satu di antara sekumpulan cerita yang kira-kira selusin banyaknya, karya sastera Melayu yang sangat menarik hati dan mengandung anasir-anasir rumit yang tidak dapat diterangkan dengan jelas. Anehnya, cerita-cerita ini telah lama diabaikan—oleh orang-orang Melayu sendiri dan oleh penyelidik-penyelidik asing juga—tetapi mungkin melahirkan ciri-ciri yang amat penting dan bererti kalau diselidiki dengan saksama. Sungguhpun tidak kita ketahui, boleh jadi bahawa Hikayat Malim Dewa hampir sama tuanya dengan lakonan-lakonan Shakespeare.

Hikayat Malim Dewa dihidangkan untuk pembaca Melayu di sekolah menengah. Ceritanya ini dihidangkan semata-mata sebagai sebuah cerita yang baik, dan sesungguhnyalah demikian, dan catatan di belakangnya telah disusun oleh anggota-anggota sidang pengarang Oxford University Press di Kuala Lumpur, untuk membantu para pembaca memahami perkataan-perkataan dan susunan-susunan kata yang lebih sukar.

Mungkin orang menganggap aneh bahawa catatan-catatan serupa itu diperlukan, tetapi masakan dapat diharap bahawa seorang Melayu dari Ipoh sekarang ini dapat mengetahui rangkaian kata-kata gharib yang digunakan beberapa abad dahulu? Misalnya, dalam buku ini, ada empat patah perkataan untuk berjenis-jenis tempat sirih: puan, jorong, tepak, cerana! Demikianlah pula halnya beratus-ratus perkataan dalam karangan Shakespeare membingungkan orang Inggeris yang terpelajar.

Pada tahun-tahun 1880-an, Sir William Maxwell, yang pada ketika itu sedang bertugas di Perak, telah menulis, ataupun telah dapat menuliskan, cerita-cerita yang dikisahkan oleh seorang tukang cerita yang terkenal bernama Mir Hassan. Kemudian, cerita-cerita yang sama jenisnya dikumpulkan dari Kedah dan Negeri Sembilan, dan beberapa banyak lagi dari Pawang Ana di Perak, terutama sekali oleh Sir Richard Winstedt dan A.J. Sturrock. Hikayat Malim Dewa salah satu daripada yang terkemudian ini dan diterbitkan pertama kalinya dalam tahun 1908. Malangnya kita tidak mengetahui dengan setepat-tepatnya betapa pengimlaan dan penyalinan cerita-cerita tersebut dilakukan, kerana hal ini terjadi pada zaman sebelum ada tape-recorder, dan sebagai akibatnya kita tidak dapat memastikan bahawa kata-kata yang dituliskan seperti yang kita miliki sekarang ini benar-benar tepat sebagaimana yang diucapkan oleh tukang-tukang cerita itu.

Walaupun demikian, jelaslah sudah daripada sifat cerita-cerita ini—temanya, wataknya, peristiwanya, dan kias-kias yang terkandung di dalamnya—bahawa kita kini mempunyai sesuatu yang usianya lebih daripada hanya 70-100 tahun sahaja. Cerita-cerita ini telah diriwayatkan turun-temurun melalui tukang-tukang cerita generasi demi generasi yang sejak berabad-abad telah menduduki tempat yang penting dan terhormat dalam masyarakat desa Melayu. Sesungguhnya mereka telah melaksanakan satu tugas yang tidak dapat dilaksanakan oleh orang-orang lainnya, kerana mereka itu telah memelihara dengan sempurna timbunan fikiran, tradisi, penciptaan seni, dan sejarah bangsanya.

Pembaca sekarang yang teliti fikirannya mungkin menyangkal tuntutan ini, kerana dia tidak bertemu dengan penanggalan dalam “roman-roman rakyat” seperti yang dinamai oleh Winstedt ini; tidak seberapa nama-nama tempat yang dapat dicamkan olehnya, tidak seberapa perwatakan-perwatakan yang sesungguhnya: banyak benar sihir dan khayalan; jin, naga terbang, dan nenek kebayan. Kita jarang dapat memastikan apakah kita berads di Melaka, Palembang, ataupun di negara Anta-beranta yang bercampur aduk; dalam abad yang kesembilan belas ataupun abad yang keempat belas. Semua ini sebenarnya tidak menjadi hal: kerana apa yang sebenarnya kita miliki ialah satu penggambaran yang berkembang dengan berleluasa tentang kepercayaan, adat resam dan cara-cara berfikir zaman purba, sebahagian daripadanya masih berkepanjangan sampai sekarang; dan juga satu gambaran umum tentang pemikiran, perasaan dan angan-angan sebahagian besar penduduk desa Tanah Melayu dan Sumatera pada zaman lampau.

Hal ini, meskipun tidak begitu tepat, amat berharga: kerana hal ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dipelajari daripada prasasti ilmu purbakala, ataupun dari sejarah-sejarah istana, ataupun dari dokumen-dokumen East India Company. Apabila membaca buku ini, maka fikirkanlah hal-hal ini. Tetapi fikirkanlah juga hal-hal yang lain lagi, yang dapat membantu ketika kita merasa bingung ataupun gusar oleh bahagian yang begitu panjang sehingga seolah-olah tidak ada satu pun yang akan terjadi sampai sepuluh muka surat lamanya. Cerita ini, sebagaimana juga roman-roman rakyat yang lain, mungkin dimaksudkan untuk ditembangkan atau dinyanyikan kepada pendengar-pendengar di kampung pada waktu malam setelah selesai pekerjaan mereka.

Weight0.167 kg
Dimensions21.5 × 14 × 0.7 cm
Author(s)

,

Format

Language

Publisher

Series

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.