Hikayat Raja Pasai

Ditransliterasi dan disunting oleh AHMAT ADAM

SIRD (Cetakan pertama, 2019)
156 halaman termasuk Indeks dan Bibliografi

RM35.00

Only 1 left in stock

Penerbitan edisi terbaru Hikayat Raja Pasai, sebuah karya yang melakar zaman awal kedatangan Islam di Sumatera Utara oleh Ahmat Adam ini adalah percubaan terkini beliau untuk mengetengahkan beberapa tafsiran baru mengenai karya klasik Melayu yang belum pernah diungkapkan oleh mana-mana kajian; satu daripadanya ialah aspek tasawuf di dalam karya itu. Sekalipun sering dianggap sebagai karya pertama sastera klasik Melayu oleh kaum sarjana yang meminati ilmu pengajian Melayu, dan telaah demi telaah telah dilakukan terhadapnya sejak pertengahan abad ke-19, namun Hikayat Raja Pasai, belum pernah dikaji secara mendalam oleh sejarawan.

Ahmat Adam turut menyentuh makna huruf-huruf tertentu al-Quran dan erti angka dalam perlambangan sufi, sekali lagi menjadi rujukan dalam perbincangannya mengenai aspek tasawuf yang terdapat dalam karya sastera sejarah yang diketengahkan ini. Seperti biasa, sikap kritis beliau terhadap kajian mengenai manuskrip Melayu pada masa yang lepas-lepas ditunjukkan lagi dalam penulisan buku ini.

Hikayat Raja Pasai merupakan satu-satunya karya terawal dalam historiografi Melayu Islam yang melakarkan zaman permulaan kedatangan Islam di Sumatera. Ia dikatakan terawal kerana ia selesai ditulis sekitar antara akhir abad ke-15 dan awal abad ke-16, iaitu lebih awal daripada masa Sulalat u’s-Salatin ditulis sampai selesai. Bahasa sastera bertulisan Jawi boleh dikategorikan sebagai bahasa Melayu pra-klasik yang sedikit berbeza daripada bahasa klasik karya-karya yang ditulis pada abad ke-18.

Tulisan Jawi bahasa pra-klasik ini memperlihatkan berlakunya adaptasi antara tulisan Arab dengan tulisan kesusasteraan Parsi. Tiada banyak vokal digunakan dalam penulisan bahasa Melayu lama itu. Ramai sarjana berpandangan ada unsur pengaruh sastera Parsi dalam penulisan Jawi Melayu klasik. Fonem yang tidak ditemui dalam abjad bahasa Arab telah diganti dengan mencipta ejaan Jawi Melayu seperti meletakkan titik atau lebih daripada satu titik bagi konsonan seperti /ng/ [ڠ], /ga/ [ڬ], dan /cha/ [چ], /ny/ [ث], /pa/ [ڤ] dan /va/ [ۏ]. Justeru kerana itu, terdapat 36 aksara Jawi yang terdiri daripada 30 huruf Arab dan 6 aksara yang dicipta bagi menghasilkan konsonan yang khas untuk disesuaikan dengan fonetik bahasa Melayu.

Di sebalik sifatnya sebagai naskhah klasik Melayu terawal, Hikayat Raja Pasai tidak pula memiliki naskhahnya yang asal pada zaman ini. Yang ada sekarang hanyalah berupa salinan sahaja. Hingga ke masa ini hanya wujud dua buah salinan naskhah tulisan tangan Hikayat Raja Pasai yang asli; satu daripadanya telah pun disalin semula oleh sarjana Perancis pada tahun 1847, menjadikannya salinan yang ketiga. Yang dijadikan acuan dasar salinan itu ialah salinan yang asalnya tersimpan di Royal Asiatic Society di London. Pada asalnya naskhah ini merupakan milik koleksi Thomas Stamford Raffles (1781-1826) yang pada masa dia memegang jawatan Lieutenant Gabenor pulau Jawa (1811-1815), telah mendapatkan khidmat seorang penyalin yang mahir dalam tulisan Jawi untuk menyalin naskhah Hikayat Raja Pasai.

Tarikh penyalinan naskhah Hikayat Raja Pasai yang mula-mula diketahui wujud itu telah disebutkan pada bahagian penghujung naskhah, iaitu di halaman 140: “Tamat hari Isnin, kepada hari / dua puluh sa, kepada bulan] Muharam, sanah Zay. Tetapi tahunnya yang disebut “Hijratul Nabi” tidak boleh dipastikan. Justeru kerana angka [٠] (kosong) Jawinya mirip dengan angka [٥] (lima) Jawi, maka ada yang membaca angka itu sebagai 1230 [١٢٣٠] dan ada pula yang membacanya sebagai 1235 [١٢٣٥]. Walau bagaimanapun, sebutan “sanah Zay” (yakni tahun Zay) jelas memberikan petunjuk yang terselindung untuk menentukan tahunnya.

Mengikut tradisi pemberian nama huruf Arab kepada tahun-tahun tertentu Hijrah menurut sistem “daur” 8 tahun, atau dikenali dalam bahasa lawanya “windu” (siklus 8 tahun) dalam kalangan bangsa-bangsa rumpun Melayu yang beragama Islam di Asia Tenggara, jika tahun Hijrah itu dibahagi dengan angka delapan, dan jika lebihannya satu, maka tahun itu adalah tahun Alif. Sistem ini dinamakan pusingan daur (juga disebut daur kecil dan daur besar) iaitu berasaskan kepercayaan orang Islam di Asia Tenggara bahawa setiap daur merupakan pusingan lapan tahun. Tetapi selain huruf “Alif” [ا] dijadikan pusingan pertama daur kecil itu, huruf “Ha” [هـ] juga boleh dianggap sebagai pusingan daur pertama.

Kepada orang Jawa sistem daur juga disebut “Windu”. Oleh kerana setiap satu windu mengandungi 8 tahun, selepas 8 putaran satu-satu windu itu, windu kedua akan menggantikannya. Setiap pusingan 8 tahun itu pula terkandung dalam 4 putaran yang masing-masing dinamakan: Windu

Menurut Ahmat Adam, pendapat Russell Jones bahawa naskhah lengkap Hikayat Raja Pasai telah selesai disalin pada waktu Raffles hampir akan berangkat ke England ternyata silap. Sebenarnya kita pun tidak pasti dari mana naskhah yang menjadi acuannya diambil. Kenyataan Russell Jones bahawa manuskrip Raffles Malay no. 67 itu adalah salinan yang dibuat berdasarkan naskhah yang diambil daripada Bupati Demak pada tahun Jawa 1742, juga sangat mengelirukan kerana tahun Jawa atau tahun Saka 1742 sebetulnya sejajar dengan tahun 1819-1820.

Yang diketahui sehingga kini hanyalah bahawa naskhah induknya itu menurut A.H. Hill telah diterima oleh penyalin daripada Bupati Demak bernama Kiyai Suradimanggala pada tahun Jawa 1742. Menurut Russell Jones juga, Bupati inilah yang telah menyelia penyalinannya justeru kerana dia sendiri telah dilantik sebagai penterjemah Melayu dan Jawa di Pejabat Penterjemah Jawa di Buitenzorg; tetapi bukti jelas tidak ada.

Pada 29 Januari tahun 1819, Raffles telah mendarat di pulau Singapura dan kemudiannya kembali ke Benkulu. Pada bulan Oktober 1822 dia kembali ke Singapura untuk menguruskan pentadbiran pulau itu selepas Syarikat Hindia Timur (East India Company) mengambil alih pemilikan pulau itu daripada Sultan Husin dan Temenggung Abdul Rahman Johor. Raffles telah berlayar balik ke England dan tiba di negerinya pada 22 Ogos 1824. Dia meninggal dunia pada 5 Julai 1826.

Tidak lama selepas kematian Raffles, naskhah Hikayat Raja Pasai yang menjadi sebahagian daripada koleksi peribadinya, telah dihadiahkan oleh jandanya, Lady Sophia, bersama-sama dengan koleksinya yang lain kepada Royal Asiatic Society. Salinan naskhah Russell Jones dalam koleksi inilah yang disebut naskhah Rafles Malay no. 67 yang telah pernah dikaji oleh beberapa orang sebelum ini. Penyerahan oleh Lady Sophia Raffles itu menunjukkan bahawa naskhah ini, yang bertarikh 1819-1820, iaitu berdasarkan tarikh di dalam kolofonnya yang menyatakan bahawa tahun 1235 adalah tahun Zay, jelas telah disiapkan ketika Raffles telah tidak lagi berada di Jawa.

Naskhah Hikayat Raja Pasai yang dikenali sebagai Raffles Malay no. 67 ini merupakan satu-satunya manuskrip yang lengkap. Manuskrip ini mempunyai 140 halaman; setiap halaman mempunyai 15 baris. Ia disalin di Semarang dalam dakwat hitam dengan menggunakan tinta merah untuk kata-kata pelengkap. Kertasnya jenis keras dan tebal, berwarna krim keperangan.

Tetapi selain naskhah Raffles Malay no. 67 itu, terdapat pula sebuah lagi naskhah yang berupa salinan Hikayat Raja Pasai. Naskhah ini muncul pada tahun 1986 apabila British Library berjaya membelinya daripada seseorang. Naskhah ini belum diusahakan kajiannya oleh mana-mana individu atau pihak. Naskhah Hikayat Raja Pasai yang kini tersimpan di British Library telah diberikan nombor perolehan Or. 14350. Tetapi naskhah ini sedikit cacat lantaran beberapa halaman di dalam teksnya telah lesap. Yang tinggal pada teks itu hanyalah 83 halaman folio. Apabila disemak dan dibuat perbandingan dengan kandungan manuskrip yang disalin oleh penyalin manuskrip Raffles Malay no. 67 dan Malais no. 18 bis, ternyata ia kekurangan 17.5 halaman. Namun demikian, naskhah Or. 14350 ini didapati telah disatukan di dalam satu penjilidan bersama-sama dengan Hikayat Raja Handik.

Diharapkan karya Hikayat Raja Pasai suntingan Ahmat Adam dapat memanfaatkan pembaca dan mereka yang meminati bidang pengajian Melayu umumnya, serta kaum pelajar yang cuba memahami beberapa aspek daripada apa yang disebut sebagai kesusasteraan sejarah orang Melayu.

Ortografi
Ejaan Jawi di dalam Hikayat Raja Pasai
Senarai Singkatan
Peta Menunjukkan Kedudukan Samudera-Pasai
Nota Pentransliterasi
Pengantar

Pengenalan

MANUSKRIP HIKAYAT RAJA PASAI
1. Kisah Raja Muhammad menemui Puteri Betung
2. Kisah Raja Ahmad menemui Mĕurah Gajah
3. Kisah Puteri Betung dengan Mĕurah Gajah
4. Kisah Mĕurah Silo dan Mĕurah Hasum
5. Kisah Tun Beraim Bapa
6. Kisah Tuan Puteri Gĕmĕrĕncing
7. Kisah Raden Galuh sampai ke Pasai
8. Kisah Penaklukan Pulau-Pulau Luar Jawa oleh Majapahit
9. Kisah Tentera Majapahit Alah di Pulau Perca

Glosari
Bibliografi
Latar Diri Pengkaji Teks
Indeks

Weight0.311 kg
Dimensions22.8 × 15.1 × 1 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.