Hikayat Siak: Legasi Tradisi Gemilang Kesultanan Melayu-Islam

MUHAMMAD YUSOFF HASHIM adalah Profesor Emeritus dalam bidang kesusasteraan Melayu lama dan sejarawan yang tersohor. Antara karya beliau yang lain adalah Tradisi Persejarahan Pahang Darul Makmur 1800-1930 (Tempo, 1992), The Malay Sultanate of Malacca: A Study of Various Aspects of Malacca in the 15th and 16th Centuries in Malaysian History (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992), Tradisi Prasejarah: Pahang Darul Makmur 1800-1930 (Tempo, 1992), Persejarahan Melayu Nusantara: Kajian Mengenai Sumber, Penghayatan, Masalah dan Tafsiran Naskhah-Naskhah Terpilih Sejarah Melayu (Teks Publishing, 1988), Terengganu Darul Iman: Tradisi Persejarahan Malaysia (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991), Kesultanan Melayu Melaka: Kajian Beberapa Aspek Tentang Melaka Pada Abad Ke-15 dan Abad Ke-16 dalam Sejarah Malaysia (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989) dan Syair Sultan Maulana: Suatu Penelitian Kritis Tentang Hasil Prasejarahan Melayu Tradisional (Penerbitan Universiti Malaya, 1980).

DBP (2017)
579 halaman

RM65.00

In stock

Hikayat Siak: Legasi Tradisi Gemilang Kesultanan Melayu-Islam mensinkronisasikan dua disiplin penyelidikan dan penulisan, iaitu filologi dan sejarah. Dalam bidang filologi, manuskrip yang bercorak sejarah dan undang-undang dialih aksara daripada ortografi asalnya, iaitu Jawi ke Roman.

Seterusnya teks-teks ini dirujuk dan dianalisis secara filologikal, justeru bukan sahaja untuk memberikan pembacaan yang sedefinitif mungkin, malah dihayati kandungannya untuk menggarap dan mewacanakan kesejarahannya dalam perimeter historiografi Melayu. Manuskrip yang menjadi teks ini ialah Hikayat Siak, Syair Perang Siak, Syair Raja Siak dan Bab Alqawaid.

Daripada kandungannya inilah diangkat dan dianalisis menjadi naratif dan sumber sejarah, iaitu sejarah Kesultanan Siak Sri Inderapura. Perihal Kesultanan Melayu-Islam yang wujud antara tahun 1723 hingga tahun 1945 di Provinsi Riau, Sumatera Timur, Indonesia dipaparkan dari segi intrinsik kesultanan tersebut dan kepetualangan serantau para elit dan dan tokohnya

Selain menjadi saingan kepada beberapa kerajaan dan Kesultanan Melayu sezaman di alam Melayu, kesultanan ini berjaya mencetuskan fenomena dan menonjolkan sebuah peradaban rumpun Melayu yang gemilang dari segi geopolitik, kepemimpinan, ekonomi, agama dan sosio budaya di Selat Melaka dan utara Nusantara.

Kesultanan Siak diasaskan oleh Raja Kecil (Marhum Buantan). Baginda memerintah dari tahun 1723 hingga tahun 1740~an. Sehingga tahun 1784, Siak diperintah oleh enam orang sultan yang berketurunan langsung daripada titisan darah baginda. Namun selepas kemangkatan baginda, putera baginda saling berperang untuk merebut takhta kerajaan. Pergaduhan antara saudara memungkinkan keluarga lelaki kerabat Siak yang berketurunan Sayyid memanipulasi takhta, lalu selepas tahun 1784 itu, muncullah sultan-sultan Siak yang berdarah Arab dan menggunakan gelaran Sayyid, dari pemerintahan Tengku Sayyid Ali hinggalah Tengku Sayyid Kasim (1940-an).

Anggota-anggota kerabat tulen daripada keturunan Raja Kecil yang secara tradisinya wajar mendakwa sebagai pengganti takhta kerajaan Siak yang sah, terpaksa keluar dari Siak, lalu berkelana untuk mencari dan menegakkan pengaruh politik masing-masing. Ada yang berkeliaran di Selat Melaka hingga Laut China Selatan dengan pengikut tersendiri. Ada pula yang berjaya memulakan suatu kesultanan baharu. Salah seorang daripada mereka ialah Tengku Akil yang berkelana hingga Sukadana, barat daya Borneo. Ketika itu, kuasa-kuasa Belanda dan Inggeris kian bertapak di rantau ini. Kerabat-kerabat diraja Siak saling berinteraksi dengan mereka, sama ada sebagai musuh atau sebagai rakan sekomplot, di samping berinteraksi pula dengan kuasa dan kelompok Melayu tempatan yang lain, terutama Bugis.

Memang amat sedikit diketahui tentang peristiwa sejarah dan pengalaman politik keluarga kerabat Siak dan pengikut Minangkabau mereka dalam gelora pensejarahan Melayu di rantau ini. Pemikiran ahli sejarah selama ini banyak dipengaruhi oleh sumber-sumber dan penulisan sejarah serta peranan kaum Bugis. Akibatnya, peranan pihak Melayu Siak yang tidak kurang pentingnya seperti peranan pihak Bugis, sering tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

Betapakah pula penulisan sejarah peribumi berkaitan dengan kegiatan dan peranan mereka amat terhad diketahui akan kewujudannya. Hasil-hasil penulisan jenis ini memang menarik perhatian kita kerana corak dan persepsi historisnya tentulah berbeza daripada corak dan persepsi historis yang terdapat dalam penulisan yang muncul dalam kalangan suku Bugis. Walau apa-apa pun tanggapan kita tentang hubungan sejarah dan kemanusiaan suku-suku Melayu ini, namun perihal masa-masa mereka yang lepas, kita harus menghadapi dan memperkatakan realiti.

Atas kesedaran inilah, maka naskhah Hikayat Siak, satu-satunya warisan penulisan sejarah yang ditinggalkan oleh suku-sakat keluarga kerabat diraja Siak dan keturunan Minangkabau daripada Kesultanan Siak ini ditampilkan dan diselenggarakan untuk penerbitan. Semoga dengan ini persepsi sejarah kita berkaitan dengan kegiatan beberapa suku masyarakat Melayu di rantau ini dapat ditempatkan dan diletakkan ke tahap yang sewajarnya demi melahirkan suatu dimensi pensejarahan yang seimbang pula coraknya.

Penerbitan Hikayat Siak: Legasi Tradisi Gemilang Kesultanan Melayu-Islam merupakan edisi kedua daripada edisi pertama (1992), iaitu Hikayat Siak, dirawikan oleh Tengku Said. Edisi kali ini dikemas kini dan ditokok tambah dengan pengisian baharu seperti perincian tentang Raja/Tengku Akil ibni Raja Musa; penampilan teks-teks Syair Raja-raja Siak dan Syair Perang Siak; bab khusus tentang institusi Kesultanan Siak Sri Inderapura secara ikhtisar, perihal penyurat Hikayat Siak ini, iaitu Tengku Said bin Tengku Deris, piut kepada Raja Kecil, dan gambar-gambar yang berkaitan dengannya.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.400 kg
Edition

Format

ISBN

9789834903701

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Hikayat Siak: Legasi Tradisi Gemilang Kesultanan Melayu-Islam”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.