Hubungan Malaysia-Jepun: Diplomasi dan Pendidikan

AHMAD SOHAIMI LAZIM adalah pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Penerbit UM (Cetakan Pertama, 2013)
198 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM48.00

In stock

Hubungan Malaysia-Jepun: Diplomasi dan Pendidikan memberi tumpuan terhadap dua aspek utama tentang bagaimana hubungan diplomasi dibina dalam bidang pendidikan dan latihan selepas tahun-tahun kemerdekaan. Dari sudut sejarah, hubungan antara Malaysia dengan Jepun mempunyai keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri. Hubungan awal bermula sejak sebelum Perang Dunia Kedua diikuti dengan serangan dan pendudukan Jepun ke atas Tanah Melayu selama tiga tahun lapan bulan. Penaklukan Jepun di Tanah Melayu menimbulkan pelbagai kesan yang mengikut pandangan penulis bercampur antara positif dengan negatif walaupun terdapat juga pandangan yang melihat zaman pentadbiran Jepun lebih banyak memberikan impak negatif kepada masyarakat.

Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, hubungan kedua-dua negara berjalan terus malahan Jepun merupakan antara negara terawal yang mengiktiraf kemerdekaan Tanah Melayu. Kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman mengambil pendirian untuk tidak mengenang sejarah silam ketika Jepun pernah menjajah Tanah Melayu dan mengamalkan corak pentadbiran tentera yang keras dan kejam terhadap rakyat tetapi bersedia menjalin hubungan baik dalam bidang diplomatik dan mewujudkan kerjasama ekonomi dan perdagangan. Pada era 1960-an dan 1970-an hubungan Malaysia-Jepun berjalan lancar bagi memenuhi keperluan kedua-dua belah pihak. Jepun ketika itu sedang dalam proses membangunkan semula ekonominya yang musnah akibat perang dan amat memerlukan sokongan dan kerjasama negara-negara Asia Tenggara termasuklah Malaysia untuk mendapatkan bahan mentah dan pasaran barangan siapnya.

Mereka mengamalkan dasar diplomasi ekonomi dengan menyediakan bantuan dan kerjasama dalam konteks “Overseas Development Assistance” (ODA) dengan negara-negara Asia Tenggara bagi mencapai matlamat membangunkan ekonominya. Sebaliknya bagi kebanyakan negara sedang membangun seperti Malaysia, hubungan dengan Jepun seperti tidak dapat ditolak lantaran terdapatnya keperluan mendapatkan bantuan kewangan, pelaburan dan pemindahan teknologi. Berdasarkan keperluan ini, Malaysia berharap hubungan baik yang terjalin dengan Jepun dapat membantu meningkatkan pelaburan asing dalam sektor perindustrian, walaupun sebenarnya hubungan kedua-dua negara berlaku secara berat sebelah.

Kerjasama di bidang pendidikan dan latihan merupakan sebahagian daripada program bantuan luar Jepun kepada Malaysia sejak mula dilaksanakan. Jepun mula menyertai program bantuan luar antarabangsa apabila menyertai Rancangan Colombo pada tahun 1954. Sebagai negara yang mengalami kemajuan ekonomi pada tahun 1960-an, Jepun memulakan aktiviti bantuan antarabangsa dalam bidang pendidikan dan latihan kepada negara-negara sedang membangun dan mundur. Pada tahun 1961 Jepun menerima kumpulan pelatih pertama dari negara membangun. Overseas Technical Cooperation Agency (OTCA) atau Agensi Kerjasama Teknikal Seberang Laut ditubuhkan pada tahun 1962.

Agensi ini menjadi badan penting yang melaksanakan program-program bantuan luar Jepun. Antara fungsi penting agensi ini ialah menerima pelatih dari luar negara untuk menjalani latihan di Jepun dalam beberapa bidang yang telah ditetapkan. Mereka juga menghantar pakar ke luar negara bagi melakukan kajian kemungkinan projek. Bantuan peralatan juga diberikan kepada negara penerima. Program seterusnya yang dilaksanakan oleh OTCA ialah membantu menubuhkan pusat latihan teknikal dan menghantar sukarelawan ke luar negara. Latihan diberikan kepada kumpulan dan individu. Bagi latihan secara berkumpulan, OTCA menyediakan program latihan tertentu berdasarkan keperluan mereka.

Bagi orang perseorangan mereka ditempatkan di agensi kerajaan yang tertentu, institut teknikal dan universiti. OTCA sendiri mempunyai lima buah pusat latihan pada tahun 1971 terletak di Tokyo, Nagoya, Osaka, Uchihara dan Misaki. Pada 1963 sistem latihan juruteknik muda diperkenalkan diikuti dengan pelancaran JOVC (Japan’s Overseas Cooperation Volunteer) pada tahun 1965. JOVC atau lebih dikenali sebagai Japan Peace Corps. ditubuhkan dengan matlamat menghantar sukarelawan ke luar negara untuk mendedahkan mereka dengan budaya dan cara hidup pelbagai bangsa di dunia. Selain itu ia merupakan sebahagian daripada program bantuan luar Jepun kepada negara sedang membangun dan mundur. Jepun seperti diketahui telah memencilkan diri daripada dunia luar sehingga pembaharuan yang dilakukan oleh Meiji. Selepas Perang Dunia Kedua barulah mereka terdedah dengan lebih luas kepada masyarakat antarabangsa.

Prakata

BAB 1: HUBUNGAN MALAYSIA-JEPUN SELEPAS MERDEKA (1957-1970-an)
Pemulihan hubungan bilateral 1957-1970-an
Pengukuhan hubungan diplomatik
Dasar luar Jepun dan kesannya kepada Malaysia

BAB 2: KERJASAMA EKONOMI DAN PENDIDIKAN
Hubungan perdagangan dan pelaburan
Kerjasama ekonomi dan bantuan luar
Program pendidikan dan latihan

BAB 3: PENGENALAN DASAR PANDANG KE TIMUR (1980-1990-an)
Latar belakang dan objektif Dasar Pandang ke Timur
Mencontohi etika kerja dan sistem pengurusan Jepun
Respons terhadap Dasar Pandang ke Timur
Program pendidikan dan latihan di bawah Dasar Pandang ke Timur
Pengajian akademik peringkat ijazah di Jepun

BAB 4: PENGALAMAN PELAJAR MALAYSIA DI JEPUN
Latar belakang program pengajian di Jepun
Pengaruh budaya daripada perspektif kenseptual
Program pendidikan di Jepun di bawah DPT
Pengalaman pelajar
Pandangan pelajar Malaysia terhadap budaya masyarakat Jepun

BAB 5: PENGARUH BUDAYA KERJA JEPUN
Sikap dan amalan bekas pelajar
Penilaian terhadap Dasar Pandang ke Timur dan model Jepun
Idealisme Dasar Pandang ke Timur dan perubahan budaya masyarakat
Amalan sektor industri dan kesannya
Masa depan Dasar Pandang ke Timur

BAB 6: KESIMPULAN

Bibliografi
Indeks

Weight00.327 kg
Dimensions22.7 × 15 × 1.6 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.