Indeks Bibliografi Kelantan: Satu Senarai Awal Sehingga 2018

ABDUL RAZAK MAHMUD adalah Ketua Kumpulan Penyelidik, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

BAHARIN ILIAS adalah Pegawai Adat Istiadat, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

MAIK (Cetakan Pertama, 2019)
302 halaman termasuk Lampiran

RM55.00

In stock

If you purchase this book you will earn 11 points worth of RM1.10!
ISBN: 9789832391487 Product ID: 24290 SKU: 9789832391487 Categories: , , Tags: , , , , ,

Indeks Bibliografi Kelantan: Satu Senarai Awal Sehingga 2018 menghimpunkan tulisan-tulisan berkenaan dengan Kelantan yang terhasil daripada buku-buku, tesis, akhbar, majalah, jurnal, buletin dan sebagainya. Indeks ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu Indeks Penulis dan Indeks Judul. Tulisan-tulisan berkenaan dengan Kelantan ini diharapkan menjadi satu tanda bahawa, tradisi keilmuan di negeri ini amat membanggakan.

Pada perkiraan penyusun, buku Abdullah Munsyi, Kisah Pelayaran Abdullah telah menjadi buku pertama yang diterbitkan, dalam Bahasa Melayu, yang mencatat banyak perkara tentang Kelantan. Selepas Abdullah Munsyi maka nama-nama lain yang turut menulis tentang Kelantan ialah beberapa orang penulils berbangsa Inggeris (kebanyakannya pegawai kolonial British) seperti W. A. Graham yang menulis Kelantan: A Handbook of Information (Glasgow, 1908), A. Rentse yang menulis “History of Kelantan”, JMBRAS, Vol. 12, part 1, 1934, dan Hugh Clifford, Expedition to Terengganu and Kelantan (Federated Malay States Government Press, 1938) dan lain-lain.

Menjelang Perang Dunia Kedua, muncul beberapa orang penulis tempatan yang menghasilkan beberapa buah karya tentang Kelantan. Ini misalnya dapat dilihat pada Kitab Geografi dan Tarikh Kelantan (Matba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1926) dan Rengkasan Cetera Kelantan (Matba’ah al-Asasiyyah, Kota Bharu, 1934), kedua-duanya karangan Haji Nik Mahmud Ismail, dan Sinaran Kelantan (dua penggal) oleh Muhamad Yusoff bin Salleh al-Kalantani (Matba’ah Majlis Agama Islam Kelantan, Kota Bharu, 1938). Sebelum Merdeka terbit pula sebuah buku berjudul Peperangan Tok Janggut atau Balasan Derhaka, sebuah buku tentang kisah penentangan Tok Janggut di Kelantan, tulisan Yahya Abdullah atau Ya’budul’Lah, seorang guru lepasan SITC, Tanjung Malim (Muslim Printing Press, Kota Bharu, 1955).

Selepas merdeka muncul beberapa buah buku lagi tentang Kelantan, antaranya dari Abdullah bin Amirah Selising, Arifin Abdul Rashid, Asad Shukri bin Haji Muda, A. Jalil Haji Nor dan Hussin Khal’ie Haji Awang. Abdullah Amirah menulis Riwayat Hidup Tok Janggut dan Peperangannya di Kelantan (Sinaran Brothers, Penang, 1957), Arifin Abdul Rashid menghasilkan Rengkasan Sejarah Kelansan (al-Ahliyah Press, Kota Bharu, 1962), sebuah karya yang boleh dianggap sebagai “penulisan ulang” dari karya Haji Nik Mahmud Ismail yang terbit sebelumnya, kecuali dengan perpanjangan tarikh sehingga ke zaman Sultan Yahya Petra. Manakala dari As’ad Shukri pula muncul Sejarah Kelantan (Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1962) yang antara lain mengumpul semula tulisan-tulisannya mengenai sejarah Kelantan yang pernah tersiar dalam Majalah Kencana, terbitan sebelum Perang Dunia Kedua, di samping mengemaskini dan menambah fakta-fakta terbaharu sehingga ke zaman selepas Merdeka.

Adapun dari A. Jalil Haji Nor, maka tulisannya ini tidak lebih dari sebuah tulisan untuk bacaan murid-murid sekolah tentang seorang pahlawan Kelantan bernama Tok Janggut (Pustaka Nasional, Singapura, 1966). Terakhir ialah sebuah buku tentang Kelantan berjudul Kelantan Dari Zaman ke Zaman (Dian Darulnaim Sdn Bhd, Kota Bharu, 1970), sebuah buku yang menurut penyusun lebih baik dari tiga buah buku sejarah Kelantan sebelumnya yang terbit pada 1934 dan 1962.

Sebelum berakhir abad ke-20, masih terdapat beberapa karya penting tentang Kelantan yang perlu dicatat. Antaranya ialah sebuah buku oleh Cyrill Skinner, The Civil War in Kelantan in 1839 (MBRAS, 1966) yang mengisahkan Perang Saudara Kelantan, lengkap dengan rakaman surat-menyurat antara Kelantan dengan Bangkok sehubungan dengan perang berkenaan. Empat buah buku lain yang turut diterbitkan dalam tempoh yang sama ialah sebuah koleksi esei tentang Kelantan yang diusaha dan diselenggarakan oleh William R. Roff berjudul Kelantan: Religion, Society and Politics in a Malay State (Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1974), Islam and Politics in a Malay State (Kelantan 1838-1969) oleh Clive S. Kessler (Cornell University Press, Ithaca and London, 1978), Kelantan dalam Perpektif Sosio-Budaya, sebuah kumpulan esei tentang Kelantan yang diusahakan oleh Nik Safiah Karim bersama Wan Abdul Kadir Yusof (Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1985) dan terakhir ialah sebuah buku khusus tentang perkembangan politik Kelantan antara 1955-1995 yang diselenggarakan oleh Mohamad Agus Yusof (Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, UKM, Bangi, 1995).

Namun, diluar daripada judul-judul buku utama yang dicatat di atas, masih terdapat ratusan, malah ribuan tulisan mengenai Kelantan telah dihasilkan, baik dalam bentuk esei, makalah, berita dan kertas kerja yang tersiar dalam berbagai jurnal, majalah, akhbar, mahupun yang dibentang dalam pelbagai seminar, kolokium, persidangan dan sebagainya. Sungguh suatu koleksi sumber yang sangat kaya, dan yang tak sepatutnya diabaikan begitu sahaja.

Indeks Bibliografi Kelantan: Satu Senarai Awal Sehingga 2018 adalah sebahagian dari upaya yang dapat kami lakukan dalam usaha merakam atau mengesan tulisan-tulisan mengenai Kelantan yang pernah dihasilkan setakat ini, merangkumi tempoh sejak Abdullah Munsyi melawat Kelantan (1838) hingga berakhir pada dua dekad pertama abad ke-21. Idea bagi mengumpulkan senarai tulisan yang dinamakan Indeks Bibliografi Kelantan ini mula digelindingkan dalam Persidangan Meja Bulat Kajian Budaya dan Adat Istiadat Melayu Kelantan anjuran Jawatankuasa Adat MAIK bertempat di Dewan Mesyuarat Bunga Raya, Majlis Perbandaran Kota Bharu-BRI pada 23 Jun 2013. Sejumlah 80 orang peserta mewakili berbagai badan, pertubuhan dan NGO dalam bidang sejarah, adat, warisan, budaya, kesenian dan sebagainya, dari seluruh pojok dan negeri Kelantan, telah menghadiri persidangan yang julung-julung kali pernah diadakan sepertinya di Kelantan, apalagi oleh sebuah institusi agama seperti MAIK pula.

Sungguh suatu aktiviti yang sangat langka, luar biasa dan nyaris tak terfikirkan. Hasilnya, ada banyak fikiran dilontarkan. Ada banyak cadangan dikemukakan, termasuk ada banyak perasaan tak puas hati disampaikan. Kemuncak daripada semua fikiran, cadangan dan saranan ini ialah rumusan agar supaya MAIK dapat mengusahakan penerbitan sebuah ensiklopedia sejarah dan budaya Kelantan bagi merakam dan mengabadikan hal-hal mengenai Kelantan dalam sebuah buku yang dijangka dapat diterbitkan dalam banyak jilid, dan tentu saja, dengan memakan biaya yang sangat mahal dan memerlukan masa bertahun-tahun untuk menyiapkannya.

Di tengah-tengah keriuhan dan ghairah sambutan ramai ke atas cadangan yang penyusun anggap ideal dan nyaris “utopian” ini, penyusun sebaliknya menyarankan sebuah usul sederhana dan praktis untuk dilaksanakan, iaitu mengusahakan penerbitan sebuah Indeks Bibliografi Kelantan, sebagai “persediaan asas” atau katakanlah projek pangkalan data sebelum sebuah projek besar dan mahal bernama ensiklopedia digerakkan.

Cadangan penyusun diterima. Maka seperti “teradat” sebelumnya, oleh kerana penyusun yang mencetuskan idea ini, dan secara kebetulan beliau pula dilantik menganggotai Jawatankuasa Adat MAIK yang baru ditubuhkan, maka “terjunjung” di atas bahunya tugas merealisasikan cadangan ini. Makanya, sejak tahun 2013 itu, penulis telah berfikir banyak bagaimana merampungkan idea ini, menyusun kerangka kerjanya, melantik para pembantu atau petugas bagi menjayakannya, menetapkan formatnya dan lain-lain sebagainya. Diringkaskan cerita, akhirnya lahirlah sebuah Indeks Bibliografi Kelantan.

Kata Aluan
Sekapur Sirih
Pengantar

Bahagian 1: Indeks Penulis

Bahagian 2: Indeks Judul

Lampiran

Weight 0.492 kg
Dimensions 23.4 × 16 × 2.3 cm
Author(s)

,

Edition

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Indeks Bibliografi Kelantan: Satu Senarai Awal Sehingga 2018”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.