Islam dan Masyarakat Melayu di Malaysia: Sejarah dan Perkembangan

Senarai penulis:
ABDUL HALIM RAMLI
ABU HANIFAH HARIS
AIZA MASLAN @ BAHARUDIN
ERMY AZZIATY ROZALI
MOHAMED ALI HANIFFA
MOHAMMAD REDZUAN OTHMAN
MOHD JAMIL MUKMIN
NORAZLAN HADI YAACOB
SURAYA SINTANG

DBP (Cetakan Pertama, 2018)
571 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM55.00

Only 1 left in stock

Islam dan Masyarakat Melayu di Malaysia: Sejarah dan Perkembangan merupakan hasil penyelidikan sembilan orang sarjana yang membincangkan aspek berkaitan dengan Islam di Malaysia. Perbincangan ini menghuraikan pelbagai aspek sejarah dan perkembangan Islam di Malaysia bermula daripada proses pengislaman orang Melayu yang berlaku dengan pesat sejak abad ke-13 hingga kebangkitan semula Islam di Malaysia pada tahun 1970-an. Perbincangan dalam buku ini mengetengahkan pelbagai perspektif berkaitan dengan perkembangan sejarah Islam di Malaysia untuk tatapan pelbagai khalayak dalam masyarakat yang berhasrat memahami perkara ini dengan lebih mendalam.

Islam dan Masyarakat Melayu di Malaysia: Sejarah dan Perkembangan dibahagikan kepada 11 bab yang sebahagiannya merupakan tulisan yang dihasilkan daripada kajian peringkat Doktor Falsafah. Perbincangan dalam bab-bab yang dipaparkan dalam buku ini menghuraikan pelbagai perspektif penting tentang sejarah dan perkembangan Islam di Malaysia, merangkumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak seperti proses dan kesan pengislaman orang Melayu, keunggulan Melaka sebagai pusat penyebaran Islam dan pengaruh Timur Tengah yang mencorakkan perkembangan pemikiran agama, pendidikan dan politik orang Melayu.

Bab-bab yang ditulis ini merupakan tulisan terperinci berdasarkan penyelidikan yang merujuk bahan primer dan sekunder yang hampir menyeluruh. Walaupun perbincangan tentang Islam di Malaysia turut melibatkan banyak lagi tema lain, namun tulisan dalam bab-bab yang dipaparkan dalam buku ini cuba merangkumkan pelbagai perspektif penting tentang sejarah dan perkembangan Islam di Malaysia yang sebahagian wacananya masih belum banyak lagi disentuh. Perbincangan dalam bab-bab buku ini dibuat mengikut tema dan tidak semestinya mengikut kronologi memandangkan tempoh masa yang panjang yang cuba diliputi. Namun begitu, perbincangan yang dilakukan dalam setiap bab seboleh yang mungkin dilakukan mengikut kronologi bagi menepati perbincangan mengikut disiplin sejarah sebagaimana yang sepatutnya.

Perbincangan yang dilakukan oleh Mohammad Redzuan Othman tentang “Pengislaman Orang Melayu” sebagai peristiwa penting yang mengubah perjalanan sejarah Alam Melayu. Proses pengislaman terbukti telah mengubah rupa bentuk dan watak manusia yang dikenali sebagai orang Melayu sehingga menyebabkan mereka menjadi sinonim dengan Islam. Setelah beberapa abad Islam tersebar di Alam Melayu dengan aman tanpa banyak gangguan, keadaan berubah menjelang awal abad ke-16, berikutan kedatangan kuasa Barat. Dalam usaha meluaskan pengaruhnya, penjajah Barat bukan sahaja berusaha mendominasi politik dan ekonomi rantau ini, malahan cuba menukar cara hidup orang Melayu mengikut cara hidup mereka. Ternyata bahawa penjajahan Barat merupakan cabaran terbesar yang dihadapi oleh orang Melayu selepas proses pengislaman.

Hal ini termasuklah terdapatnya usaha untuk mengkristiankan mereka yang dilakukan oleh individu dan pertubuhan Kristian. Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pengembang agama Kristian untuk tujuan ini, namun usaha tersebut ternyata gagal kerana orang Melayu telah menerima Islam secara keseluruhannya dan menjadikannya sebagai budaya dan cara hidup mereka. Orang Melayu juga berusaha mempertahankan akidah mereka daripada diancam oleh penyebaran agama yang dibawa oleh penjajah ini kerana pengaruhnya dianggap sebagai ancaman kepada kepercayaan, budaya dan cara hidup mereka.

Weight0.802 kg
Dimensions22.8 × 15.2 × 2.7 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.