Out of stock

Istana Balai Besar: Mercu Kedaulatan dan Kegemilangan Raja-Raja Melayu Kelantan

BAHARIN ILIAS adalah Pegawai Adat Istiadat di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Lahir di Kampung Gong Chengal, Sungai Petai, Pasir Puteh pada tanggal 22 Jun 1985. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

MAIK (Cetakan pertama, 2019)
160 halaman, termasuk Ilustrasi

RM150.00

Out of stock

Penerbitan buku Istana Balai Besar: Mercu Kedaulatan dan Kegemilangan Raja-Raja Melayu Kelantan merupakan hasil daripada persetujuan dalam Mesyuarat Ahli, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu yang dipengerusikan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan Dr. Tengku Muhamad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail, selaku Yang Dipertua MAIK. Penerbitan seumpama ini amat penting bagi MAIK dalam memelihara, mendokumentasi dan melestarikan khazanah warisan budaya tinggalan masyarakat Melayu Kelantan terdahulu.

Istana Balai Besar merupakan sebuah istana yang bersejarah dan letaknya di bandar Kota Bharu, ibu Negeri Kelantan Bagi meletakkan Istana Balai Besar sebagai mercu kedaulatan dan kegemilangan Raja-raja Melayu Kelantan, ia amat signifikan dengan nama ibu kota negeri itu sendiri iaitu ‘Kota Bharu’. Bandar Kota Bharu berasal dan berusul daripada pembinaan sebuah kota atau istana baharu yang dibina pada tahun 1845. Jika sebelum ini, pusat pemerintahan Kelantan bertapak di Kota Kubang Labu, Pasir Pekan (pusat pemerintahan kerajaan Kelantan pada awal kurun yang kesembilan belas). Oleh sebab persekitaran yang tidak sesuai kerana kerap kali dilanda air banjir, maka titah Sultan Muhammad II agar dibangunkan sebuah kota, tempat pentadbiran kerajaan Kelantan di sebelah timur, tebing Sungai Kelantan.

Walaupun kekurangan peralatan pada masa itu, namun pekerjaan mendirikan Istana Balai Besar dapat berjalan dengan lancar berkat hasil kerjasama tukang-tukang yang bijak pandai dan rakyat yang sabar sehingga dapat siap dalam masa setahun (1845). Hampir dua abad berlalu, sewaktu ‘Banjir Kuning’ pada tahun 2014 yang lalu, Istana Balai Besar tidak mengalami kerosakan yang teruk. Kepekaan tukang-tukang terdahulu yang sedia mengambil kira hal ini dengan menyediakan kayu sasak pagar yang berkualiti tinggi bagi menebat air bah daripada merembes ke dalam pekarangan istana.

Penerimaan masyarakat setempat terhadap pembinaan sebuah kota baharu ini sering kali meniti di bibir rakyat jelata dan lama-kelamaan ia menjadi sebati dengan cita rasa dan kehendak rakyat dan akhirnya kota ini dijadikan sebagai ibu negeri Kelantan. Oleh hal yang demikian, kota itu sendiri dinamakan akan ia oleh baginda Sultan Muhammad II dengan nama Istana Balai Besar dan kekal hingga ke hari ini.

Istiadat pertama diadakan di Istana Balai Besar ialah pada tahun 1845, iaitu pada masa baginda Sultan Muhammad II menyambut Surat Sejabat daripada Seri Maha Raja Besar Siam. Surat Sejabat itu dititahkan supaya diarakkan dari Pengkalan Raja Penambang ke Istana Balai Besar. Surat Sejabat itu menyatakan bahawa Tengku Long Senik bin Long Tan Raja Temenggong Agra Pahlawan (Sultan Muhamad II) diiktiraf oleh Seri Maha Raja Besar Siam sebagai pemerintah Kelantan dengan gelaran ‘Pia Lecha Kelantan‘.

Istana Balai Besar diangkat sebagai Mercu Kedaulatan dan Kegemilangan Raja-raja Melayu Kelantan berdasarkan kepada beberapa aspek iaitu i) Terbinanya Istana Balai Besar, maka Ibu Negeri Kelantan mulai dikenali dengan nama “Kota Bharu” ii) Istana Balai Besar merupakan pusat pemerintahan Negeri Kelantan sejak 1845 iii) Istana Balai Besar terletaknya Dewan Undangan Negeri Kelantan yang pertama iv) Istana Balai Besar berfungsi sebagai tempat semua upacara adat istiadat Kemahkotaan, Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan sebagainya v) Singgahsana lambang kedaulatan dan kebesaran pemerintahan D’Raja Kelantan juga terdapat di Istana Balai Besar Vi) Pintu Kota Istana Balai Besar khususnya mempunyai ciri-ciri rupa bentuk yang tersendiri, dan tidak menyerupai mana-mana pintu yang terdapat di Kelantan vii) Pintu kota ini juga mempunyai latar sejarah seni budaya Melayu yang cemerlang sejak zaman berzaman.

Mengikut riwayat orang tua-tua Kelantan, bagi tujuan pembinaan Istana Balai Besar itu, dijemput seorang tukang rumah dan pengukir terunggul pada suku kedua abad ke-19, Muhammad Salleh Terengganu yang menetap di Kampung Kangkong, Pasir Mas (setengah pendapat bahawa pekerjaan mendirikan istana ini di bawah ketua tukang Wan Kasim dari Patani). Tapak Istana Balai Besar merupakan sebahagian daripada satu kawasan besar yang dipanggil “Buluh Kubu” kerana kawasan tersebut dikelilingi dengan deretan pokok-pokok buluh peleting yang ditanam sebagai pagar yang besar. Kawasan di dalam “Buluh Kubu” itu termasuk tapak Istana Balai Besar adalah menjadi hak Sultan yang memerintah secara turun-temurun. “Buluh Kubu” kemudian lebih terkenal dengan panggilan “Dalam Kubu”.

Pada tahun 1845 istana ini berjaya disiapkan. Maka Sultan Muhammad II pun berangkat dan bersemayam di kota istana yang baharu itu. Kota dan istana itu pada mulanya dikenali atau dipanggil “Kota Bharu” mengambil sempena kota dan istana yang baru dibina itu. Ia segera berkembang menjadi pusat pemerintahan dan pentadbiran negeri Kelantan. Ia menjadi Ibu Negeri Kelantan pada zaman moden kini.

Oleh sebab terjadi kekeliruan dengan kerana nama kota istana itu dipanggil “Kota Bharu” dan ibu negeri Kelantan juga dipanggil “Kota Bharu”, maka Sultan Muhammad II menitahkan supaya kota istana tempat Baginda bersemayam itu diberi nama yang lain pula iaitu “Istana Balai Besar” supaya berbeza dengan Kota Bharu yang menjadi nama bandar dan Ibu Negeri Kelantan.

Weight1.286 kg
Dimensions30 × 25 × 2 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.