Out of stock

Istilah dan Konsep Pengukuran Tradisional Alam Melayu

SHAHARIR MOHAMAD ZAIN adalah mantan Profesor Matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penerbit USM (Cetakan Pertama, 2013)
438 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

RM79.00

Out of stock

Istilah dan Konsep Pengukuran Tradisional Alam Melayu membicarakan unit-unit sukatan yang dapat dijejaki dalam peribahasa rumpun Melayu (Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan lain-lain dalam wilayah Malayonesia / Malayuwiyah). Buat pertama kalinya, kewujudan pelbagai unit sukatan yang piawai, agak piawai dan belum terpiawai dalam sukatan bilangan, jisim atau berat, panjang (kelebaran, ketinggian dan kedalaman), luas, isi padu, dan Masa serta gabungannya yang sesetengahnya mendahului tamadun lain sezamannya, didedahkan secara tuntas. Hal yang lebih menarik lagi ialah paparan banyaknya sukatan perkara-perkara yang subjektif seperti tahap perasaan (kegembiraan, kesedihan, kemurungan dan sebagainya), kekacauan, kekayaan, kemiskinan, kejahatan dan sebagainya yang dalam sains matematik kini dikelaskan sebagai benda-benda yang dibicarakan dalam bidang yang agak besar yang dinamakan sains matematik kabur.

Sesuatu bangsa yang bertamadun semestinya mempunyai unit-unit sukatannya yang tersendiri. Bangsa rumpun Melayu tidak terkecuali. Kesedaran untuk mencungkil unit tradisi Melayu tentunya timbul kerana dalam abad ini nampaknya semua unit sukatan yang dipakai adalah unit asing seperti berikut: (1) sistem metrik yang diimport dari Barat (berasal dari Perancis) seperti kilometer, kilogram dan liter; (2) saki baki sistem Inggeris (bagi Malaysia) seperti kaki (terjemahan kepada foot/feet yang mengikut legenda Inggeris, berupa saiz kaki Raja England abad ke-11 Masihi, Henry I, tetapi yang lebih tepatnya berasal dari Yunani atau Mesir Purba lagi yang dikatakan memang purata sukatan panjang kaki seseorang pada zaman itu; dan batu (terjemahan tidak tepat kepada perkataan Inggeris mile dari Latin, mille, yang bermakna “seribu”, dan berasal dari Roma yang berupa sukatan langkah tentera Roma dahulu) untuk sukatan jarak; ekar (dari Inggeris, acre, perkataan lama Saxon yang bermakna “padang”, iaitu merujuk kepada saiz padang yang mampu dibajak sepagi pada zaman dahulu kala) untuk luas; paun (dari Inggeris, pound, yang berasal dari Latin, pendre yang bermaksud “timbang” dan simbolnya lb dari Latin, libra, yang bermaksud “dacing”; sukatan ini asalnya dari Roma dahulu juga) untuk berat; gelen (daripada gallon yang berasal dari Roma, galeta yang bermaksud “sebaldi penuh”, untuk isipadu cecair).

Pada masa yang sama, masihlah ada saki baki sistem sukatan Melayu sebelum kedatangan penjajah Barat yang digunakan terutamanya di daerah pedalaman seperti hasta dan depa (untuk jarak, panjang, dalam, tinggi dan luas), kati untuk berat, serta cupak dan gantang untuk isi padu. Malangnya, kesedaran untuk mengkaji unit-unit sukatan Melayu yang semakin pupus dan banyak yang memang telah pupus itu pun nampaknya datang daripada sarjana luar Alam Melayu juga. Malah, beberapa unit sukatan Melayu tradisi pertama kali dirakamkan oleh Frank Swetz. Namun istilah “tradisi” Swetz ini pun sebenarnya bermakna tradisi yang tidaklah cukup lama seperti berabad-abad sebelum penjajahan Barat di Alam Melayu ini.

Kajian unsur-unsur sukatan kabur yang terdapat dalam cerita-cerita penglipur lara Melayu seperti Anggun Cik Tunggal, Malim Deman dan beberapa lagi yang lain juga telah dilakukan oleh beberapa orang sarjana. Kajian-kajian ini telah memperkayakan khazanah yang etnosains Melayu yang selama ini terabai. Sungguhpun begitu, kajian sukatan Melayu menerusi peribahasa Melayu dan sebagainya masih belum dilakukan (sehingga tahun 1999, tarikh buku ini diusahakan), sebagaimana dirakamkan dalam Istilah dan Konsep Pengukuran Tradisional Alam Melayu.

Sukatan yang terdapat dalam peribahasa Melayu amatlah menarik kerana ketajaman cerapan pengungkap asalnya yang mampu memberi gambaran banyaknya, saiz, dan keamatan sesuatu kuantiti yang diminati sehingga menjangkau kepada sukatan kuantiti-kuantiti yang subjektif seperti perasaan dan sebagainya. Pengumpulan peribahasa yang dianggap mengandungi unsur-unsur sukatan ini dipilih dari Kamus Peribahasa Lengkap Utusan.

Pradurja

Prahalaman

Bab 1: Status Unit Sukatan Melayu Sejak Pra-Islam Hingga Lani

Bab 2: Senarai Lengkap Unit Sukatan Agak Piawai yang Dicungkil daripada Peribahasa

Bab 3: Perkara yang Disukat dalam Peribahasa

Umbaian

Rujukan

Indeks

Weight0.745 kg
Dimensions24 × 16.5 × 2.5 cm
Author(s)

Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.

More from this Author